Gucci Beauty mevariasikan pilihan asas solekannya dengan memperkenalkan primer dengan kemasan pusam untuk solekan tahan lebih lama.
Salah satu rahsia solekan mudah dioles, tahan lama dan tidak mudah bersememeh atau tanggal adalah bermula dari asasnya. Selain sapuan produk penajgaan kulit seperti serum dan pelembap, penggunaan primer juga penting dalam memastikan solekan lebih menyerlah dan tahan lama.
Penggunaan primer mungkin tidak berapa popular di kalangan wanita khususnya untuk penggunaan setiap hari. Primer lebih lazim di tangan jurusolek profesional berbanding orang biasa. Namun memahami keperluan wanita, maka banyak serum yang diformulakan dengan manfaat penjagaan kulit seperti kebaikan dalam melembap dan memelihara kulit.
Dan buat pertama kalinya Guci Beauty tampil dengan sebuah primer yang bertindak untuk memastikan solekan tidak tampak berminyak atau berkilat-kilat selepas berjam-jam memakainya. Sérum De Beauté Fluide Matifiant tampil dalam tekstur gel yang menggunakan formula yang sesuai dengan semua jenis kulit.
Ia mempunyai tekstur gel dingin serta dimewahkan dengan ekstrak pohon Moambe Jaune, asid salisilik dan serbuk buluh berserta asid hyaluronic dan gliserin. Ia juga dimewahkan dengan Rose Centifolia yang mempunyai kuasa antioksidan. Primer ini hadir dengan satu ton yang bersifat universal, sesuai dengan semua warna kulit.
CARA APLIKASI
Sapu rata Sérum De Beauté Fluide Matifiant pada seluruh wajah yang sudah dicuci bersih dan seeloknya dilapisi sedikit losen dan pelembap. Kemudian barulah anda sapukan wajah dengan bedak asas, sama ada dalam bentuk cecair, kompak mahupun krim. Gucci menyarankan anda menggunakan Fluide De Beauté Fini Naturel, iaitu bedak asasnya yang mana formulanya serasi dengan primer terbaru ini. Kemudian kunci solekan dengan layangan tipis bedak tabur mahupun kompak. Tiga langkah ini akan menghasilkan asas solekan yang bukan sahaja kemas malah tahan lama.
Kempen terbaru Gucci Beauty ini dirakamkan oleh Mark Peckmezian di bawah telunjuk arahan seni Christopher Simmonds, yang mana kedua-duanya mahu mencipta suasana sarapan di atas katil kemudian bawa ke laman kamar.