“The Power of the Dog” dan Nicole Kidman memenangi kategori utama di Anugerah Golden Globes 2022, O Yeong-su daripada “Squid Game” dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Televisyen.
Mengejutkan ramalan pengkritik filem antarabangsa, Nicole Kidman mengungguli kategori Aktres Terbaik (Drama) di Anugerah Golden Globe 2022. Bintang “Being the Ricardos” itu menewaskan pilihan utama Kristen Stewart daripada filem “Spencer”. Bintang Australia kelahiran Honolulu, Hawaii itu juga terus mengukuhkan momentumnya untuk menerima pencalonan dan kemenangan kedua di Anugerah Akademi tahun ini.
Musim anugerah kali ini bermula cukup berbeza. Saban tahun, Anugerah Golden Globes akan membuka tirai musim anugerah utama dengan majlis gilang-gemilang dan pasti dihadiri bintang-bintang A-list Hollywood. Dikaburi dengan pelbagai kontroversi, keputusan anugerah tahun ini hanya diumumkan oleh Hollywood Foreign Press Association melalui Twitter dan siaran media sahaja.
Walaupun Kristen Stewart masih lagi mendahului pilihan pengkritik utama, Nicole Kidman dijangka mampu mengulangi kejutan pada Oscar 2003 dengan kemenangannya kali ini. Turut tercalon adalah Lady Gaga daripada “House of Gucci”, Olivia Colman (The Lost Daughter) dan Jessica Chastain (The Eyes of Tammy Faye). Pelakon utama “West Side Story”, Rachel Zegler pula memenangi kategori Aktres Terbaik (Muzikal/Komedi).
Filem lakonan Benedict Cumberbatch, “The Power of the Dog” dinobatkan sebagai Filem Terbaik (Drama), selain mengungguli bebrapa kategori utama lain seperti Pelakon Pembatu Lelaki Terbaik melalui Kodi Smit-McPhee, serta kategori Pengarah Terbaik oleh Jane Campion. Filem adaptasi semula “West Side Story” memenangi kategori Filem Terbaik (Muzikal/Komedi).
Menepati ramalan pengkritik-pengkritik filem, Will Smith memulakan penguasaannya dalam kategori Aktor Terbaik sepanjang musim anugerah tahun ini dengan kemenangan di Anugerah Golden Globe 2022. Kemenangan melalui filem “King Richard” ini dalam kategori Filem (Drama), manakala Andrew Garfield pula memenangi kategori Aktor Terbaik untuk Filem (Muzikal/Komedi) melalui filem “Tick, Tick… BOOM!”.
Untuk kategori televisyen pula, pelakon “Squid Game”, O Yeong-su telah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Televisyen melalui siri fenomena Netflix tersebut. Pelakon veteran berusia 77 tahun itu merupakan yang pertama memenangi Golden Globe dari Korea Selatan. “Succession” diangkat sebagai Siri Televisyen Terbaik (Drama) dan “Hacks” menang Siri Televisyen Terbaik (Komedi/Muzikal).
Selepas pendedahan isu perkauman mengenai Hollywood Foreign Press Association, barisan bintang Hollywood memboikot majlis anugerah Golden Globes. NBC turut membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyiarkan acara ini secara langsung di saluran mereka
Foto: Getty Images & Netflix
Baca lebih lanjut: 10 Rancangan Netflix Perlu Tonton Sepanjang Januari 2022