Kini anda boleh menambah elemen peribadi kepada helaian yang anda beli di butik baharu Levi’s INDIGO di Suria KLCC.
INDIGO menjadi ‘nama’ baharu bagi butik Levi’s yang berlokasikan di Suria KLCC. Buah fikir tentang ubah suai dan dekorasi butik yang terletak di aras tiga ini adalah untuk memberi pengalaman beli-belah yang menarik khususnya bagi penggila Levi’s juga kelompok muda. Jejak pertama ke butik ini mata pastinya tertumpu pada skrin LED gergasi yang tampil ibarat ‘pintu gerbang’ di pintu masuk.
Dengan keluasan 203 meter persegi, butik INDIGO ini adalah yang pertama tampil dengan konsep baharu dengan objektif menghidupkan visi global secara konsisten. Butik ini juga diberi suntikan teknologi terkini menerusi kepelbagaian penyesuaian dan keupayaan omnichannel bagi menyajikan pengalaman belian gaya yang lebih menarik. Keupayaan omnichannel menerusi sistem AOS ini menawarkan konsep endless-aisle untuk pelanggan mencari saiz dan helaian berpadanan.
Susunan himpunan Levi’s juga tampil lebih kemas dan mudah akses bagi pengunjung biar dengan hanya sekali pandang. Tiap himpunan diasingkan berpandukan potongan, warna dan koleksi seperti denim, bukan denim seperti Red TabTM Sweats dan pakaian santai, hinggalah kepada himpunan premium Koleksi Vintaj Levi’s® serta koleksi Levi’s® Made & Crafted® yang malar segar. Selain itu kamar mengacu pakaian juga tampil segar, interiornya kemas dan ringkas dan pancaran cahaya yang menembusi cermin di ruang ini juga antara faktor yang membuatkan sudut ini cukup hidup dan segar. Sempurna untuk rakaman gambar saat mencuba pakaian.
Butik INDIGO turut disempurnakan dengan Bar Cetakan Digital pertama di Malaysia. Pilih daripada seleksi grafik eksklusif Levi’s® untuk dicetak menjadi versi kemeja-T peribadi tersendiri, yang hadir dalam rona hitam, putih dan kelabu.
Butik Levi’s di sini turut memperkenalkan Tailor Shop sepenuhnya yang menawarkan khidmat jahitan dan membega helaian dibeli termasuk khidmat menambah elemen peribadi kepada helaian yang dibeli seperti menambah pin, butang berwarna, tampalan dan reka bentuk sulaman untuk memberi nafas baharu kepada helaian Levi’s kegemaran mereka, sama ada yang baharu atau yang sudah lama digayakan.
Baca: Longchamp Le Pliage Filet Kini Tampil Dalam Versi Mini