Peminat siri popular The Walking Dead nyata berduka apabila menerima perkhabaran mengenai kematian Moses J Moseley secara tiba-tiba.
Berita pemergian Moses disahkan oleh pengurusnya, Tabatha Michew dua hari lalu selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya yang terletak di Stockbridge, Georgia.
Kematian pelakon berusia 31 tahun itu merupakan satu kehilangan yang besar bukan sahaja buat ahli keluarga dan rakan-rakannya, tetapi juga kepada dunia hiburan.
“Dia disayangi semua orang. Dia tidak pernah menganggap orang tidak dikenali sebagai orang luar. Dia menyayangi para peminat sama seperti dia menyayangi keluarga dan rakan-rakannya. Dia sentiasa teruja untuk menghadiri uji bakat dan bekerja,” kata Tabatha.