Untuk musim bunga/panas 2022, Karl Lagerfeld menceduk inspirasi daripada elemen alam semulajadi dalam gaya estetika rock yang kekal menjadi signature label.
Legenda fesyen dunia, Karl Lagerfeld merupakan seorang yang mengagumi langkah permulaan yang baharu. Dalam mengesetkan semula budaya dan pembaharuan, label Karl Lagerfeld meraikan sisi kehidupan dalam ketulenan bentuk sebenar. Musim bunga/panas 2022 ini, himpunan terbaharu menceduk inspirasi daripada elemen alam semulajadi seperti tanah, udara, api dan juga air.
Pengaruh elemen natural ini boleh dilihat pada keseluruhan koleksi dalam pemilihan cetak, fabrik serta palet warna. Dalam masa yang sama, estetika rock nan sleek dikekalkan dalam menyerlahkan pembaharuan, keyakinan dan paling utama, evolusi gaya Karl Lagerfeld. Seleksi pertama menampilkan rekaan dalam stail musim panas bersama cetak yang mencuri perhatian.
Dinspirasikan daripada tanah dan udara, Karl Lagerfeld mengangkat konsep natural ini melalui pemilihan warna-warna terang serta seleksi cetak yang tersendiri. Setiap rekaan boleh digayakan dalam koordinasi yang sepadan, ataupun secara berasingan untuk mencipta stail yang lebih personal untuk menyerlahkan padanan yang on-point.
Koleksi Karl Lagerfeld untuk wanita memperkenalkan paten eksklusif untuk musim ini seperti cetak kuda belang eksotik, dalam rekaan yang kasual dan juga lebih sofistikated. Desain utama pula menggunakan teknik sulaman dan perincian pada rekaan broderie anglaise. Ia hadir dalam material kapas organik dalam sentuhan unik Karl. Turut sama hadir dalam seleksi jaket dan pakaian kait yang juga elegan untuk digayakan ke pejabat.
Selari dengan inspirasi daripada alam semulajadi, Karl Lagerfeld turut menekankan aspek kelestarian dan mesra alam pada musim ini. Fabrikasi kitar semula dan lebih lestari menjadi tunjang kepada rekaan yang banyak bermain dengan tekstur dan campuran material yang mencuri inspirasi daripada kepelbagaian budaya di Bumi.
House of Karl Lagerfeld berkongsi visi ikonik dan estetika rekaan daripada legenda fesyen dunia, Karl Lagerfeld yang merupakan pengasas label. Koleksi musim bunga/panas 2022 ini boleh didiapati di stor label yang terletak di Pavilion Kuala Lumpur, atau secara atas talian di sini.
Foto: Archi Luxury Group
Baca lebih lanjut: Eksplorasi Dunia Nespresso Miami