Tiga hari selepas JLo mengumumkan pertunangan, industri hiburan global dikejutkan pula dengan berita kehamilan Britney Spears.
Britney mengumumkan khabar gembira itu kepada 40.5 juta pengikutnya di Instagram menerusi satu perkongsian dua hari lalu. Dia mengakui berasa hairan kerana berat badan yang berjaya diturunkannya kembali bertambah ketika sedang bercuti di Maui, Hawaii bersama tunangnya, Sam Asghari.
“Saya tertanya-tanya apa berlaku dengan perut saya. Suami berseloroh mengatakan saya ‘mengandung’ makanan (terlebih makan). Jadi saya buat ujian kehamilan, dan keputusannya, saya sah berbadan dua,” tulisnya.
Ini merupakan kehamilan ketiga buat penyanyi berusia 40 tahun itu. Dia memiliki dua cahaya mata yang kini sudah meningkat remaja, Sean Preston, 16 dan Jayden James, 15 hasil perkahwinannya dengan Kevin Federline hampir dua dekad lalu. Perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama tiga tahun.