Amelia Henderson, figura yang sedang mempesona ketika ini. Namanya dijulang penggemarnya rentetan kecemerlangan produksi Kisah Cinta Kita, yang membuat ‘Alisa’ dan “Amelia’ sama digilai.
Perjalanan Amelia Henderson di gelanggang seni bukanlah masih hijau, dia sudah duduk di depan lensa kamera pada usianya belum mencecah setahun. Cahaya lampu studio, ketikan kamera juga laungan ‘three, two, one action’ bagaikan sudah jadi halwa telinganya saban hari sejak kecil.
Hari ini Amelia masih terus melakukan kerja yang disukainya, yakni berlakon. Baginya berlakon adalah cinta yang tidak akan pernah padam dalam jiwanya, dunia kehidupannya akan terus disinari cahaya dari kerja-kerjanya sebagai pelakon. Hari ini Amelia mahu mengembangkan lagi sisi kreatifnya, menebarkan sayapnya ke dunia kreatif dalam produksi, dan dia juga dalam perancangan mempersiapkan diri sebagai penyanyi. Bila masanya itu? Amelia sukar berjanji bila, tapi akan direalisasikan satu hari nanti.
Arahan Kreatif/ Penata Gaya: Khairul Abidin, Gambar: Edmund Lee, Solekan: Sheng Saw, Dandanan: Yusof Ruzaimi.
Bagaimana rasanya berada di tahap atau kehidupan yang you berada ketika ini?
It feels good kerana saya dapat lakukan apa yang saya impikan sejak kecil, kiranya macam I’m living a dream. Saya sangat gembira dan dalam masa yang sama pada yang menganggap kerjaya sebagai pelakon ini mudah dan glamorous, sebenarnya tidak. Saya juga manusia biasa yang ada ketikanya stres, ada masanya merasa down.
Jadi sejak kecil you memang hendak berlakon?
Yes! Saya mula bekerja di hadapan kamera pada usia 10 bulan untuk iklan cetak. Sejak dari situ banyak kerja komersial saya lakukan. Seawal umur enam tahun saya sudah berlakon Cerekarama. Saya masih ingat lagi judulnya ‘Edah’. Saya berlakon dengan kak Jasmin hamid, abang Arash Mohamad dan arwah Hani Mohsin. Menerusi drama itu juga saya tercalon di Anugerah Skrin.
Apa yang terbaru dari Amelia?
Buat masa ini saya sedang menunggu masa untuk penggambaran dua siri untuk Akasia. Yang pertama kita akan mulakan penghujung Mei dan selepas itu kita akan mulakan Kisah Cinta Kita 2. Kedua-duanya saya akan bekerja dengan Riza Baharudin, I’m looking forwad to it because I trust him so much.
Saya masih ingat lagi Amelia pernah beritahu mahu merancang menjadi seorang penyanyi. Bagaimana dengan pelan itu?
Perancangan itu masih ada, saya memang sukakan muzik dan sebab itulah saya ambil masa yang panjang untuk projek ini. Saya tak mahu sekadar buat. Saya masih menunggu lagu yang sesuai, dan saya sendiri sudah berbincang dengan my music team. Saya bukan cerewet tetapi teliti, kalau tak dapat lagu yang bagus, lebih elok saya tak buat.
Dalam masa yang sama juga saya perlukan masa, buat masa ini rasa tak cukup tangan. Selain bekerja di hadapan kamera saya juga menguruskan perniagaan dan macam-macam perancangan yang sudah disusun. Saya juga ada studio space dan kerja-kerja belakang tabir yang mula berjalan. Akan datang saya akan lancarkan my YouTube channel.
Mahu menyanyi lagu Melayu atau Inggeris? Mana lebih selesa?
Kalau boleh kedua-duanya, saya mahu gabungkan dua-dua bahasa dalam satu lagu. Jika tidak sesuai saya akan buat satu lagu dalam dua versi. Penyokong saya majoritinya berbahasa Melayu jadi saya meletakkan mereka sebagai keutamaan. Ke mana saya pergi orang suruh saya rap, tapi saya tak rasa saya seorang rapper. Nak jadi rapper ni kena ada attitude, saya risau saya terlalu lembut untuk rap. Muzik saya lebih kepada pop. Itu lebih sesuai dengan diri saya.
Sejak ‘Kisah Cinta Kita’ ditayangkan, saya perasan sokongan peminat kepada Amelia membuak-buak. Bolehkah saya katakan siri tersebut sebagai career changing untuk Amelia?
Bila-bila saya dapat sebarang job, saya akan beri lebih 100 peratus komitmen. Dan saya tak pernah letakkan sebarang expectation. Saya sayang sama rata semua projek-projek saya. Tapi saya akui ‘Kisah Cinta Kita’ lebih berjaya kerana sokongan audien, orang yang menonton yang buat Kisah Cinta Kita menonjol. Mungkin juga orang-orang yang terlibat dalam produksi ini juga menjadi faktor kejayaan siri ini. Macam kita memasak, bila semua bahan yang kita gunakan best, hasilnya makanan tu akan jadi sangat sedap. Menyiapkan Kisah Cinta Kita memang menyeronokan walaupun ada beberapa kali tertangguh kerana PKP. Watak Alisa tu adalah satu watak yang ramai orang sayang. Sekarang, cabaran untuk saya adalah untuk membuatkan orang menerima watak-watak yang akan saya bawakan dalam masa terdekat, sama seperti mana mereka menyenangi watak Alisa.
Apa sasaran Amelia sebagai artis?
Goals saya sudah bertukar banyak kali. Pada mulanya saya nak jadi successful, maybe macam saya berharap untuk dapat satu-satu karakter. At the moment goals saya ialah setiap projek yang saya terima, saya akan hidupkan dengan betul. Saya tak mahu meletakkan expectation. Dan saya bukan terima tawaran sebab nak orang nampak saya selalu ada di televisyen.
Saya ada strategi dalam kerjaya saya, tapi strategi ini lebih kepada menyusun masa kerja. Macam saya cakap tadi saya dah mulakan bisnes, saya mahu lebih terurus. Dalam setahun saya mahu berlakon dua atau tiga projek, saya tak boleh tinggalkan kerjaya sebagai pelakon sebab saya akan gila, saya memang suka berlakon. Jika terlalu sibuk di set juga saya pula tak ada masa untuk uruskan bisnes. Jadi saya kena bahagikan fokus dalam masa setahun. Walaupun ada orang yang membantu, tapi saya mahu ambil tahu semua perkara.
Bagaimana pula impian dalam hidup secara keseluruhannya?
Saya tak tahulah adakah ini tanda-tanda saya dah tua, hahaha., tapi hari ini saya hanya mahu hidup dengan gembira. Saya nak happy sahaja. Walaupun saya stres dengan kerja tapi masih okey kerana saya stres dengan benda yang saya suka. My life’s dream saya boleh bina perniagaan, mula producing, kerana saya sukakan benda kreatif. Sebagai pelakon saya sedar akan sampai satu masa kita takkan dapat tawaran seperti mana yang kita dapat hari ini. Saya mahu cabaran, kerana kalau hidup tak ada cabaran kita tak akan happy. Bila ada masalah, kita dicabar untuk selesaikan masalah itu. Dari situlah nikmat hidup itu datang.
Sebagai seorang wanita, bagi Amelia apa itu kebebasan? Bolehkah kebebasan mutlak dicapai?
Kebebasan itu ada macam-macam, financial freedom, career freedom dan personal freedom. Sebagai contoh career freedom, you kena kerja sebagai akauntan walaupun sebenarnya you tak minat pun, dari situ kebebasan pun seperti tak ada, dan kita akan rasa happy bila kita dapat buat pilihan apa yang kita suka.
Sebagai wanita saya mahu pastikan saya lakukan apa yang saya suka dan peluang itu adakalanya ambil masa yang panjang untuk kita nikmati. Saya dah berada di dalam industri sedari kecil, dan ia berkembang dari masa ke semasa, kebebasan itu ambil masa. Malah ia akan mengambil seluruh kehidupan you. Tapi kebebasan mutlak itu mungkin tidak ada kerana selagi kita manusia kita ada tanggungjawab dan ada peraturan hidup yang kita perlu ikut. Tapi, kalau kita sayang dengan tanggungjawab yang kita pegang itu, kita akan rasa bebas.
Pernah rasa tersekat atau sesuatu yang menghalang diri Amelia?
Ya, semestinya ada. Cuma masalahnya orang yang banyak menyekat potensi diri saya, adalah diri saya sendiri. Saya yang selalu rasa saya tak boleh buat. Contohnya dulu saya nak jadi model, saya sendiri yang rasa saya tak cukup tinggi, tak cukup kurus, walhal tak ada siapa pun cakap. Di belakang otak saya ada banyak insecurities. Kita sendiri yang kena setkan minda kita untuk lebih positif jadi kita boleh lawan perasaan tersekat itu. Saya tak boleh rasa saya tak ada ijazah jadi saya tak boleh buat bisnes. Kalau saya tak tahu saya pergilah belajar atau tanya orang.
Bagaimana Amelia menjaga kesihatan mental?
Saya tak pasti jawapan saya ini relevan tak dengan orang lain, tapi untuk saya, saya menjaga kesihatan mental saya dengan menjaga privasi. Saya tak over share kehidupan peribadi saya di media sosial. Saya mudah terganggu bila terbaca komen orang lain. Jika tiada kerja saya akan luangkan masa dengan keluarga dan kawan-kawan dan saya tak kongsi hal itu selalu. Tapi masalahnya saya jenis orang yang suka bekerja, jadi bila saya duduk rumah main computer games dengan adik saya, otak saya akan dihantui rasa bersalah sebab saya berehat-rehat di rumah sedangkan kerja di pejabat sedang menimbun. Tapi dalam masa yang sama I need that. Kita perlu ada masa untuk relaks dan unwind dengan buat aktiviti yang kita suka. Hidup perlu ada keseimbangan, dan mencari keseimbangan itu memang tak mudah tapi berbaloi. Usah terlalu sibuk dengan kerja, kita tak mahu esok lusa bangun kita dah umur 50 tahun tapi kita tak rasa pun nikmat hidup dan tak banyak pengalaman hidup.
Jika boleh dikirmkan nota untuk diri sendiri pada 2030, apa yang ingin Amelia ingat-ingatkan?
Saya harap saya gembira, I hope I’m doing well. Itulah sasaran kehidupan saya. Sebelum ini saya ada sasaran tertentu tapi kita sebenarnya tak boleh kawal sangat sebab rezeki itu bukan kita tentukan. Sangat penting untuk kita tetapkan mind state kita tapi dalam masa yang sama kenalah ada usaha.
Apakah satu perkara yang you lakukan yang membuat you betul-betul gembira?
Ada banyak, saya gembira saya memilih untuk berlakon, saya bekerja keras. Susah untuk pilih satu, tapi secara umumnya saya happy dengan keputusan-keputusan kecil yang saya pilih dalam hidup ini.
Siapakah orang yang banyak merubah kehidupan you?
My mom definitely. Mostly pelajaran tentang kehidupan itu semuanya saya belajar dari ibu saya. Dia sangat peramah, very hardworking dan dia sebenarnya orang yang kreatif. Saya hormat cara dia berfikir. Bila saya ada masalah besar, dia adalah orang yang menjadi rujukan pertama saya.
Bagi you, apa yang dunia perlukan hari ini?
Compassion! Kita semua kena faham satu sama lain dan be kind. Macam-macam benda gila berlaku di alam dunia hari ini, dan kita dah lalui macam-macam. Kita kena ada empati, cuba faham masalah orang lain. Kita manusia, kita selalu ada rasa frustrated, tapi ambil masa untuk bertenang. Sebagai manusia kita kena ambil masa untuk berfikir, lagi-lagi bila kita ada rasa kecewa. Hidup kita hari ini berada di dalam fasa yang terlalu pantas, semua orang nak cepat hingga kita terlupa hendak ambil masa untuk berfikir.
Apakah yang perlu diubah untuk memperbaiki atau mengembangkan lagi industri seni kita?
Saya tak suka nak jawab soalan ni, saya takut orang salah faham. Isu ini lebih besar dari industri kita sendiri sebenarnya. Kalau orang nak bandingkan dengan Korea, mereka sebenarnya bukan bermula dari seni sahaja. Sebelum muzik dan drama, mereka dah import gaya hidup mereka, makanan, teknologi dan macam-macam lagi. Jadi bila orang dah tahu gaya hidup jadi orang senang terkait dengan karya mereka.
Korea negaranya besar, populasinya pun ramai. Industri kita kecil, bajet yang diletakkan juga kecil. Rakyat kita tak ramai, kemudian dipecahkan pula kepada bahasa atau demografik. Kita tak dapat cukup viewers, bila tak dapat sokongan maka kita tak dapat saluran bajet yang besar untuk kita buat sesuatu yang lebih besar. Tapi saya lihat hal ini sikit demi sedikit dah berubah. Kita perlu ada diversity atau kepelbagaian dalam satu karya supaya kita dapat sokongan yang lebih besar dari penonton.
Bagaimana you melepaskan tekanan?
Saya suka hiking, melukis, karaoke, macam-macam aktiviti normal yang orang lain buat. Saya hiking seminggu sekali, jika sibuk saya akan cari masa. Jika tak hiking saya akan gantikan dengan aktiviti lain seperti main golf dan tenis. Benda-benda inilah saya tak kongsi di media sosial, sebab saya tak mahu benda ini jadi satu hal kerja pula. Saya tak mahu bila nak main tenis, saya nak kena ambil OOTD atau create content.
Okey, soalan akhir, apakah hal atau tabiat yang Amelia nak ubah tahun ini?
Saya mahu ambil masa, buka ambil masa untuk berehat-rehat. Ambil masa maksud saya untuk fikir sebelum membuat sebarang keputusan. Interaksi dengan orang lain pun kita kena ambil masa. Sebelum tidur saya nak luangkan masa 15 minit untuk fikir balik apa hal yang berlaku dalam satu hari, untuk tahu ada atau tidak benda-benda yang tak best berlaku? Misalnya, jika saya jumpa kawan-kawan saya, adakah saya betul-betul spend masa dengan my friends atau saya sibuk dengan telefon? Saya mahu lebih present, lebih fokus dengan apa yang sedang saya buat atau dengan keadaan sekeliling.