Sandal ‘Millers’ sudah jadi begitu signifikan di Tory Burch. Sejak diperkenalkan pada awal tahun 2000-an, sandal ini sudah mengumpul beribu peminat dari seluruh dunia.
Saban musim, ‘acuan’ sandal ini akan dipelbagaikan perincian, material juga warnanya demi memnuhi kehendak penggemar jenama yang berasal dari New York ini.
Terbaru, Tory Burch melancarkan kempen terkininya yang dibintangi aktres yang sedang rancak mengatur kerjaya seninya di Hollywood, Sydney Sweeny. Menerusi kempen terbaru ini, dilihat Sweeny bagaikan sedang dalam ‘road trip’ di kawasan gurun lapang. Memandu kereta antik, Sweeny tampil dalam gaya sandal Millers yang pelbagai. Bermula dari warna emas, kemudian bertukar-tukar ke warna hitam dan ivory. Dia juga tampil seksi dengan baju singkat, sesuai dengan atmosfera musim panas ketika ini.
Video berdurasi 30 saat itu dijudulkan sebagai ‘Show Me Your Millers’ dan diarahkan oleh Charlotte Wales. Ritma latar ‘Walking in LA’ dendangan 1982 Missing Persons mengiringi kerancakan video kempen ini.
Sweeney diumumkan sebagai wajah rasmi bagi koleksi beg dan kasut Tory Burch April lalu. Bintang siri ‘Euphoria’ itu mula melibatkan diri dalam bidang seni lakon sejak usianya 15 tahun lagi. Dia memang dilihat begitu serisu dengan rencana kerjaya seninya, dan kerana itu jugalah dua tahun lalu dia sudah menubuhkan organisasi produksinya sendiri, Fity-Fifty Film yang mana syarikat ini menumpukan kepada memberi peluang kepada pengarah, penulis lakon layar dan penulis skrip wanita.
“Sweeney adalah salah seorang bintang berbakat dan relevan pada waktu ini, dan saya sendiri terinspirasi dengan sikap ingin tahu dan keyakinan yang dimilikinya,” ulas Tory Burch tentang apa yang membuka hatinya untuk bekerjasama dengan Sweeney.