Idôle Le Parfum, haruman terbaru Lancôme hadir dengan semangat memperkasakan wanita dalam merealisasikan mimpi-mimpi mereka.
Hari bertukar hari, bulan dan tahun juga terus bersilih ganti. Kebangkitan era digital membuatkan semuanya meluncur pantas, sekaligus corak dan gaya hidup juga sudah banyak berubah. Cara kita berfikir juga jauh berbeza. Begitu juga halnya dengan wanita, mereka tidak lagi mahu duduk di bawah telunjuk. Wanita hari ini sudah berani, cara mereka berfikir dan bertindak juga sudah banyak berbeza. Wanita hari ini berani mencorakkan hala tuju, rela mengambil risiko demi merealisasikan segala yang mereka hajati.
Berpandukan dari kebangkitan wanita hari ini, Lancôme sebagai sebuah jenama kecantikan unggul berinspirasikan hal ini dalam membikin haruman yang dilancarkannya pada tahun 2019, Idôle Le Parfum. Haruman ini bagaikan simbol keberanian, keazaman dan komitmen.
Idôle itu boleh disimpulkan bagai sebuah jambangan bunga yang dilatari dengan kuntuman klasik. Lada merah jambu (pink pepper), bergamot dan buah pir dijadikan sebagai nota pembuka. Pada ‘jantung’ haruman ini yang juga menjadi nadi utamanya anda akan menghirup kemanisan aroma bunga melati dan mawar. Kelopak bunga mawar di dalam haruman ini hadir pelbagai, Lancôme menyatukan kelopak ros Isparta, pati ros, air mawar dan kesemua ini dihimpunkan bersama bunga melati dari India berserta patinya. Hasilnya? Sebuah campuran aroma yang mempesona, adunan yang cukup rasa, tiada terlebih mahupun terkurang, cukup memikat. Menambah seri minyak wangi ini, Idôle juga dimeriahkan dengan kehadiran kemanisan vanila dan kasturi putih sekaligus menambah kehangatan haruman ini.
Tidak sempurna sebuah haruman andai tidak disajikan dalam sebuah kelalang yang memikat. Begitulah Idôle, tidak hanya menawan pada baunya semata, visualnya juga diperindah dengan kehadiran kelalang yang menarik, menjadikan ia satu pakej sempurna. Mengikut rekod, botol Idôle adalah yang paling nipis di dunia, tebalnya hanya 15mm. Kelalang Idôle sempurna di tangan Chafik Gasmi, seorang arkitek dan pereka industri. Botol Idôle hadir dalam bentuk empat segi dengan sentuhan melengkung pada bahagian tengahnya, menyuntik keunikan pada keseluruhan rupanya.
Menurut Gasmi, buah fikir utamanya saat mereka botol haruman ini ialah dia mahu sesuatu yang bersifat praktikal. “Botolnya boleh dibaringkan, diselitkan ke dalam poket dan mudah sekali dibawa ke mana-mana,” terangnya. Idôle dibekaskan dalam botol yang akan menemani wanita ke mana-mana dan bila-bila masa, sama ada ke pejabat, keluar janji temu dengan si dia, santai bersama teman-teman mahupun ke mana-mana acara.
Meraikan haruman ini, EH! mengundang lima jelitawan, Daiyan Trisha, Shalma Aina, Bella Kuan, Athisha Khan dan Charis Ow untuk berkongsi impresi sulung mereka tentang Idôle Le Parfum. Mereka turut berbicara tentang definisi idôle bagi mereka.
DAIYAN TRISHA
“Seratus peratus buat wanita,” kata Daiyan Trisha. Ciri-ciri yang dimiliki Idôle yang baru ini menurut Daiyan adalah cerminan dirinya dalam sebotol haruman. Ceria dan penuh seri, Daiyan percaya seseorang idola itu seharusnya seorang yang berkeyakinan dan kuat pada jati diri dan berkuasa dengan dirinya sendiri.
SHALMA AINAA
Bagi usahawan dan hos TV ini, Idôle adalah sebuah haruman yang membuatnya berasa anggun, Shalma berkongsi tentang ciri-ciri Idôle yang membuatkannya jatuh cinta. Apabila ditanya tentang siapakah idolanya, dengan yakin dia membalas, “diri saya sendiri dalam masa 10 tahun akan datang.”
ATHISHA KHAN
Athisha Khan jatuh cinta dengan bau Idôle dari saat pertama dia terhidu haruman ini. Menurutnya Idôle membuatkannya berasa gembira, lebih feminin dan anggun. Sebuah haruman yang dicipta buat wanita-wanita kuat, menurut Athisha ibu dan kakak-kakaknya adalah idolanya.
CHARIS OW
“Saya gemarkan bunga mawar dan melati. Bagi saya bau kedua-duanya cukup menyerlah,” ungkap Charis Ow. Sebagai seorang yang menyukai bau bunga-bungaan, Idôle bagi Charis punya aroma malar segar dan baginya ia sebuah haruman yang akan disemburnya setiap hari.
BELLA KUAN
“Haruman ini begitu menonjol sifat femininnya, bau bunga-bungaannya tidak terlalu kuat,” luah Bella. Baginya ini adalah sebuah haruman yang sesuai untuk pelengkap hariannya, dia senang dengan sesuatu yang klasik dan malar segar. Botolnya yang sleek dan nipis juga sesuai untuk dibawa ke mana sahaja.
Lancôme Idôle Le Parfum hadir dalam tiga saiz—25ml, 50ml dan 100ml, dan dijual pada harga RM300, RM420 dan RM610. Ia boleh dimiliki sekarang di semua butik fizikal Lancôme, juga menerusi dalam talian di lancome.com.my, Facebook Shop Lancôme dan Lazada.
Ayuh terokai dunia Lancôme Idôle Le Parfum di pautan INI!