Bila sudah duduk serumah, tidur sekatil, barulah ‘true colour’ pasangan akan mula kelihatan, dan inilah permulaan segala cabaran alam perkahwinan.
Orang kata tiga tahun pertama perkahwinan adalah yang paling mencabar, kerana banyak perkara yang perlu disebatikan dengan diri. Kita mula mendalami pasangan, mendekatkan diri dengan keluarga dan juga dengan teman-temannya. Kita akan makin kenal kelakuannya di dalam rumah, dan adakala fiil mereka mengundang kejengkelan. EH! Ssenaraikan tujuh perkara yang anda akan pelajari atau sedari pada setahun awal perkahwinan anda.
Anda akan lebih menghargai ibu bapa anda sendiri
Setahun pertama anda perlu membiasakan diri dengan keluarga pasangan anda. Ingatlah yang orang selalu kata, kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan tetapi juga ahli keluarganya. Setahun awal ini anda akan mula sedar bahawa ibu dan ayah andalah yang terbaik. Walaupun sebelum berkahwin ada sesekali bertingkah atau melawan cakap, tapi anda mula tahu mereka berdua yang lebih memahami anda. Tidak semua bertuah mendapat ibu dan ayah mentua yang ‘sporting’.
Anda akan lebih kenal pasangan anda, dan anda kena terima seadanya
Beberapa bulan lepas tular seorang isteri menyesal berkahwin setelah mengetahui suaminya adalahs eorang yang pengotor. Ya, inilah antara cabaran awal rumahtangga. Anda akan mula lihat kekurangan pasangan, akan ada banyak hal yang bertentangan dari persamaan. Sama ada anda mampu mengubah perangai mereka atau terpaksa redha sahaja.
Anda belajar untuk tidak berkira
Anda tidak boleh lagi untuk berkata anda buat kerja rumah lebih banyak dari pasangan. Apabila penat, adakalanya kita akan cenderung untuk mengeluh dan mulalah berbalah siapa buat kerja lebih banyak. Jadi, sangat penting untuk anda mula belajar untuk tidak berkira dan ambil masa untuk membentuk pasangan untuk menjadi seorang yang ringan tulang.
Jika sudah berkahwin, takkan hendak senyap atau masam mencuka walaupun tidur sekatil?
Anda sedar komunikasi itu penting
Jika sebelum kahwin bila ada perselisihan faham atau yang anda saja-saja merajuk, anda akan hanya mendiamkan diri beberapa hari tidak berhubung di telefon. Tapi jika sudah berkahwin, takkan hendak senyap atau masam mencuka walaupun tidur sekatil? Sedarlah jika ada masalah, komunikasi itulah kunci penyelesaiannya. Usah dia dan sekadar muncungkan mulut sahaja. Jika mahukan sesuatu, cakap, kalau ada yang tak suka, luahkan.
Akan ada masanya anda berasa takut
Ini perasaan yang mungkin ada di awal perkahwinan, ada orang bila mula kenal true colour pasangan mereka ambil masa untuk terima. Adakalnya rasa terkejut. Perasaan bercampur baur inilah yang kadang-kadang mencetus rasa cemas, sangsi dengan keputusan. “Eh betul ke aku dah kahwin dengan dia. Bolehkah aku tahan?”, bisik-bisik dalam hati ini mungkin akan ada.
Anda berkongsi hal berbentuk fizikal seperti kewangan dan juga hal yang tak dapat dilihat yakni stres.
Anda akan sedar hubungan emosi itu penting
Kalau sebelum kahwin, anda akan rasa kemesraan itu tercetus bila anda jalan berpgangan tangan. Anda rasa sentuhan fizikal itu membuat anda berasa ‘selamat’. Tapi setelah berkahwin anda akan mula sedar hubungan emosi itu lebih penting, ikatan itu yang membuatkan hubungan anda menjadi lebih rapat. Anda berkongsi hal berbentuk fizikal seperti kewangan dan juga hal yang tak dapat dilihat yakni stres. Jadi ikatan emosi itu amatlah mustahak.
Anda akan sedar diri anda bukan keutamaan
Banyak pilihan dan keputusan yang mahu dibuat memerlukan banyak pertimbangan. Jika sewaktu bujang, diri anda adalah keutamaan, apa-apa hal diri andalah diletakkan sebagai kepentingan. Selepas berkahwin, itu tidak lagi. Timbang tara sangat penting, apa efeknya pada pasangan, adakah keluarga suami akan okey dan bermacam-macam lagi yang perlu difkir-fikirkan.