Bintang global Rihanna memilih pentas Apple Music Halftime Show, untuk comeback hari Ahad ini!
Kali terakhir penyanyi Diamond ini dilihat adalah ketika membuat persembahan di atas pentas 7 tahun yang lalu, kini Rihanna kembali dengan kejutan ‘comeback‘ kerjasama bersama Apple Music Halftime Show. Rancak mengorak kembali karier nyanyiannya selepas lagu hit Lift Me Up- muzik soundtrack filem Marvel Black Panther: Wakanda Forever, bintang global Rihanna telah menyertai acara Apple Music Radio bersama-sama dengan hos, Nadeska Alexis. Kemunculan bintang itu adalah untuk sidang media rasmi, sempena rancangan terbarunya iaitu, Apple Music Halftime Show Super Bowl LVII.
“Apabila saya mula-mula mendapat panggilan untuk melakukannya sekali lagi untuk tahun ini, saya seperti tidak percaya. Saya baru sahaja melahirkan bayi tiga bulan yang lalu, jadi saya tertanya, patutkah saya membuat keputusan yang besar seperti ini sekarang? Mungkin saya akan menyesal dihujung hari nanti.”, kongsi Rihanna.
Tambah Rihanna lagi, “Tetapi apabila menjadi seorang ibu, saya dapat merasakan saya boleh melakukan apa sahaja. Dan Super Bowl adalah salah satu pentas terbesar di dunia. Jadi, ia penting bagi saya untuk melakukannya pada tahun ini.”
Bintang global itu juga sempat berkongsi rahsia kejayaannya. Rihanna menyatakan bahawa untuk terus mempunyai sifat merendah diri, adalah perkara yang paling penting sebagai seorang anak seni. Mengambil ibunya sebagai inspirasi, Rihanna menjadikan pengalaman membesar di Caribbean sebagai pangkal permulaan dirinya, menerapkan sifat merendah diri.
Turut pada sidang media tersebut, Apple Music juga telah melancarkan filem pendek baharu, yang diberi tajuk ‘Run This Town’. Filem pendek ini menampilkan Rihanna dengan berlatarbelakangkan konteks Road Trip, Drive in Barbados.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan rancangan rasmi Apple Music Super Bowl LVII Halftime Show pada hari Isnin, 13 Februari 2023 ini.
Artikel Berkaitan: Kemunculan Rihanna & A$AP Rocky Di Golden Globes Curi Perhatian