Jungkook BTS memadam akaun Instagram peribadinya kerana ingin berehat dari dunia hiburan, bukan kerana digodam.
Tindakan mengejut Jungkook BTS membuatkan peminatnya risau dan berfikir bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan idola mereka. Akaun yang tiba-tiba hilang itu menyebabkan segelintir peminat membuat andaian bahawa akaun Jungkook telah digodam.
Namun, ia dinafikan oleh Jungkook, “Saya telah meninggalkan akaun Instagram bukan kerana ia digodam. Tetapi saya memilih untuk tidak menggunakannya (aktif) kerana ingin berehat sementara dari dunia digital. Jadi saya hanya memadamkannya buat sementara waktu. Jangan risau,” tulisnya kepada peminat.
Mengimbas kembali, kali pertama Jungkook membuka akaunnya sendiri adalah pada Disember 2021, ia merupakan tindakan serentak bersama ahli kumpulan BTS yang lain untuk memiliki akaun Instagram sendiri. Akaun Jungkook mempunyai lebih daripada 51 juta pengikut berdasarkan portal hiburan Korea, Soompi.
Merupakan selebriti Korea yang kedua, mencatat rekod memiliki lebih dari 50 juta pengikut di platform Instagram, diikuti rakan kumpulannya, V. Jungkook meraih perhatian lebih dari kumpulannya apabila dia menggunakan nama pengguna unik, @abcdefghilmnopqrstuvwxyz tetapi kemudian dia menukarnya kepada @jungkook.97 pada Mac 2022.
Jungkook memulakan kerjaya sebagai maknae (atau ahli termuda), vokalis utama dan penari utama kumpulan lelaki itu pada Jun 2013. Pada tahun 2022, Jungkook telah bekerjasama dengan penyanyi Amerika Syarikat, Charlie Puth untuk single superhit mereka ‘Left and Right’. Lagu itu berjaya mencapai bilangan main tertinggi di Billboard Top 100 dalam masa yang singkat dan mempunyai kiraan strim yang melebihi 520 juta di Spotify.
Pada penghujung tahun 2022, Jungkook sekali lagi berjaya mencipta sejarah apabila terpilih untuk membuat persembahan di majlis perasmian Piala Dunia FIFA 2022. Lagunya, ‘Dreamers’, mendapat sambutan hebat dan mainan lagu pantas menduduki carta mingguan di seluruh dunia. Lagu itu kini mempunyai lebih 187 juta strim di Spotify.