Tekaan tepat! Jung Kook BTS kini duta global jenama rumah fesyen ternama, Calvin Klein.
Selepas menjadi tular dan bualan heboh ramai pada Februari yang lalu, pertanyaan tentang kolaborasi ini akhirnya mendapat titik noktah.
Jenama fesyen ternama, Calvin Klein, secara rasminya mengumumkan bintang pop global, Jung Kook BTS sebagai duta global mereka yang baharu.
Sebelum ini, spekulasi mengenai kolaborasi ini menjadi kata kunci trending di pelbagai aplikasi laman sosial. Hal ini berlaku dek kerana, peminat menjumpai bahawa akaun Instagram milik Jung Kook, telah diikuti oleh Cedric Murac, yang merupakan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Kreatif Global jenama Calvin Klein.
Memang epik! Seolah tahu pasti ia akan menjadi bualan ramai. Calvin Klein sempat berseloroh di akaun laman sosialnya, tentang kolaborasi ini. Memaparkan klip pendek di Twitter dan Instagram, peminat kumpulan global itu yang dikenali sebagai ‘ARMY’, bagai tidak keruan dengan imej yang dipaparkan oleh bintang kegemaran mereka.
Semalam, secara rasminya Calvin Klein telah mengumumkan perlantikan Jung Kook sebagai duta global baharu jenama fesyen itu. Mempamerkan video pendek, ‘Introducing Jung Kook’ sebagai permulaan, penyanyi versatil itu memperagakan pakaian daripada koleksi Calvin Klein Jeans dan Calvin Klein Underwear, untuk tahun 2023.
“Saya telah lama menjadi peminat kepada Calvin Klein ini, dan saya sangat teruja dapat menjadi duta global terbaharu mereka”, kongsi ahli termuda daripada kumpulan BTS itu.
Terdahulu, Jung Kook sering dilihat memperagakan pakaian dalam dari jenama fesyen, Calvin Klein. Dan, ianya telah mendapat perhatian ramai sehingga sempat berada di carta nombor satu laman sosial Twitter.
Bagaikan rebutan jenama rumah fesyen ternama untuk menjadikan ahli daripada kumpulan global ternama ini, sebagai duta jenama mereka. Sebelum ini dilihat, J-Hope BTS telah dilamar oleh Louis Vuitton. Manakala, Jimin BTS pula kini duta global Dior, dan Suga BTS pula untuk Valentino.
Saat ini, semakin menjadi tanda soal dengan gambar di media sosial, mungkin V BTS pula wajah baharu untuk jenama Celine?
Artikel Berkaitan: Jungkook BTS Duta Terbaru Calvin Klein?