Jennie Blackpink menjalin kerjasama bersama Calvin Klein melancarkan satu koleksi kapsul berinspirasikan gaya dan stail santainya.
Calvin Klein mengumumkan satu koleksi edisi terhad Jennie for Calvin Klein yang mana himpunan ini akan mula dijual bermula esok, 11 Mei dan hanya boleh dimiliki di butik Calvin Klein Pavilion Kuala Lumpur.
Kata Jennie Kim, kolaborasi ini adalah satu perkembangan yang sangat menerujakan sepanjang jalinan kerjasama mereka. “Koleksi ini adalah satu refleksi kepada gaya harian saya berpandukan juga kepada gaya asas Calvin Klein sendiri. Saya mahu bawakan sentuhan peribadi kepada koleksi ini dan anda akan dapat lihat potongan, pilihan warna dan juga perinciannya. Aspirasi saya kepada koleksi ini hanyalah mahu sesiapa yang menggayakannya berasa positif dan gembira, sama seperti mana yang saya rasa,” kongsinya.
Selain warna pastel seperti ton ungu cair (lilac) dan juga hijau pudina (mint green), saya amat tertarik melihat pada tulisan tangan yang menghiasi sebahagian koleksi ini. Cetakan tulisan tangan itu asalnya memang tulisan tangan Jennie sendiri. Selain dua warna yang disebutkan, koleksi ini juga dibarisi warna coklat padang pasir serta warna klasik hitam dan putih.
“Bekerja dengan Jennie dalam beberapa kempen kita sudah tahu dia punya tarikan yang sangat kuat. Dia miliki pesona, bakat dan stail tersendiri, dan semuanya itu ada impak global. Kolaborasi ini berpasak pada keaslian dan kami mahu mengangkat jalinan kerjasama ini ke satu perspektif yang lebih peribadi dan kerana itulah kami lancarkan koleksi kapsul ini agar penggaya Calvin Klein terasa dekat dengan stail peribadi Jennie sendiri,” ujar Jonathan Bottomley, pegawai pemasaran global Calvin Klein.
Kempen Jennie for Calvin Klein mendapat sentuhan jurugambar Hong Jan Hyun, dan dia mengabadikan gaya bersahaja Jennie dalam pesona sesantai yang mungkin.
BACA: 10 Gaya Selebriti Di Malam Buka Puasa EH! x Calvin Klein