Janna Nick selamat diijab kabul bersama pilihan hatinya, aktor Dini Schatzmann 10 Jun, Sabtu lalu dalam satu majlis intimate yang diraikan keluarga dan sahabat terdekat. EH! mendapatkan temubual eksklusif bersama Janna beberapa hari sebelum dia melangkah ke chapter baharu.
Tanggal 18 Mei, kira-kira tiga seminggu sebelum majlis pernikahan berlangsung, kami seisi EH! bertemu Janna Nick dan kini sudah menjadi suaminya, Dini Schatzmann di Lenswork Studio. Jam 8.30 malam Janna dan Dini tiba di studio, Janna berpuasa enam hari itu, jadi hal penggambaran bermula selepas dia selesai berbuka puasa.
Penggambaran eksklusif ini menjadi nyata kerana saya awal-awal lagi sudah berpesan kepada teman baik saya yang juga kenalan rapat Janna, Miedy Daniel (juga penata gaya dan pendandan rambut) jika Janna mahu berkahwin tanyakan jika EH! boleh merakam wajahnya bersama Dini untuk EH! ternyata Miedy tidak pernah lupa permintaan saya, dan foto-foto yang anda lihat dan temubual yang anda baca ini semuanya terealisasi atas bantuannya. Terima kasih Miedy.
Dan selang dua minggu penggambaran saya menghubungi Janna (sebenarnya tiga hari sebelum pernikahannya berlangsung) saya menghubunginya di telefon, dan kami berbual seketika sewaktu Janna membuat manicure di salon. “Okey ke interviu waktu ni?,” soal saya. “Okey je,” pantas jawab Janna. Jadi dalam kesempatan yang ada itu kami berbual sekitar 20 minit, singkat namun banyak yang dibicarakan malam itu.
Apakah perasaan Janna sekarang, dalam baki hari tinggal dua tiga hari sebelum bertukar status?
Nervous, mungkin inilah perasaan gemuruh dan gementar, takut pun ia juga dan dalam waktu yang sama saya juga berasa teruja. Saya tak pernah mengalami perasaan sebegini. Sukar diceritakan, bermacam-macam rencah perasaan ketika ini.
Sejak bila rasa ini timbul? Adakah sejak mula menetapkan tarikh atau hanya seminggu dua ini?
Sebelum ini biasa saja, rasa macam-macam ini muncul dalam minggu ini. Bila kita tengok senarai RSVP ada ditunjukkan baki hari, dari 10 bertukar sembilan, dan saya menjadi lebih gementar bila tanggal bertukar tujuh. Saya dah mula paranoid.
Janna memilih untuk berkahwin pada usia 28 tahun, apa yang membuat Janna pasti ini adalah waktu yang tepat untuk settle-down?
Bagi saya kita berkahwin apabila kita sudah siap sedia, baik mental mahupun fizikal, dan juga emosinya. Saya rasa saya sudah sedia semua itu dan saya juga bersedia untuk memiliki keluarga sendiri. Dan doktor juga menasihatkan saya berkahwin sebelum usia 30, kerana usia beginilah elok untuk memiliki zuriat. Bukanlah selepas 30 kita tak boleh ada anak, cuma usia sekarang ini adalah waktu yang lebih baik. Just nice!
Sejak mengenali Dini, apa yang berubah tentang diri Janna?
Dia membuatkan saya menjadi seorang yang lebih positif, yang mana saya fikir saya memang memerlukan seseorang seperti dia. Sejak kami rapat dia banyak mengubah cara dan corak saya berfikir. Mentaliti saya berubah dan dalam masa yang sama ia membentuk saya menjadi seorang yang lebih lembut dan penyabar.
Apa yang membuat Janna merasakan Dini adalah orang yang tepat sebagai pasangan?
Di mata saya dia seorang yang sangat baik dan punya kesabaran yang sangat tinggi. Personaliti dan karakternya amat berbeza dengan saya, sangat kontra. Perbezaan karakter kami yang membuatkan semuanya lebih seimbang. Bila perhubungan itu dijalani oleh dua karakter berbeza ia membuatkan kami saling melengkapi.
Mengapa memilih Langkawi sebagai lokasi perkahwinan?
Semua orang tahu Langkawi itu satu lokasi yang cantik, dan saya ambil keputusan memilih Langkawi kerana selain untuk meraikan perkahwinan, saya juga ambil peluang ini untuk meluangkan masa dengan persekitaran yang menyenangkan bersama keluarga, tidak kira yang dekat atau jauh.
Bagi saya tidak mudah untuk menjadi Janna Nick. Sejak bermulanya nama Janna semakin dikenali, ada sahaja isu atau kontroversi datang menghinggapi, bukan sengaja dicari tapi datang sendiri. Bagaimana Janna menetapkan situasi bila perlu respon, bila pula berdiam diri?
Saya tak boleh mengubah persepsi orang. Semua itu di luar kawalan, jika ada orang mahu menyalah anggap, mahu menghentam berpandukan persepsi mereka sendiri, saya tak mahu betulkan apa-apa. Kerana jika saya respon atau berbalas jawapan sekalipun, ia membuatkan isu itu berlarutan. Saya pula memang seorang manusia yang sering disalah ertikan (Janna ketawa). Bila saya menjawab makin orang tersalah anggap. Seperti saya cakap saya tak boleh merubah persepsi orang di luar sana, apa yang saya boleh ubah untuk menyelesaikan apa-apa masalah adalah dengan memperbaiki cara saya bercakap, memilih perkataan yang tepat, intonasi yang betul. Saya perlu berhati-hati bila mengeluarkan sebarang pendapat atau kenyataan.
“Masalah saya ialah bila saya bercakap terlalu kasual, seperti bercakap dengan kawan-kawan, dan bila ada orang yang mendengar dengan niat mahu menghakimi, jadi mereka akan jumpalah kesalahan-kesalahan itu,” – Janna Nick.
Jika boleh diundur masa, apakah momen yang ingin Janna perbetulkan, yang andai Janna memilih jalan yang lain, jalan ceritanya juga mungkin berbeza.
Hmmm… jika ditanya dari segi karier saya mahu ulang semula dari awal pembabitan saya dalam industri, saya mahu belajar untuk tidak memberi respon apa-apa isu dengan lantang. Saya mahu biarkan apa-apa kontroversi berlalu begitu saja tanpa sebarang reaksi. Namun saya sedar, apa yang berlaku itu ada sebabnya, darah muda membuatkan kita mahu berlawan-lawan. Bila sudah lama bergelanggang dalam dunia seni ini saya mula tahu kita tak akan ada daya untuk memperbetulkan apa yang orang rasa dan fikir tentang kita.
Bagaimana pula dengan detik gembira yang ingin Janna ulang dan jalani sekali lagi? Mungkin momen yang penting atau yang paling menggembirakan.
Andai boleh diundur kembali waktu, saya ingin melewati kembali detik saya memenangi Bintang Paling Popular di ABPBH ke-34, saya tak puas hati dengan penampilan saya malam itu. Kalau boleh mahu lebih cantik untuk gambar-gambar saya malam itu. Saya nampak bloated, dan solekan mata malam itu buat saya nampak sepet. Mungkin itu bukanlah happiest moment sepanjang saya bergelar anak seni tapi itu antara detik yang signifikan sepanjang saya bergelar anak seni. Ia satu malam untuk saya meraikan salah satu pencapaian terbesar saya di dalam industri.
Okey Janna, soalan akhir, apakah kisah sebenar di sebalik isu putus cinta sebelum ini? Sememangnya dirancang begitu atau hubungan bermasalah?
Itu adalah satu jalan yang kami pilih untuk orang tidak bercakap tentang perhubungan kami supaya kami boleh memberi perhatian sesama sendiri lebih lagi. Kami juga mahu lebih low-key dalam perhubungan sebelum mengikat perkahwinan, sekaligus kami boleh beri perhatian kepada persiapan majlis hari bahagia kami.