EH! menyertai La Mer ke Pulau Gaya mendekati dan memahami pentingnya untuk kita manusia sejagat menjaga dan memelihara keindahan laut menerusi inisiatif sosial La Mer Blue Heart.
Secara peribadinya ada banyak ‘kebetulan’ tentang kembara saya ke Gaya Island bersama La Mer. Ini sebenarnya adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Sabah. Dan beberapa bulan lalu saya ada berseloroh dengan kawan saya mahu ke Pulau Gaya kerana terlihatkan beberapa keping gambar di Instagram. Jadi undangan La Mer ke negeri di bawah bayu itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang.
La Mer membawa kami ke Pulau Gaya untuk membuka ruang untuk kami mendekati laut, menyelami dan memahami betapa pentingnya kita memelihara ‘kesihatan’ laut. Memandangkan produk La Mer sendiri banyak menggunakan bahan dari laut dalam produk mereka termasuklah item ikoniknya, Crème de La Mer. Malah La Mer juga sudah lebih 15 tahun terlibat dan menyumbang dalam kerja-kerja memelihara dan memulihara laut dan hidupan di dasarnya.
Seawal jam enam pagi lagi ‘pasukan’ rombongan La Mer sudah berkumpul di Terminal 1 KLIA termasuklah teman-teman selebriti dan personaliti media sosial. Dalam hening pagi itu tidaklah banyak dibualkan memandangkan mata masing-masing belum terbuka sepenuhnya. Saya sendiri memang baru pulang dari Kuching beberapa jam sebelum ke KLIA pagi tersebut.
Trip ini dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti seperti Eyka Farhana, Azira Shafinaz, Shalma Ainaa, Adriana Adnan, Bella Daly, model Natalie Phraba, Hazeeq Dean dan ramai lagi. Kami tiba di Kota Kinabalu dalam sekitar jam 11 pagi, kemudiannya dibawa ke jeti sebelum menaiki bot ke Gaya Island Resort dalam sekitar 20 minit. Kibaran banner tercetak logo La Mer menyambut kedatangan kami, dan dari jauh lagi keindahan seni bina resot yang bakal kami diami sudah memanggil-manggil. Tengahari itu cuaca amat terik, dan kami terus ke ruang makan menikmati sajian tengahari sementara menanti vila kami sedia untuk didiami selama dua malam.
Aktiviti hari pertama kami di sini amatlah santai. Kami di bawa bermalas-malas di atas kapal di tengah laut. Pada awal ketibaan kami di atas kapal, hujan gerimis mencurah dan membuatkan kami lebih banyak duduk di dalam kapal dan menikmati urutan tangan dan kepala. Ada juga yang duduk-duduk santai menikmati sajian ringan yang disediakan. Selang sejam hujan mula reda dan benarlah orang kata bila hujan mencurah akan ada pelangi yang muncul. Senja itu itu kami dapat melihat pelangi penuh dan rasanya inilah kali pertama saya berpengalaman menyaksikannya. Indah sungguh ciptaan Tuhan.
THE SEA SPEAKS, LET’S LISTEN
Pada hari kedua, usai bersarapan kami dibawa ke Gaya Island Resort Marine Conservation Centre yang mana di sini kami berpeluang memahami usaha yang mereka langsungkan dalam memelihara hidupan laut khususnya penyu. Di sini mereka akan merawat penyu-penyu yang mengalami masalah kesihatan yang mungkin cedera kerana kemalangan. Misalnya ada seekor penyu dinamakan sebagai ‘Covid’, ditemui di bawah kapal dan tiada cukup upaya untuk berenang. Usianya sudah 25 tahun, dan dia mempunyai lubang di bawah cengkerang yang membuatkan dia tidak boleh berenang ke dalam laut dan kerap terapung. Jadi pusat ini memberikan rawatan dan hanya melepaskan penyu-penyu apabila mereka sudah pulih atau punya daya untuk meneruskan kehidupan secara sendiri di laut.
Kemudian kami juga didedahkan tentang usaha memelihara karang laut (koral) dan melihat bagaimana mereka menyelamatkan karang laut. Karang laut bukanlah tumbuhan dan sebenarnya mereka dikategorikan sebagai haiwan. Kami dapat melihat sendiri bagaimana rupanya karang laut yang diselamatkan dapat membiak dengan cukup cantik. Kami juga diberi peluang menimba pengalaman bagaimana untuk menyelamat dan ‘menghidupkan’ semula batu karang. Koral laut terdiri dari dua jenis, yang lembut dan yang keras. Cara ‘membiakannya’ juga berbeza, yang mana koral keras hanya disatukan pada batu menggunakan gam sahaja. Manakala untuk koral lembut diikat menggunakan tangsi. Kemudian karang-karang ini akan diletakkan di dalam akuarium sehingga sampai beberapa tahun barulah diletakkan semula di Abdul Rahman Marine Park.
Usai makan tengahari kami diberikan kepada dua kumpulan untuk menjelajah hutan paya bakau dengan menaiki kayak. Rasa tenang menyelusuri paya bakau sambil deria pendengaran ditemani bunyi-bunyi burung dan sesekali melihat hidupan unik yang bersembunyi di celah-celah akar kayu bakau.
Apa yang boleh saya simpulkan tentang kembara sulung ke Sabah pertama kali ini ia adalah satu peluang yang sangat menenangkan dan sangat berinformasi. Banyak yang saya belajar dan banyak juga yang saya sedar betapa pentingnya untuk kita manusia sejagat mengambil inisiatif untuk menjaga laut kita. Dan saya cukup menyanjungi usaha La Mer dalam memenuhi tanggungjawab sosial ini.
BACA: Rahsia Cantik Ameera Khan, Sapu Creme De La Mer Pada Punggung