Peminat muzik teruja menyambut kedatangan Muse selepas insiden hitam yang dicetuskan sebuah kumpulan pop Inggeris baru-baru ini.
Berbeza dengan The 1975 yang bersikap biadap di pentas Good Vibes Festival pada hujung minggu lalu, Muse dipuji peminat kerana berkelakuan sopan dan merendah diri. Kumpulan yang dianggotai oleh Matt Bellamy, Chris Wolstenholme dan Dominic Howard itu dirakam ketika mendaftar masuk di sebuah hotel di Langkawi bersama anak isteri. Mereka dilaporkan sedang berehat sebelum menjayakan konsert jelajah Will Of The People di Stadium Bukit Jalil pada 29 Julai ini.
“Tiada rokok di tangan. Tidak bermasam muka kerana terpaksa datang ke ‘negara dunia ketiga’ selepas menjayakan konsert jelajah hebat sekitar Eropah. Tak ada lagak bintang rock yang klise. Hanya berwajah manis di samping isteri dan anak-anak,” tulis seorang netizen di Twitter. Ketika tiba di hotel penginapan, Matt Bellamy dilihat sempat tersenyum dan melambai ke arah tetamu yang berada di lobi.