Lima bulan menempuh alam persaraan, Safee Safi mengumumkan dia bakal menghangatkan kerusi konti sebagai penyampai radio.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan itu dipilih menjadi personaliti jemputan radio Era untuk segmen hujung minggu yang baru diperkenalkan, Super Safee ERA. Ia akan ke udara pada setiap hari Sabtu dari jam 10 pagi hingga 11 pagi bermula 12 Ogos ini.
Segmen tersebut bakal memaparkan info terkini berkaitan sukan tempatan dan antarabangsa. Ini termasuk berita, topik perbualan dan temu bual bersama tetamu undangan dari dalam dan luar bidang sukan.
“Saya tidak hanya mengulas mengenai sukan tetapi pelbagai topik. Pada peringkat awal ini, segmen terbabit dibuat dalam bentuk rakaman. Tetamu pula dari semua golongan. Saya tak hadkan kepada ahli sukan sahaja. Sebab semua orang termasuk ahli politik pun bersukan. Saya juga akan menyelitkan unsur hiburan dalam segmen berkenaan. Saya tidak mudah untuk saya bercakap tentang hiburan kerana ia bukan bidang saya. Namun saya akan cuba sebaik mungkin,” katanya, menurut Harian Metro.