Saat ini masakan lengkap berbicara tentang Burberry tanpa menyebut dua nama, Daniel Lee (Ketua Pegawai Kreatif Burberry) dan juga wajah paling popular Thailand, Bright Vachirawit.
Saya ke butik Burberry minggu lalu untuk melihat sendiri himpunan terkininya (musim luruh) 2023, yang juga merupakan koleksi pertama Daniel Lee bersama rumah fesyen London ini. Himpunan secara amnya saya simpulkan masih mengekalkan DNA Burberry namun dalam arah tuju dan sentuhan yang berbeza.
“Sejak tamat pengajian di Central Saint Martins saya jarang berada di sini (London), saya ke New York untuk Donna Karan, kemudian ke Paris untuk Celine dan Milan. Dan saya pulang ke London sekadar untuk mencari inspirasi, dan adalah sangat menggembirakan bila dapat kembali ke London dan bertapak di sini,”- Daniel Lee dalam temubualnya bersama Vogue.
Apa yang Daniel Lee buat untuk koleksi Burberry yang baru ini? Paling jelas dia memberi sentuhan warna dicelah-celah ton yang sudah jadi comfort zone bagi Burberry. Dia bawakan merah, ungu, kuning dan juga biru. Corak genggang juga sudah lebih ringkas dan dapat dilihat pada bahagian luar mahupun lining.
Pengaruh British terus bernyawa menerusi koleksi ini. Elemen bunga mawar, cetakan itik, gaya punk mahupun kilt boleh dilihat menerusi koleksi ini. Sepatu dengan perincian kelopak mawar serta sentuhan faux-fur juga menjadi highlight koleksi debut ini.
Saya juga tertarik dengan Trench Crossbody Bag, tas silang badan yang menggunakan fabrik jaket trench Burberry (water repellent), dan saya fikir beg ini punya sifat tahan lasak dan sesuai untuk dijadikan tas harian.
Logo Burberry Equestrian Knight yang diperkenalkan pada 1909 juga kembali diagungkan dan ini memang sudah jadi kebolehan Daniel Lee; memberi sentuhan segar dan inovasi baru kepada warisan lampau.
PESONA BRIGHT DALAM BURBERRY
Di era ini masakan lengkap jika bercakap tentang Burberry tanpa mengaitkannya dengan aktor dan penyanyi Thailand, Bright Vachirawit. Dia yang sudah dilantik sebagai salah seorang wajah rasmi Burberry sejak tahun lalu memang sering saja dilihat berbalut dalam helaian Burberry mahupun melengkapkan penampilannya dengan aksesori dari Burberry.
EH! menyorot gaya aktor yang mencetus populariti menerusi 2gether: The Series dan F4 Thailand: Boys Over Flowersdalam padanan Burberry.
Ini foto terbaru Bright dalam padanan Burberry musim bunga 2024 yang baru sahaja dipentaskan tempoh hari.
Bright memadankan helaian sedondon dari koleksi musim luruh Burberry 2023 sewaktu hadir ke pertunjukan Burberry musim bunga/panas 2024 di London.
Ini gaya Bright yang dirakam sewaktu dia tiba di London untuk menghadiri pertunjukan koleksi terkini Burberry. Dia menggayakan baju-t lengan panjang bercetak bunga ros dan begitu juga seluarnya sarat dengan cetakan bunga mawar. Padanan ini dari koleksi sulung Daniel Lee bersama Burberry.
Di pertengahan tahun ini Bright dilihat menyandang The Knight Bag sewaktu di berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Beg ini sudah pun berada di butik Burberry. Terdapat pelbagai warna, kemasan dan perincian, warna hitam secara peribadinya antara kesukaan saya. Boleh lihat lagi variasi beg ini di pautan BURBERRY INI!
Ini antara kelibat awal Bright dalam padanan Burberry. Fotonya ini dirakam sewaktu datang ke pertunjukan Burberry musim luruh/dingin 2023 awal tahun ini. All black dan dalam gaya staple Burberry, trench coat!