Bintang R&B, Usher bakal menghangatkan pentas persembahan separuh masa Super Bowl ke-58 yang akan berlangsung di Las Vegas, Nevada pada 11 Februari 2024.
Ini menandakan penampilan keduanya di pentas Super Bowl. Usher sebelum ini pernah membuat persembahan di samping Black Eyed Peas ketika kumpulan itu menerajui Halftime Show pada 2011.
Berita gembira itu diumumkan oleh National Football League (NFL), Apple Music dan agensi hiburan Roc Nation menerusi satu perkongsian di laman X baru-baru ini.
Jay-Z selaku pemilik Roc Nation yang kembali mengurus Halftime Show buat tahun kelima mendedahkan sebab di sebalik pemilihan penyanyi itu.
“Usher adalah artis dan penghibur pentas terbaik. Sejak kemunculan sulungnya pada usia 15 tahun, dia telah melakar laluan uniknya sendiri. Di sebalik nyanyian sempurna dan koreografi hebat, Usher mendedahkan jiwanya.
“Perjalanannya yang luar biasa telah mengangkatnya ke salah satu peringkat terhebat di dunia. Saya tidak sabar mahu melihat keajaiban yang bakal diciptanya,” katanya.
Jay-Z pernah bekerjasama dengan penyanyi, penulis lagu dan penari itu menerusi Hot Tottie, Anything dan Best Thing.
Usher Luah Rasa Teruja
Berkongsi kegembiraan dengan peminat, Usher berkata pemilihannya untuk menerajui Super Bowl adalah pencapaian yang telah lama dinanti.
“Ia adalah satu penghormatan seumur hidup. Saya tidak sabar untuk beraksi di hadapan dunia, membawakan persembahan yang tidak pernah anda lihat daripada saya sebelum ini. Terima kasih kepada peminat dan semua orang yang terlibat atas peluang ini,” katanya.
Pemilihan Usher menyusuri penampilan ikonik Rihanna di pentas Super Bowl 2023 di mana dia memberi kejutan dengan mendedahkan kehamilan keduanya. Menurut penganjur, ia merupakan Halftime Show paling banyak ditonton setakat ini.
Selain Rihanna dan Black Eyed Peas, nama-nama besar lain yang pernah memeriahkan pentas persembahan separuh masa termasuk Rolling Stones, Beyonce, Stevie Wonder dan Prince.
Baca: Gegarkan Pentas Superbowl Halftime Show, Tiada Bayaran Untuk Shakira Dan J.Lo