Tahun ini kisah selebriti bercerai mendominasi tajuk berita di media sosial, seakan menjadi trend.
Di Malaysia, kita dikejutkan dengan perceraian pasangan popular yang disangka akan bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Tanpa diduga, mahligai perkahwinan yang dibina berkecai di tengah jalan apabila mereka memilih untuk bercerai. Contohnya perkahwinan Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof. Trend sama juga boleh dilihat di Hollywood.
Berikut adalah pasangan artis terkenal yang memilih untuk bercerai pada tahun ini.
Joshua Jackson & Jodie Turner-Smith
Aktor kelahiran Kanada ini terkejut dan terluka apabila mendapat tahu isterinya yang juga aktres serta model menfailkan perceraian baru-baru ini. Mereka dilaporkan tidak tinggal sebumbung sejak 13 September lalu.
Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri pada 2019. Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Juno Rose Diana, 3.
Hugh Jackman & Deborra-Lee Furness
Pasangan asal Australia ini mengumumkan perceraian lima bulan selepas sambutan ulang tahun perkahwinan ke-27. Dalam kenyataan bersama, Hugh Jackman dan Deborra-Lee Furness berkata hala tuju kehidupan mereka telah berubah.
Disebabkan itu mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing demi mencapai matlamat peribadi. Pasangan itu memiliki dua anak angkat, Oscar Maximilian, 23 dan Ava Eliot, 18.
Joe Jonas & Sophie Turner
Pasangan ini mengejutkan dunia apabila tersebarnya berita perceraian mereka di internet. Joe Jonas menfailkan cerai terhadap isterinya selepas empat tahun berumah tangga. Katanya, perkahwinan mereka tidak dapat dipulihkan lagi.
Menurut laporan TMZ, pasangan itu berdepan masalah serius dalam rumah tangga sekurang-kurangnya sejak tujuh bulan lalu namun hanya berjaya dihidu media baru-baru ini. Mereka mempunyai dua anak perempuan iaitu Willa, 3 dan Delphine, 1.
Britney Spears & Sam Asghari
Lebih setahun bergelar suami isteri, Sam Asghari menfailkan perceraian terhadap Britney Spears dan berpindah keluar dari rumah kelamin mereka. Pasangan itu dilaporkan sering bertengkar selepas Sam menuduh penyanyi itu berlaku curang dengan lelaki lain.
Mereka mula menjalin hubungan pada 2016 selepas disatukan dalam klip video Slumber Party dan berkahwin pada 9 Jun 2022.
Natalie Portman & Benjamin Millepied
Perkahwinan pasangan ini hancur sekelip mata gara-gara orang ketiga. Natalie Portman menfailkan perceraian selepas tularnya bukti yang menunjukkan suaminya bermain kayu tiga dengan aktivis alam sekitar dua bulan lalu.
Dia dilaporkan sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan yang dibina sejak lebih sedekad. Pasangan ini bertemu buat kali pertama di set penggambaran filem Black Swan pada 2009 dan berkahwin pada 4 Ogos 2012.
Sofia Vergara & Joe Manganiello
Power couple Hollywood ini membuat keputusan membawa haluan masing-masing selepas lebih tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Menurut sumber terdekat, perceraian mereka disebabkan ketidaksefahaman yang berpanjangan.
Pasangan itu dilaporkan tidak lagi mencintai satu sama lain, gemar meluangkan masa sendiri dan lebih mengutamakan kerjaya berbanding hubungan suami isteri. Sofia Vergara dan Joe Manganiello berkenalan di Majlis Makan Malam Perwakilan Rumah Putih pada awal 2014 dan berkahwin setahun kemudian.
Ariana Grande & Dalton Gomez
Penyanyi kecil molek ini menfailkan perceraian terhadap suaminya selepas dua tahun hidup bersama. Alasannya? Dia terlalu sibuk dek jadual kerjaya yang padat. Menurut laporan, rumah tangga pasangan itu telah lama retak menanti belah dan mereka tidak duduk sebumbung sejak awal tahun ini.
Kedua-duanya menjalin hubungan pada Januari 2020 dan disatukan sebagai suami isteri pada 15 Mei 2021.
Kevin Costner & Christine Baumgartner
Asbab tidak sehaluan, pasangan ini memilih jalan perceraian selepas hampir dua dekad hidup bersama. Menurut Kevin Costner, dia hilang kawalan dalam perkahwinannya lalu membuat keputusan untuk bercerai. Mereka berkenalan di padang golf pada 1998 dan mendirikan rumah tangga enam tahun kemudian.
Reese Witherspoon & Jim Toth
Pasangan ini mengumumkan perceraian mereka Mac lalu selepas 11 tahun bergelar suami isteri. Reese Witherspoon mengakui ia bukanlah keputusan mudah namun mereka sepakat untuk memberi fokus membesarkan anak bersama. Aktres dan penerbit ini bergelar suami isteri pada Mac 2011.
Baca: Perceraian Termahal Di Bollywood, Salah Satunya Melebihi RM200 Juta