Menulis itu adalah satu bentuk ekspresi, ekspresi yang membebaskan diri dan juga meringankan kotak fikiran, dan itulah yang dirasai aktor Nadhir Nasar acap kali dia menulis.
Pada firasat saya Nadhir jiwanya sarat dengan seni, dia seakan mahu mencuba apa-apa sahaja asalkan berkait dengan seni. Umumnya dia dikenali sebagai pelakon, dan dalam menimba pengalaman di depan lensa dia juga dalam diam sikit demi sedikit menghimpun ilmu sebagai pengarah.
Dia pernah mengarah filem pendek yang disokong teman-temannya sebagai tenaga produksi. Dan hasil debut itu membanggakan apabila tersenarai sebagai 10 finalis terbaik di BMW Shorties 2022. Dijudulkan sebagai ‘Villa Rosly’, filem pendek ini turut tercalon menerusi beberapa kategori lain seperti lakon layar terbaik, pelakon lelaki terbaik dan anugerah khas juri.
Terbaru, Nadhir sekali lagi duduk di kerusi pengarah kali ini naskhahnya sedikit berbeza bila mana dia mengarah video muzik pula. Dan mengenali Nadhir dia mahukan sesuatu karyanya bercerita dan punya mesej dan itulah yang ditonjolkan menerusi ‘Malam Pagi’ nyanyian Saixse dan MK.
Di laman media sosial, ‘X’ khususnya, kita dapat melihat sisi lain Nadhir yang lazim meluah apa yang terlintas di fikirannya. Kata-kata pendek ciapannya membuat kita berfikir dan ‘terfikir’.
“Dan mereka merancang, Tuhan juga merancang, dan Tuhan itu sebaik-baik perancang. Perancangan manusia itu usaha, perancangan Tuhan itu takdir”
“Teruskan hidupmu yang tidak sempurna kerana siapa yang sempurna? Hanya bisa berpura-pura.”
“Bacalah wahai anak muda, kita semakin suntuk.”
Menerusi temubual Nadhir bersama Daiyan Trisha, dia berkongsi menulis itu adalah satu perhubungan yang sangat dekat dan rapat dengan dirinya. Menurutnya dia terlalu banyak idea, dan idea-idea yang datang secara tiba-tiba selalu menganggu fikirannya.
“Sebelum ini saya benci idea. Idea selalu menganggu fikiran saya. Dari situ saya sedar bila saya menulis dan meluahkan idea-idea ini menerusi penulisan ia membuatkan kepala saya berasa lebih ringan.”
Lazim bila menulis Nadhir suka menggunakan metafor, dan metafor ini inspirasinya datang dari sekelilingnya. Dan sebagai aktor dia tidak menafikan atau meniyakan yang satu-satu watak yang dibawanya merubah pesonanya sebagai penulis.
“Mungkin ya mungkin tidak. Berlakon dan menulis adalah sesuatu yang sudah terbiasa dengan diri saya. Bagi saya kedua-duanya adalah satu cara untuk saya membebaskan diri, escape from my mind.”
“Menulis adalah idea. Sebelum menulis kita perlukan idea. Idea adalah air, menulis itu botolnya. Tanpa menulis idea itu tiada apa-apa,”- Nadhir Nasar.
Kongsi Nadhir lagi menulis itu adalah satu ekspresi, ia meringankan fikiran. Dan dia suka menulis tentang perjalanan hidup dan pengalaman. Baginya manusia itu melalui fasa-fasa kehidupan yang serupa.
“Kita selalu rasa perjalanan kita ni seorang tapi sebenarnya ramai yang melalui perjalanan yang sama. Saya hanya mahu berkongsi. Apa yang kita nak buat, kita berceritalah. Itulah kehidupan, kita kena share.”
Tonton video penuh temubual Daiyan Trisha bersama Nadhir Nasar di bawah:
Konsep: Daiyan Trisha & Sharifah Amani, Penata Gaya: Khairul Abidin, Penyelaras: Eqa Zulkifli, Fotografi: Aaron lee (Lensworks Production), Videografi & Suntingan: Zakwan, Solekan: Shiyo Joo, Dandanan: Yusof Ruzaimi, Sut: MSGM.
BACA: “Menulis Itu Terapi Saya Melawan Anxiety,”- Najwa Mahiaddin