Percintaan Channing Tatum dan Zoe Kravitz nampaknya bakal berakhir di jenjang pelamin.
Beberapa sumber mengesahkan Channing melamar teman wanitanya baru-baru ini selepas dua tahun menjalin hubungan romantis. Mereka mula dikaitkan bersama pada Ogos 2021.
Hujung minggu lalu pasangan itu dirakam menghadiri parti Halloween menggayakan tema filem seram Rosemary’s Baby (1968). Zoe muncul sebagai Rosemary Woodhouse manakala Channing pula sebagai anaknya.
Aktres Batman itu memberi petunjuk pertunangannya dengan menyarung sebentuk cincin berlian di jari manis.
Pertemuan Pertama Channing Tatum dan Zoe Kravitz
Pasangan ini berkenalan ketika proses uji bakat filem pertama arahan Zoe, Pussy Island pada 2020.
“Saya amat bersyukur kerana filem ini membawa Channing Tatum ke dalam hidup saya,” katanya kepada majalah WSJ pada Ogos 2022.
Aktres berusia 34 tahun itu turut memuji pasangannya dalam temu bual bersama GQ tahun lalu, menyifatkannya sebagai ‘manusia luar biasa’.
“Dia selalu membuatkan saya ketawa. Kami berdua amat meminati seni dan sering bercakap mengenainya.
“Kami suka menonton filem bersama dan berkongsi pendapat dari sudut kreatif serta mencabar idea satu sama lain,” ujarnya
Channing dan Zoe sama-sama pernah melalui pengalaman berumah tangga. Anak kepada penyanyi Lenny Kravitz itu bergelar isteri kepada aktor Karl Gusman dari 2019 hingga 2021.
Pelakon berusia 43 tahun itu pula pernah berkahwin dengan aktres dan penari Jenna Dewan dari 2009 hingga 2019. Hasil 10 tahun perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Everly.
Baca: Selepas 8 Tahun Berkahwin, Channing Tatum Dan Jenna Dewan Berpisah