Penghujung Oktober lalu telah berlangsungnya “Pink Spark: Uniting for a Cause” satu acara kebajikan dan kesedaran anjuran jenama perhiasan diri mewah, Diamond & Platinum.
Masuk tahun ini sudah tiga kali jenama perhiasan diri, Diamond & Platinum, menganjurkan acara larian amal, “Pink Spark: Uniting for a Cause” yang mana mereka menjalin kerjasama bersama National Cancer Society Malaysia. Acara yang dianjurkan bersama penganjur JomRun dengan sokongan Pavilion Bukit Jalil juga Majlis Sukan Negara ini diadakan bagi mengumpul dana serta meningkatkan lagi kesedaran orang ramai tentang bahanya penyakit barah.
Lebih istimewa, menerusi acara amal ini, Diamond & Platinum telah menderma sebanyak RM30,000 kepada badan kebajikan National Cancer Society Malaysia dalam mempertingkat kesedaran buat orang awam.
Selain itu, acara ini juga memberi ruang buat badan kebajikan yang terlibat menyediakan aktiviti sokongan seperti menyediakan khidmat pemeriksaan untuk mengesan hepatitis B juga hepatitis C bersama ujian iFOBT untuk kanser kolorektal, ujian gula dalam darah, juga pemeriksaan klinikal untuk payudara.
“Pink Spark: Uniting for a Cause” turut diseikan dengan kehadiran ikon sukan negara, Datuk Shalin Zulkifli, Datuk Mike Mehan juga Ho Ying sebagai perwakilan dari Majlis Sukan Negara untuk memeriahkan lagi acara titik permulaan larian bersama Pengarah Diamond & Platinum, Leslie Choong juga Penolong Pengurus Besar Pemasaran Pavilion Bukit Jalil, Stephanie Mak. Tidak ketinggalan, selebriti juga ikon fesyen terkenal, Scha Alyahya turut turun padang memeriahkan acara larian amal ini.
Misi utama acara amal ini adalah bertujuan untuk menggerakkan usaha dalam membawa perubahan terhadap keprihatinan dan kesedaran penyakit kanser. Ia bukanlah sekadar acara biasa, ia adalah merupakan sebuah gerakan yang ingin membantu setiap individu tentang penyakit ini. Diamond & Platinum menyasarkan untuk memberi impak hebat melalui kempen ini dengan memberitahu orang ramai tentang kesan penyakit berbahaya ini.
Tahun ini, pelbagai aktiviti telah disediakan di “Pink Spark: Uniting for a Cause”. Selain acara larian amal, aktiviti seperti bengkel interaktif, aktiviti perbincangan penuh inspirasi serta hiburan disediakan buat pengunjung yang hadir. Mereka mahu menjadikan acara ini sebagai satu platform yang menyampaikan mesej positif juga penuh harapan hasil perkongsian cerita-cerita menarik oleh mereka yang pernah menghadapi penyakit ini.
BACA: Liberte, Koleksi Elegan Malar Segar Diamond & Platinum