Ternyata tepat pilihan kami memilih Angel (DOLLA) untuk rakaman istimewa bersama Shu Uemura. Auranya menghidupkan jelmaan imej Jojo’s, salah satu watak kartun manga yang cukup ikonik di Jepun.
Shu Uemura, satu jenama kecantikan yang pada saya punya jiwa seni yang cukup dalam. Tiap satu produk dihasilkan cukup teliti, dari pemilihan bahan, formula hinggalah ke bungkusannya. Dan yang terkini semepna meraikan musim percutian ini, Shu Uemura menjalin kolaborasi bersama karya ikonik Jepun, Jojo’s Bizarre Adventure.
Dan rasanya jenama kosmetik terkenal dari negara matahari terbit ini bijak mempopularkan budaya atau identiti Jepun dalam mana-mana kolaborasi termasuklah yang terbaru ini. Pemilihan kartun manga Jojo’s Bizarre Adventure atau dalam bahasa Jepunnya ‘JoJo no Kimyō na Bōken’, sangat genius sementelah manga ini sudah punya pengikut dan peminatnya sendiri. Mula diperkenalkan sejak 1987, ia sebuah ‘jenama’ yang sangat mesra di kalangan penggemarnya.
EH! melangsungkan penggambaran istimewa untuk meraikan kolaborasi ini. Angel, gadis Borneo memiliki raut wajah sempurna untuk menterjemahkan koleksi ini. Karakternya yang misteri sesuai dengan imej Jojo yang bold. Jurusolek Shiyo Joo menyempurnakan solekan dengan menggunakan produk dari koleksi ini.
Highlight Shu Uemura x Jojo’s Bizarre Adventure
Jika ada satu produk yang paling menangkap mata tentunya Butterfly Dagger Eyeshadow Palette. Palet pembayang mata yang dibekaskan dalam palet bentuk hati dalam warna keemasan ini tampil comel dan dilengkapkan dengan pilihan warna yang diinspirasikan dari warna batu-batu di persisir pantai dan ada juga warnanya beradun seperti batu marble.
Butterfly Dagger Eyeshadow Palette disempurnakan dengan sembilan warna. Dan pemilihan warna pembayang mata ini cukup teliti dan Shu uemura memang memilih warna yang sesuai dengan ton kulit wanita Asia.
Apa lagi yang menarik tentang pembayang mata ini? Ia hadir dengan lima tekstur dan kemasan, ada pusam, berkilat dan ada juga yang kelihatan ‘basah-basah’.
Variasi Pewarna Bibir Shu Uemura
Masakan sempurna satu-satu koleksi solekan andainya tidak dilengkapkan dengan pilihan gincu. Samalah juga dengan kolaborasi Shu Uemura x Jojo’s Bizarre Adventure ini. Shu Uemura menyajikan variasi jenis gincu, baik dari segi formula, warna dan kemasan.
Antara yang membarisi ialah Rouge Unlimited Kinu Cream, gincu tekstur krim yang lembut sebaik dicalit pada bibir. Lengkap dengan aplikasi koyubi, sapuan menjadi kemas dan mudah, dan hasilnya sapuan gincu sesempurna jurusolek profesional.
Koleksi ini juga hadir dengan Rouge Unlimited Bizarre Marble (RM155) ini tampil unik dengan batang gincu ‘bercorak’ marble. Menurut Shu Uemura, campuran warna hijau limau dan merah jambu adalah satu gabungan ton yang mencipta keterujaan dan impian yang penuh cabaran.
Pastinya tidak sempurna bercakap tentang Shu Uemura jika tidak menyebut tentang pengepit bula mata ikoniknya. Koeksi kolaborasi ini juga meriah dengan edisi terhad. Dengan perincian ‘charm’ corak rama-rama, eyelash curler ini antara tarikan untuk peminat Shu Uemura. Memandangkan pengepit bulu mata jenama ini antara yang ikonik (dan efektif), ini pastinya mesti ada dalam kit mekap anda. Miliknya pada harga RM130.
Petal 55 Foundation Brush dari Shu Uemura merupakan satu lagi cipta ikonik label kecantikan ini. Berus bedak asas yang dilengkapi dengan 198,000 bulu ini membuatkan aplikasi bedak asas cukup sempurna dan rata.
Bagi yang tidak berapa gemar berhias namun tertarik dengan koleksi ini mungkin boleh miliki Ultime8∞ Sublime Tsubaki Cleansing Oil. Sejujurnya ini antara minyak pembersih muka yang saya suka. Ia membersih wajah dengan baik sekali dan dalam masa yang sama tidak mengeringkan kulit. Ia mengandungi formula minyak seed dan juga ekstrak bunga-bungaan. RM449 (450ml) dan RM202 (150ml).
Koleksi Shu Uemura x Jojo’s Bizarre Adventure sudah pun berada di stor Shu Uemura seluruh negara dan anda juga boleh dapatkannya menerusi belian dalam talian di pautan INI!
BACA: Shu Uemura Unlimited Lasting Makeup Fix Mist, Face Mist Pilihan Nombor 1