‘The Lil Nas X Drop’ mula menjengah ke butik Coach bermula 26 Disember, satu koleksi kapsul sebagai kesinambungan kemeriahan musim dingin 2023.
Penyanyi sensasi Lil Nas X yang juga merupakan wajah global Coach hari ini melancarkan ‘the Lil Nas X Drop’, sebuah koleksi kapsul yang dihasilkan oleh Coach bersamanya. Koleksi ini secara jelasnya meletakan stail dan personaliti pelantun Industry Baby ini.
Pengarah kreatif Coach. Stuart Vevers menghasilkan helaian dan aksesori berinspirasikan penampilan dan karakter Lil Nas X, termasuklah juga dari pemilihan warna dan stailnya. Dan dari banyak-banyak ilham yang dihasilkan, Lil Nas X mengakhiri proses penghasilan himpunan ini dengan memilih rekaan yang secocok dengan cita rasanya.
Antara rekaan yang menangkap mata menerusi koleksi ini ialah jaket varsiti berhias tepekan dengan simbol yang dekat diri Lil Nas X sendiri seperti lambang zodiak Aries dan juga kucing belaannya. Koleksi ini juga tampil bold dan ‘sangat berwarna’ apabila baju-t, baju panas dan juga begnya muncul dalam warna elektrik nan menjerit perhatian. Malah koleksi ini juga tampil eksotik dengan permainan cetakan harimau bintang.
Konsep Y2K menjadi inspirasi utama buat kempen koleksi ini, lantas menjadikan vibes himpunan ini sangat trendy dengan stail dan selera orang muda hari ini. Lebih menarik pemenang dua anugerah Grammy ini menerokai konsep ini bergandingan dengan pasukan kreatif Coach sendiri.
“Untuk koleksi kapsul ini saya banyak merujuk kepada Lil Nas X sendiri, hubungan dirinya dengan muzik dan aktiviti diniharinya,” Stuart Vevers, pengarah kreatif Coach.
Menurut Stuart Vevers koleksi ini terinspirasi dari kepercayaannya sendiri bahawa fesyen adalah berhubung kait dengan meneroka dan meraikan diri kita sendiri. Dia mengembangkan ideanya berpandukan koleksi musim luruh/dingin Coach tahun ini dengan menyuntik idea individualiti dan ekspresi diri dan semuanya ini dihasilkan dari pemerhatiannya pada penyanyi berusia 24 tahun itu.
BACA: Coach ‘Wear Your Shine’, Ekspresi Keberanian dan Individualiti