Bakal menjadi sebahagian dari keluarga, Anisha Isa Kalebic telah menunjukkan keakrabannya dengan keluarga Di-raja Brunei melalui serangkaian potret mesra bersama Karraminah Al-Bolkiah iaitu sepupu kepada Putera Mateen.
Menjelang majlis perkahwinan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah pada 11 Januari 2024, Dayang Anisha Rosnah Adam, atau lebih dikenali sebagai Anisha Isa Kalebic, menjadi perhatian ramai. Keakrabannya dengan keluarga Putera Mateen, terutama Dayang Karraminah Clarrise del Rosario Al-Bolkiah, sepupu Putera Mateen, telah meraih perhatian ramai.
Momen keakraban antara mereka telah menarik minat dan rasa ingin tahu rakyat jelata. Oleh itu, EH! kumpulkan lima potret istimewa yang memaparkan keakraban antara Karraminah Al-Bolkiah dan Anisha Isa Kalebic, memberikan kita sekilas pandang ke dalam ikatan persahabatan mereka.
5 Potret Akrab Karraminah Al-Bolkiah Dan Anisha Isa Kalebic, Bakal Isteri Putera Mateen;
1. Bersahabat Baik
Melalui lensa media sosial, kita diberi kesempatan untuk melihat sisi lain dari kehidupan kerabat di-Raja Brunei yang sering tersembunyi dari sorotan umum. Walaupun Karraminah Al-Bolkiah menetap di luar negara, hubungan antara mereka berdua tergambar jelas dalam setiap foto muat naik yang dibuat, tidak hanya mempamerkan momen-momen bersama, tetapi juga mencerminkan hubungan yang erat antara mereka.
2. Menonton Sukan Polo
Potret yang mengabadikan mereka berdua, berjalan bersama di padang polo, telah menarik perhatian luas. Dalam suasana acara sukan amal polo 2022 yang berlangsung setiap tahun di Brunei, keakraban dan keserasian mereka nampak nyata. Dalam setiap langkah dan senyuman yang terukir, tergambar jelas bukan hanya persahabatan yang erat, tetapi juga keselesaan antara mereka berdua.
3. Minggu Fesyen Paris Ellie Saab
Menghadiri acara fesyen Ellie Saab di Minggu Fesyen Paris, Anisha dan Karraminah sekali lagi menjadi perhatian ramai. Anisha, dalam gaun hitamnya yang anggun dan elegan dilengkapi dengan aksesori silver yang menambah kilauan, sementara Karraminah memukau dalam gaun panjang berwarna ungu yang dipadankan bersama sepasang kasut tumit tinggi, menonjolkan gaya penampilannya yang versatil.
4. Makan Malam Bersama Jenama Boucheron
Sekali lagi mencuri perhatian dengan gaya yang memukau. Kali ini di acara makan malam eksklusif bersama Boucheron, salah satu jenama perhiasan terkenal dari Perancis. Walaupun kedua-duanya memilih gaun serba putih, keduanya berjaya mengekspresikan identiti dan personaliti yang berbeza. Anisha, dengan gaun putih yang sederhana, memancarkan aura keanggunan yang klasik, ditambah dengan sentuhan aksesori pelengkap gaya. Manakala, Karraminah, dalam gaun putihnya yang lebih berani dan seksi, menunjukkan karakter yang lebih edgy.
5. Swafoto Bersama
Meskipun kehidupan kerabat Di-raja agak terjaga, keakraban yang terjalin antara Karraminah dan Anisha, terlihat jelas melalui momen yang mereka bagi bersama. Karraminah memberikan jendela kecil untuk dunia luar menyaksikan persahabatan dan kemesraan yang terjalin di antara mereka berdua. Baik momen di acara-acara sosial, pertemuan keluarga, atau hanya sekadar detik-detik santai mereka berdua.
Artikel Berkaitan: Kenali 7 Puteri Kerabat Di-Raja Brunei