Gaun perkahwinan Kerabat Di-Raja Malaysia selalu menjadi tumpuan dan inspirasi dalam dunia fesyen.
Setiap kali terdapat perkahwinan di kalangan kerabat Di-Raja, gaun yang digayakan akan menjadi momen ikonik yang paling menyerlah dan memberikan impak besar terhadap trend fesyen di negara.
Gaun perkahwinan kerabat Di-Raja Malaysia bukan hanya menceritakan tentang hari bersejarah malah ia merupakan karya seni yang memukau dan penuh perhatian pada perincian gaun. Mereka mencerminkan warisan budaya yang kaya dengan mengekalkan unsur-unsur moden. Setiap gaun mempunyai cerita dan makna tersendiri, mewakili keunikan dan keindahan dalam tradisi perkahwinan Di-Raja Malaysia.
Imbas kembali lima gaun ikonik perkahwinan kerabat Di-Raja Malaysia yang memikat hati dan menarik perhatian rakyat serta peminat fesyen di seluruh dunia.
1. Che Puan Juliana Evans (Kerabat Di-Raja Selangor)
Erti keanggunan dan kehalusan yang padan dengan pemakainya, Che Puan Juliana Evans – tampak manis dan sungguh berseri dalam persalinan baju kurung bersulamkan manik penuh di dada, memberikan impak visual yang sangat besar dalam rekaan klasik dan elegan.
2. Tunku Aminah Maimunah Iskandariah (Kerabat Di-Raja Johor)
Selanjutnya, persalinan baju kurung perkahwinan Puteri Johor yang memukau hati dengan rekaan yang lebih bersifat klasik dan minimalis. Masih mengekalkan ciri potongan Baju Kurung Telok Belanga – pakaian tradisi wanita Johor – ini menampilkan potongan yang menyerlahkan kecantikan Puteri Johor dengan elegansi yang menyeluruh.
Tidak hanya baju kurung perkahwinan yang menjadi perhatian, malah lengan berlipat juga menjadi bualan rakyat. Pemakaian baju kurung lengan lipat itu sebenarnya merupakan satu gaya dan elemen pada busana Johor asli. Malah lengan lipat ini juga turut diaplikasikan kepada lelaki Johor ketika mengenakan baju melayu Teluk Belanga.
3. Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (Kerabat Di-Raja Pahang)
Persalinan baju perkahwinan Raja Permaisuri Agong juga menarik perhatian rakyat hingga kini. Persalinan baju kurung menampilkan kombinasi unik antara keanggunan tradisional dan sentuhan moden, dibaluti kain sutera songket lengkap dengan hiasian sulaman emas dan batu permata, memberikan sentuhan keagungan yang amat istimewa.
Potongan persalinan baju kurung yang menyerlahkan Raja Permaisuri Agong ini tampak bernyawa memberikan keseimbangan yang sempurna antara kemewahan dan keselesaan.
4. YABhg Cik Puan Sofie Louise Johansson (Kerabat Di-Raja Kelatan)
Gaun perkahwinan Kerabat Di-Raja Kelatan, YABhg Cik Puan Sofie Louise Johansson juga layak diangkat sebagai salah satu yang ikonik. Gaun ini memancarkan kecantikan yang bersahaja namun memukau. Warna-warna pastel seperti coklat cair sedikit peach dan hiasan bunga putih menjadi pilihan yang tepat untuk menonjolkan kelembutan dan keanggunan YABhg Cik Puan Sofie Louise Johansson.
5. Tuanku Zara Salim (Kerabat Di-Raja Perak)
Terakhir, gaun perkahwinan Tuanku Zara Salim menampilkan impak yang berbeza namun tetap memukau. Persalinan baju kurung putih dan fabrik sulam metalik ini sering kali memadukan unsur tradisional dengan potongan dan hiasan yang lebih kontemporari.