Yaya Ibrahem ialah seorang penata hijab yang berbakat dan trendy, sering menjadi pilihan para selebrtiti dikala penggambaraan atau acara penting.
Di sebalik gaya hijab selebriti apabila ke sesuatu acara mahupun penggambaraan, pasti ada penata yang berusaha membantu selebriti itu kelihatan cantik dan outstanding! Jadi, EH! menemu bual penata hijab selebriti, Yaya Ibrahem, 32 untuk mengetahui serba sedikit tentangnya dalam dunia fesyen hijab.
Namanya sering menjadi pilihan para selebriti Malaysia untuk menata gaya hijab mereka, mempamerkan bahawa beliau seorang benar-benar berbakat dan kreatif. Nama-nama besar yang memilih Yaya termasuklah Dato Sri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Ziana Zain, Ernie Zakri, Neelofa dan Ella.
Yaya merupakan Graduan Seni Reka Fesyen UiTM Shah Alam, terus menerus berkembang dan kini, beliau merupakan salah seorang penata hijab terkenal di Malaysia.
Ceritakan permulaan anda dalam industri fesyen, penata hijab.
Enam tahun lalu, Saya mula karier ini melalui membantu beberapa penata hijab dan penata fesyen. Bagi saya industri fesyen ini luas, dan memilih penata hijab sebagai karier ialah keputusan paling tepat kerana kerjaya ini masih baru dalam industri dan tidak ramai penata hijab ketika itu.
Saya bermula dengan menjadi seorang pembantu penata hijab. Saya akan fokus setiap kali melihat mereka menggayakan hijab kepada klien. Daripada situ, saya mula belajar praktis sendiri.
Setelah setahun menjadi seorang pembantu penata hijab, saya mula mendapat klien dan daripada situ bermulalah kerjaya saya sebagai penata hijab iaitu pada tahun 2019.
Setiap kali nak siapkan klien, saya mesti akan berlatih dulu sehari sebelum supaya saya tidak kekok dan dapat menyiapkan hijab klien dengan pantas. Tetapi pada masa itu, saya belum dikenali dan klien semua hanyalah dari kalangan orang biasa, bukan selebriti.
Bagaimanakah anda menerangkan penggayaan hijab peribadi anda? Apakah jenis hijab yang anda suka pakai?
Semua orang boleh menata gaya hijab, tetapi tidak semua boleh mencari identiti penggayaan hijab sendiri. “If you want to be different, do something different“, daripada situ saya banyak berlatih dan mencari identiti hijab yang saya boleh ketengahkan dan menjadikan setiap gaya berbeza dan masih mengekalkan gaya identiti itu kepada setiap klien yang saya buat.
Tidak semua klien sesuai untuk memakai gaya hijab yang sama, daripada situ juga saya belajar dan mencipta kelainan sedikit dengan mempelbagaikan jenis hijab turban, menggunakan material berbeza dan menyesuaikan semua gaya hijab untuk klien tertentu.
Saya memilih turban untuk penggayaan hijab harian. Lebih segar, urban dan stylish.
Sebagai penata hijab selebriti, apakah momen yang paling anda bangga?
Momen paling saya bangga apabila gaya hijab yang saya cipta menjadi trend, diikuti oleh mereka diluar sana.
Describe style anda dalam 3 perkataan
Edgy, classy dan trendy.
Yaya terkenal dengan menggayakan hijab jenis turban, apakah tip untuk mengekalkan turban supaya kekal di kepala?
Ini soalan paling banyak saya pernah dapat setiap masa apabila kemana-mana. Pertama sekali, tip paling penting untuk mengekalkan turban supaya kekal di kepala ialah ikatan rambut, pastikan ketat dan secure.
Kedua, elakkan memakai material anak tudung yang licin, dan material hijab juga memainkan peranan yang penting. Material hijab terbaik untuk gaya turban ialah cotton dan chiffon. Tetapi material lain juga boleh cuma elakkan material satin sebab ia sangat licin dan susah untuk mengekalkannya di atas kepala.
‘Air tangan’ Yaya Ibrahem