Sukan Olimpik Paris 2024 menawarkan pelbagai momen menarik, dari kemenangan emas yang membanggakan dan lamaran romantis yang mengharukan penonton, hingga kontroversi panas yang menggoncang media sosial.
Sukan Olimpik Paris 2024 telah mempersembahkan pelbagai detik menarik dan penuh emosi buat penonton. Tahun ini, Olimpik tidak hanya merayakan pencapaian sukan yang luar biasa, tetapi juga menyajikan pelbagai momen menarik dari sorakan kegembiraan di pentas utama hingga detik-detik peribadi yang menyentuh hati. Berikut adalah beberapa “momen viral” yang mencuri perhatian di media sosial dan menambah kemeriahan Sukan Olimpik tahun ini.
Lima Momen Viral Olimpik Paris 2024;
1. Atlet Lompat Tinggi Itali Kehilangan Cincin Kahwin di Seine
Kehilangan cincin kahwin boleh menjadi kejadian yang sangat mengecewakan, terutama apabila ia berlaku dalam situasi yang penting. Ini adalah apa yang berlaku kepada Gianmarco Tamberi, atlet lompat tinggi dari Itali, semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai 2024. Tamberi, yang diberi penghormatan untuk menjadi pembawa bendera Itali, berdiri di tepi bot yang berlayar di Sungai Seine sambil mengibarkan bendera negaranya dengan bangga.
Namun, detik gembira tersebut bertukar menjadi mimpi buruk buatnya apabila cincin kahwinnya terjatuh ke dalam sungai. Menyusul kehilangan tersebut, Tamberi menulis nota permohonan maaf yang penuh emosi kepada isterinya, Chiara Bontempi Tamberi, dan memuat naik nota tersebut di Instagram.
2. Penembak Dari Turki, Yusuf Dikec
Yusuf Dikec, penembak pistol dari Turki, mencuri perhatian media sosial dengan gaya santainya semasa meraih pingat perak dalam acara menembak di Sukan Olimpik Paris 2024. Gambar-gambar yang tular menunjukkan Dikec menembak dengan memakai t-shirt, tangan di dalam poket, serta kaca mata biasa, dengan riak wajah yang tenang dan impassif. Penampilan ini telah dibandingkan dengan lelaki biasa yang menyertai Olimpik atau bahkan seorang pembunuh upahan.
Walau bagaimanapun, Dikec bukanlah atlet baru dalam arena Olimpik, dia telah menyertai Sukan Olimpik sejak 2008. Kebanyakan penembak biasanya memakai visor atau penutup mata untuk mengurangkan silauan atau memberi tumpuan lebih baik pada sasaran mereka, tetapi Dikec memilih gaya yang lebih santai. Sikap tenangnya menunjukkan bahawa dia mempunyai keyakinan dan strategi tersendiri.
3. Atlet Badminton Dilamar
Pada 2 Ogos 2024, Huang Yaqiong, pemain badminton dari China, menambah koleksi pingat emasnya dalam acara beregu campuran bersama pasangannya Zheng Siwei. Pasangan ini mengalahkan wakil Korea Selatan dalam perlawanan akhir yang penuh sengit, menandakan kejayaan besar dalam kerjaya mereka. Namun, kejutan tidak berhenti di situ. Selepas meraikan kemenangan, Huang menerima lamaran istimewa dari kekasihnya, Liu Yuchen, yang juga seorang pemain badminton dari China.
Dalam gambar yang tersebar, Liu dilihat melutut sambil mengeluarkan cincin, sementara Huang menerima lamaran tersebut dengan air mata kegembiraan. Huang mengakui bahawa lamaran itu adalah kejutan besar dan dia tidak menyangka Liu akan merancang untuk melamarnya di Paris, menjadikan momen ini semakin istimewa dalam perjalanan Olimpiknya.
4. Perenang Muntah di Sungai Seine
Tyler Mislawchuk, seorang triathlete dari Kanada, menjadi viral selepas mengalami muntah sebanyak sepuloh kali selepas berenang merentasi Sungai Seine yang tercemar semasa Olimpik Paris 2024. Tyler, yang menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, mengakui bahawa dia berada dalam kedudukan baik untuk memenangi pingat sebelum mula merasa sakit.
Banyak yang menyalahkan air Sungai Seine yang tercemar sebagai punca Mislawchuk muntah, memandangkan latihan dan perlumbaan terpaksa ditangguhkan kerana tahap bakteria E. coli yang tinggi. Atlet triathlon Belgium, Jolien Vermeylen, turut berkongsi pengalamannya semasa triathlon wanita, yang menambah kepada aduan mengenai keadaan air sungai tersebut.
5. Kontroversi Jantina Imane Khelif
Kemenangan Imane Khelif dalam pertarungan tinju Olimpik menjadi kontroversi selepas pertarungan melawan petinju Itali, Carini, yang terpaksa menghentikan pertarungan hanya selepas 46 saat, timbul dakwaan palsu di media sosial mengenai jantina Imane Khelif, yang mendakwa dia adalah transgender. Tular perdebatanh di media sosial mengenai kelayakannya untuk bertanding dalam kategori wanita.
GLAAD dan InterACT, bersama dengan laporan Associated Press, mengesahkan bahawa Khelif adalah wanita, dilahirkan sebagai perempuan. Walau bagaimanapun, kontroversi berterusan dengan beberapa figura awam, seperti Logan Paul, yang awalnya menyatakan bahawa Khelif adalah lelaki tetapi kemudian menarik balik kenyataannya. Khelif menjelaskan kepada SNTV bahawa dia berharap kemenangan pingat emasnya akan menjadi jawapan terbaik kepada pengkritik dan menggesa orang ramai untuk mematuhi prinsip Olimpik dan menghindari pembulian terhadap atlet.
Artikel Berkaitan: Atlet Tampan Yang Mencuri Perhatian Di Olimpik Paris 2024