Restoran Itali di Malaysia tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Bayangkan, bila-bila masa sahaja, anda kini boleh menikmati sepinggan pasta bolognese panas atau menikmati pizza neapolitan autentik tanpa perlu terbang jauh ke Itali!
Siapa yang tidak suka masakan Itali? Dari pizza yang hangat hingga pasta yang berkrim, citarasa Itali sudah menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Hidangan klasik seperti pizza, pasta, dan tiramisu sudah tidak asing lagi. Menariknya, masakan Itali di Malaysia juga punya “twist” tersendiri.
Dengan kreativiti tukang masak tempatan, kita boleh mencuba hidangan fusion yang menyatukan citarasa Itali dan Asia. Jadi, EH! senaraikan tiga restoran Itali di Lembah Klang yang wajib anda cuba jika anda peminat masakan Itali atau sekadar mahu memanjakan selera dengan sesuatu yang lazat dan romantis. Selamat menikmati atau dalam bahasa Itali, buon appetito!
3 Restoran Dengan Citarasa ‘Italian’ Untuk Makan Malam Romantis Anda;
1. Itameshi Ristorante E Sushiba
Bayangkan menikmati hidangan Itali dengan sentuhan Jepun, unik bukan? Itameshi Ristorante E Sushiba adalah restoran halal pertama di Kuala Lumpur yang menggabungkan dua budaya. Dari sashimi segar hingga ke pizza Neapolitan, restoran ini menyediakan pelbagai hidangan menarik yang pasti mencuit selera anda.
Dikendalikan oleh chef berpengalaman lebih 30 tahun, Itameshi terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan menawarkan suasana kasual yang selesa. Nama “Itameshi” sendiri bermaksud “makanan Itali” dalam bahasa Jepun, jadi anda boleh jangkakan pengalaman gastronomi Itali-Jepun yang unik dan asli di sini.
Antara menu yang wajib anda cuba: Tomato dan Peach Carpaccio, chawanmushi melanzane versi Itali parmigiana dalam cawan chawanmushi, dan tuna tartare carbonara. Untuk minuman pula anda boleh mencuba minuman mocktail spritz untuk menyempurnakan hidangan anda.
Alamat: L1-01, Residensi Lavile, Lorong Peel, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Selasa-Ahad, 12pm-3.30pm & 6pm-10.30pm
Telefon: 012 – 312 4112
2. Positano Risto
Dibuka dengan penuh kasih sayang terhadap masakan Itali, Positano Risto adalah restoran Itali halal yang terletak di Publika, Kuala Lumpur. Restoran ini terkenal dengan hidangan Itali autentik yang disediakan dengan menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi, memastikan setiap suapan adalah pengalaman yang memuaskan.
Menariknya, Positano Risto juga menyajikan pilihan hidangan fusion yang unik bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Restoran ini menawarkan suasana yang moden dan mesra keluarga, menjadikannya tempat yang sesuai untuk makan malam romantik atau sesi makan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Antara menu yang wajib anda cuba: Seafood Aglio Olio yang kaya dengan perisa bawang putih dan minyak zaitun, Truffle Mushroom Risotto untuk citarasa mewah, dan Lava Cake untuk pencuci mulut yang manis dan lazat.
Alamat: A4-1-9, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Setiap hari, 11am – 11pm
Telefon: 03 – 6206 3337
3. La Risata
Dengan nama yang bermaksud “gelak ketawa” dalam bahasa Itali, La Risata adalah pilihan tepat bagi mereka yang mencari suasana santai dan selesa untuk menikmati hidangan Itali klasik. Restoran ini terkenal dengan hidangan pasta buatan sendiri, pizza yang dipanggang dalam oven kayu, dan pilihan antipasto yang sempurna untuk perkongsian bersama rakan.
La Risata memiliki dua cawangan di Kuala Lumpur, iaitu di Ampang dan Damansara. Dekorasi kayu yang klasik memberikan suasana yang hangat dan mesra, membuatkan anda seolah-olah sedang menikmati hidangan di restoran kecil di Itali. Jika anda ingin mencuba citarasa asli Itali dengan kualiti yang konsisten, La Risata adalah tempat yang tepat.
Antara menu yang wajib anda cuba: Spaghetti alla Risata yang kaya dengan sos tomato dan herba, pizza Margherita dengan keju mozzarella segar, dan tiramisu untuk pencuci mulut yang sempurna.
Alamat: 16 Persiaran Ampang, 55000 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Setiap hari, 12pm – 3pm & 6pm – 10.30pm
Telefon: 03 – 4252 6269
Artikel Berkaitan: 7 Restoran Milik Selebriti Malaysia Yang Wajib Anda Cuba!