Margot Robbie menjadi wajah rasmi baru haruman ikonik Chanel, berdampingan bersama aktor kacak Jacob Elordi.
Tidak perlu pengenalan lagi, N°5 satu haruman yang cukup masyhur berpuluh tahun lamanya. Minyak wangi berkelalang jernih yang menyerlahkan warna isinya yang memancar warna kuning keemasan.
Chanel N°5 mula diperkenalkan pada tahun 1921 dan dicipta oleh pakar haruman Ernest Beaux di Grasse. Coco Chanel adalah wakil kepada haruman ini sendiri saat pertama ia diperkenalkan sebelum minyak wangi ini menyunting figura tersohor sebagai dutanya. Marilyn Monroe, Suzy Parker, Ali McGraw, Catherine Deneuve, Carole Bouquet, Nicole Kidman, Gisele Bündchen dan Marion Cotillard antara wajah terkenal yang pernah menduduki takhta gadis Chanel N°5. Malah pada tahun 2012, Chanel membuat kejutan apabila menampilkan aktor Brad Pitt sebagai wajah rasminya.
Tahun ini, tiba giliran aktres dan penerbit filem ternama, Margot Robbie menjadi wajah sandaran haruman ini. Kempen terbaru Chanel N°5 ini juga menampilkan aktor Jacob Elordi, dan diarahkan oleh Luca Guadagnino yang cukup terkenal dengan filem arahannya ‘Call Me by Your Name’.
Apa yang lagi menarik, untuk kempen ini, bintang filem ‘Barbie’ ini menggayakan jaket dan skirt pendek dari koleksi vintaj Chanel, yang mana helaian yang sama pernah digayakan oleh Carole Bouquet di dalam filem Monuments yang ditayangkan pada tahun 1986.
Chanel berkongsi beberapa foto belakang tabir #EHksklusif di sebalik pembikinan video kempen Chanel N°5 yang dirakamkan di California, Amerika Syarikat.
Tonton video kempen Chanel N°5 terbaru di bawah: