Solekan untuk karpet merah amat tricky, ia harus cantik di dalam lensa kamera dan perlu cantik juga bila dipandang.
Bagi saya merias wajah selebriti untuk ke karpet merah sama mencabarnya seperti merias pengantin. Ia perlu menyerlah di skrin kamera dan juga manis dilihat di depan mata. Berbanding solekan untuk penggambaran, gol utamanya adalah untuk nampak ‘menjadi’ di dalam gambar, sama dengan rujukan atau konsep, lihat depan-depan macam hantu pun tak mengapa jika arah tuju fotografi terealisasi di dalam gambar. Saya menghimpun tip dan trik solekan karpet merah dari jurusolek selebriti antarabangsa yang pernah saya baca di majalah mahupun di internet, dan perkongsian ini boleh saja kita praktikkan setiap hari.
TIP 1: SAHAP NODA (CONCEALER) SEBAGAI HIGHLIGHTER
Biasanya kita tak tahu apakah rupa pencahayaan di karpet merah mahupun pentas, jadi agak berisiko untuk bermain dengan highlighter. Takut-takut nanti efeknya jadi lain. Bukan nampak glowing tapi nampak berminyak. Jurusolek Alex Babsky mencadangkan untuk menggantikan highligther dengan menggunakan sahap noda yang lebih terang pada bahagian tertentu. Jika masih mahu mengenakan highlighter, tak salah, tapi sikit-sikit sudahlah.
TIP 2: FACE MASK + SERUM
Mary Greenwell, jurusolek yang sering mendapat kepercayaan aktres terkenal, Cate Blanchett menyarankan untuk kulit dihidrat sesempurna sebelum aplikasi bedak asas. “Saya akan pakaikan pupur wajah (sheet mask) dan biarkan selama 20 minit. Kemudian barulah saya sapukan primer dan pelembap. Saya jarang gunakan primer,” kongsinya dalam satu temubual di majalah Vogue Amerika.
TIP 3: SET DENGAN ‘BEDAK’
Kata Sir John, jurusolek yang sering merias wajah Beyonce, apa-apa sahaja produk dalam tekstur krim harus diakhiri dengan sapuan ‘bedak’ untuk solekan yang tahan lama. “Jika anda menyapu bedak asas cecair atau krim, kemaskannya dengan bedak (loose powder), dama juga dengan pemerah pipi krim, akhiri dengan bedak atau pemerah pipi dalam tekstur bedak. Jika melukis kening, selepas menggunakan pensel, kemaskannya dengan pembayang mata.”
TIP 4: GAYA KENING NATURAL
Kening terbentuk yang dilukis sempurna tidak lagi relevan dan ia boleh nampak kasar untuk gaya karpet merah. Ramai jurusolek hari ini selesa dengan gaya kening yang lebih relaks dan nampak semula jadi, bukan apda warnanya malah pada kemasannya. Maskara kening sudah jadi item wajib, diganding bersama serbuk kening atau boleh gantikan dengan pembayang mata.
TIP 5: PENSEL BIBIR! WAJIB
Menurut Alex Babsky, dia meletakkan pensel bibir sebagai wajib ada kerana ia mencipta gaya solekan bibir yang variasi. Jika dia mahukan gaya solekan bibir yang lebih relaks, tidak terbentuk ‘tajam’, dia akan menggunakan pensel bibir yang kurang pigmennya. Baginya pensel bibir sebegini memberi ruang untuk dia olah dan tetapkan kepekatan warna. Jika dia mhu bibir yang lebih terbentuk, dia akan menggunakan pensel bibir yang lebih pigmented.