Mata yang cerah bukan hanya mencerminkan kecantikan luaran, tetapi juga menjadi simbol kesihatan, gaya hidup yang seimbang, dan keyakinan diri. Menjaga kawasan bawah mata dengan baik bukan sekadar rutin kecantikan, ia adalah pelaburan untuk wajah yang sentiasa tampak segar dan bertenaga.
Jika anda berada di sini, saya yakin besar kemungkinan anda sudah menghabiskan masa mencari penyelesaian untuk masalah lingkaran gelap bawah mata di google, sambil menambah satu lagi concealer ke dalam troli. Mempunyai masalah lingkaran gelap bawah mata ini sering menjadi cabaran bagi ramai orang, lelaki mahupun wanita, kerana ia boleh membuatkan wajah kelihatan lebih letih dan tua daripada usia sebenar.
Lingkaran gelap bawah mata bukan sahaja sukar diatasi, tetapi ia juga berpunca daripada pelbagai faktor. Jadi, apakah sebab utamanya? Mari kita telusuri punca-punca utama yang perlu anda tahu sebelum merawatnya.
Punca Utama Berlakunya Lingkaran Gelap Bawah Mata;
1. Genetik
Faktor keturunan turut memainkan peranan penting dalam pembentukan lingkaran gelap bawah mata. Jika keluarga anda mempunyai sejarah masalah ini, anda mungkin mewarisinya. Struktur tulang muka yang cenderung cekung atau berongga juga boleh menjadikan kawasan bawah mata kelihatan lebih dalam dan gelap, terutama apabila terdedah kepada cahaya tertentu. Keadaan ini lebih jelas apabila berdiri di bawah lampu atas yang menonjolkan bayangan pada kawasan mata.
2. Keletihan
Keletihan adalah salah satu punca utama lingkaran gelap bawah mata. Terlebih tidur, kurang tidur, atau berjaga hingga lewat malam boleh memberi kesan buruk kepada kulit anda. Apabila anda kurang tidur, kulit anda menjadi lebih kusam dan pucat kerana aliran darah tidak berjalan dengan lancar. Ini menyebabkan saluran darah di bawah mata lebih kelihatan, menjadikan lingkaran gelap semakin ketara. Lebih teruk lagi, kekurangan tidur juga boleh menyebabkan cecair berkumpul di bawah mata, menyebabkan bengkak pada kelopak mata dan boleh memberikan bayangan tambahan yang menjadikan lingkaran gelap lebih jelas kelihatan.
3.Tekanan Mata
Menghabiskan masa yang terlalu lama menatap skrin komputer, telefon pintar, atau televisyen memberi tekanan berlebihan kepada mata. Tekanan ini menyebabkan saluran darah di sekitar mata menjadi besar dan lebih kelihatan, seterusnya menghasilkan lingkaran gelap yang lebih jelas. Jika tabiat ini dibiarkan berterusan tanpa rehat yang mencukupi, ia bukan sahaja akan memburukkan keadaan lingkaran gelap tetapi juga boleh menjejaskan kesihatan mata secara keseluruhan.
4. Kekurangan Nutrisi
Diet yang tidak seimbang juga boleh menyumbang kepada masalah lingkaran gelap bawah mata. Kekurangan vitamin penting seperti A, C, K, dan E menjadikan kulit kurang sihat dan kehilangan keanjalan. Nutrisi ini diperlukan untuk menyokong pembaikan kulit, mengurangkan pigmentasi, dan meningkatkan peredaran darah di kawasan bawah mata. Pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan, dan kacang adalah penting untuk memastikan kulit sentiasa sihat dan cerah.
5. Pendedahan Cahaya Matahari Berlebihan
Sinaran matahari yang berlebihan boleh meningkatkan pengeluaran melanin di dalam kulit, iaitu pigmen yang memberikan warna kepada kulit. Apabila kulit di sekitar mata terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari, kawasan tersebut menjadi lebih gelap berbanding kawasan lain. Ini kerana kulit di sekitar mata lebih nipis dan sensitif, menjadikannya lebih mudah terjejas oleh pigmentasi. Pendedahan yang berulang kali tanpa perlindungan seperti pelindung matahari atau kaca mata hitam hanya akan memperburukkan keadaan ini.
Bagaimana Mengurangkan Lingkaran Gelap di Rumah?
Lingkaran gelap bawah mata sering menjadi masalah yang sukar diatasi. Namun, dengan menggunakan produk yang tepat, masalah ini boleh dikurangkan, malah memberi kesan mata yang lebih segar dan berseri. Jika anda masih mencari produk terbaik untuk mengurangkan lingkaran gelap, berikut adalah lima produk rekomendasi dari EH!
Lima Produk Yang Boleh Membantu Mencerahkan;
1. Sephora Collection Brightening Eye Cream (RM 80)
Jika anda sedang mencari penyelesaian yang mesra bajet, krim mata dari Sephora ini adalah pilihan terbaik. Diformulasi dengan 96% bahan semula jadi, ia membantu mencerahkan kawasan bawah mata yang kelihatan kusam akibat keletihan. Selain itu, krim ini mampu menghidrat kulit secara mendalam, mengurangkan dehidrasi, dan memastikan kulit kekal lembut sepanjang hari. Anda akan perasan perbezaannya selepas penggunaan berterusan, mata anda akan kelihatan lebih segar dan cerah.
2. PIXI BeautifEYE Brightening Eye Patches RM 120
Buat anda yang gemar self-care di rumah, eye patches ini pasti menjadi kegemaran. Diformulasikan dengan vitamin C, ia memberikan manfaat berganda mencerahkan kawasan bawah mata dan melindungi kulit daripada kerosakan akibat radikal bebas. Apa yang menarik, hasilnya dapat dirasai serta-merta selepas digunakan. Hanya letakkan pada bawah mata, biarkan selama 10 minit, dan mata anda akan kelihatan lebih segar dan bertenaga. Ideal digunakan pada waktu pagi sebelum memulakan hari atau malam selepas seharian bekerja.
3. Biossance Squalane + Marine Algae Eye Cream RM 296
Krim mata Biossance adalah jawapan kepada anda yang inginkan produk premium dengan hasil yang cepat. Dengan kombinasi bahan semula jadi seperti squalane dan algae marin, ia membantu menegangkan kulit, mengurangkan garis halus, dan mencerahkan lingkaran gelap dalam hanya tujuh hari! Teksturnya ringan, cepat meresap, dan sesuai untuk digunakan di bawah solekan tanpa meninggalkan rasa melekit. Bukan itu sahaja, ia juga memberikan penghidratan maksimum untuk kulit di kawasan sensitif bawah mata anda. Hasilnya? Mata anda kelihatan lebih muda dan bertenaga.
4. LANCÔME Advanced Génifique Wrinkle & Dark Circle Eye Cream RM360
Lancôme sememangnya terkenal dengan produk penjagaan kulit yang berkesan, dan krim mata ini tidak terkecuali. Diformulasikan dengan teknologi terkini, ia mampu mengurangkan lingkaran gelap dan garis halus dengan ketara dalam hanya tujuh hari. Selain sesuai untuk semua jenis kulit, termasuk kulit sensitif, teksturnya yang lembut juga memberikan pengalaman penggunaan yang mewah. Gunakan pada waktu pagi dan malam, dan nikmati mata yang kelihatan lebih cerah, lembap, dan muda dalam masa singkat.
5. Bobbi Brown Extra Repair Eye Cream Intense RM 420
Bagi anda yang mencari krim mata premium dengan formula mewah, Bobbi Brown adalah pilihan yang tepat. Kaya dengan hyaluronic acid, shea butter, dan argireline peptide membantu melembapkan kawasan bawah mata secara intensif, mengurangkan penampilan lingkaran gelap, dan memudarkan garis halus. Tambahan pula, teksturnya yang balmy memberikan rasa lembut dan selesa pada kulit. Dengan penggunaan yang konsisten, anda bukan sahaja akan melihat kawasan mata yang lebih cerah tetapi juga hasil jangka panjang untuk kulit yang lebih anjal dan sihat.
Artikel Berkaitan: Pulihkan Kulit Kusam Dengan L’Occitane Immortelle Reset