“Kami di sini bukan untuk menjual kecantikan, kami di sini untuk membuat anda berasa gembira,”- Raymond Cloosterman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Rituals.
Saya duduk berbual selama 30 minit bersama Raymond Cloosterman, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Rituals di Mandarin Oriental. Bagi saya ini satu temubual yang cukup mengisnpirasi.
Malaysia mempunyai kepelbagaian warisan, bagaimana Rituals mencipta sesuatu yang seiring dengan sikap pembeli Malaysia yang cukup menghargai jenama yang mewah dengan seni warisan?
Sebelum saya menjawab soalan kamu, boleh saya ceritakan sedikit tentang Rituals?
Ya, mengapa tidak?
Saya memulakan Ritual dengan niat impian untuk mencipta sebuah jenama kecantikan global dengan persepsi kecantikan yang berbeza. Bagi saya selain kelihatan cantik, adalah lebih penting untuk kita mempunyai perasaan yang baik (feel good), dan saya mahu menyampaikannya dari sudut dan cara yang berbeza. Bagi saya dalam hidup kita perlu menikmati sekecil-kecil nikmat, apa saja yang menyeronokan. Dan oprang kata “happiness should be found in little things”, jadi saya fikir itulah yang saya mahu Ritual lakukan. jadi terhasillah kombinasi produk untuk rumah dan penjagaan diri.
Kami bekerja dengan teliti dalam penghasilan setiap produk, dari krim mandian hingga ke lilin wangi untuk kediaman, juga produk kecantikan untuk lelaki dan perempuan. Kami bekerja dengan pereka terbaik, dengan formula terbaik dan kami juga tidak membelanjakan wang untuk pengiklanan dan dari situ harga produk kami dapat dikawal.
Di Ritual kami menawarkan pengalaman yang berprestij namun dalam perbelanjaan yang sederhana. Kami mahu membantu konsumer rehatkan minda. Apa yang kami bawakan ke Malaysia ialah sebuah jenama yang penuh dengan falsafah, sebagai sebuah jenama yang pantas berkembang kami mahu setiap konsumer punya peluang untuk memanjakan diri mereka. Misalnya produk ini, shower foam yang sangat popular di sini kerana orang di sini mandi dua tiga kali sehari. Ia punya haruman yang segar dan bukan sebuah wangian satu dimensi. Rituals punya pelbagai produk, setiap orang akan ada produk yang akan mereka suka, sama ada untuk dijadikan hadiah atau untuk diri sendiri.
Ritual saya bangunkan dengan pelbagai kajian lebih-lebih lagi pada kisah purba kerana dari situ juga kami belajar apa yang orang dulu kala gunakan dalam kehidupan seharian mereka. Setiap benua punya kisah berbeza. Ginseng misalnya dari China, Ayuverda dari India. Lain destinasi, lain inspirasi. Oleh sebab itulah inspirasi kami datang dari pelbagai sumber.
Berapa produk Ritual hasilkan dalam setahun?
Lebih kurang 200 dan saban minggu akan ada saja produk baru. Dalam masa yang sama kami juga tak akan menukar produk kesukaan konsumer disamping memperkenalkan ietm edisi terhad. Bagi saya konsumer perlu digoda dan dikejutkan dengan rangkaian baru. Saya mahu setiap kali mereka datang mereka akan mendapat idea baru.
Bagaimana Rituals menyeimbangkan antara kualiti dan harga?
Saya hasilkan Rituals kerana saya melihat ZARA, bagaimana mereka boleh menjadi sebuah jenama fesyen yang sangat berjaya di seluruh dunia. Pakaian dan aksesorinya berkualiti namun harganya dalam paras sederhana. Mereka juga bukan sebuah jenama yang menggunakan iklan namun berdiri kerana kualiti.
Di Rituals kami mahu menawarkan kemewahan dalam harga yang mampu milik. Antara kemewahan dan kelestarian (sustainability), keduanya adalah berbeza. Kemewahan itu selalu berkait dengan ‘more and more’, lebih dari segala aspek, manakal sustainability lebih cenderung kepada kurang (less). Kami fokus kepada bahan semula jadi untuk penghasilan produk kami, dan kami cukup peka dengan bungkusannya. Rata-rata produk Ritual hadir dengan edisi isian semula.
Apa bezanya stor Rituals di Malaysia berbanding stor di Eropah?
Konsep setiap stor di seluruh dunia sama saja, berbezanya rangkaian produk kerana koleksi Amsterdam biasanya hanya terdapat di butik mewah kami di Amsterdam juga di lapangan terbang, tetapi ia juga dijual di Malaysia serta stor di beberapa negara Asia yang lain. Ini mungkin kerana orang Asia gemarkan baunya, ia mengandungi yuzu dari Jepun sebagai sebahagian bahannya.
Bagaimana kamu melihat masa depan Rituals di Malaysia?
Kita baru bermula beberapa tahun dan setakat ini sudah ada empat stor di Malaysia. Dan saya berharap dalam empat hingga lima tahun kita boleh buka lebih banyak stor di sini. Dan ia sesuatu yang mungkin melihatkan ramai konsumer datang kembali untuk berbelanja, tidak hanya untuk diri sendiri malah dijadikan bingkisan buat teman-teman.
Apa bezanya cita rasa orang di Eropah dengan Asia dari segi pemilihan bau-bauan?
Konsumer di Eropah sukakan koleksi sakura, dan di Malaysia orang lebih senang dengan koleksi Amsterdam. Mereka suka membeli haruman untuk rumah, kereta dan juga mandian. Produk untuk kereta mendapat perhatian di sini kerana kereta adalah sesuatu yang pentign di Asia.
Apakah produk kesukaan kamu?
Saya sukakan shower foam dan juga cooling shower gel.
kamu mengisi masa ‘me time’ untuk relaks?
Ini soalan yang menarik. Sebagai seorang usahawan saya mengembara ke seluruh dunia untuk bekerja, saya sentiasa on the go dan ini membuatkan saya cukup menghargai peluang untuk berada di rumah. Biasanya jika di rumah saya akan letakkan telefon jauh-jauh, saya nyalakan 20 lilin, memasang muzik, menyalakan unggun api dan nikmati makan malam bersama kawan-kawan. Saya juga suka bersukan, biasanya bermain tenis, ski dan golf. Ini antara cara saya mengisi ‘me time’ saya.
Dalam dunia digital kita sentiasa ‘terhubung’ dengan manusia, bagaimana kamu ‘disconnect’ dan memberi perhatian kepada diri sendiri?
Peraturan pertama, jauhkan diri dari telefon. Saya juga suka bermeditasi. Dua tahun lalu saya lakukan sesuatu yang berbeza. Saya dan 11 teman yang lain berlayar merentasi Lautan Atlantik, dan kami tidak membawa telefon bimbit. Kami kembali kepada asas, makan pun makanan yang mudah seperti buah kerana di atas kapal tiada dapur untuk memasak. Tandas juga tiada.
Kami berlayar sejauh 7000 kilometer selama 11 hari. Tiada hiburan, yang kami lihat hanyalah hidupan laut, saya dapat melihat dua ekor ikan lumpba-lumba. Ia salah satu bucket list saya yang sudah terlaksana.
Apa yang kamu belajar dari pengalaman ini?
Melakukan kembara seperti ini pada usia saya hari ini adalah sesuatu yang mencabar. Pada waktu itu saya sendiri tanyakan pada diri saya, “kenapa saya memilih untuk melakukan ini?”. Sepanjang membangunkan Rituals sudah banyak cabaran yang saya tempuh dan ia bukan mudah. Kembara ini membuatkan saya sedar yang kita tidak boleh terlalu selesa, untuk berjaya kita perlu keluar dari zon selesa. Bila kita keluar dari zon selesa, diri kita akan berkembang.
Bagaimana kamu terus berinspirasi?
Everything and nothing. Bagi saya adalah penting untuk kita kelilingkan diri kita dengan insan yang positif, seeloknya jauhkan diri dari orang-orang yang negatif. Pilih orang yang boleh memotivasikan diri kita. Saya suka berkunjung ke negara-negara yang berbeza, melihat dan belajar budaya yang berbeza. Saya seorang yang kuat dengan rasa ingin tahu, dan saya mendapat inspirasi dari sudut berbeza-beza, dari apa yang saya lihat.
Okey soalan terakhir saya, di manakah destinasi percutian kesukaan kamu?
Saya dan keluarga kerap bercuti dan kami melawat tempat berbeza-beza setiap tahun. Bagi saya semua destinasi adalah istimewa. Tahun lalu kami ke Macu Picu, pernah juga berkunjung ke India dan kami menginap di istana maharaja. Kami sekeluarga pernah ke Langkawi, melawat Angkor Wat di Kemboja. Kami juga berlayar (cruise) di Sungai Nil untuk emlihat Egypt. Jika ada satu tempat yang jadi kesukaan saya semestinya rumah kami di gunung di Switzerland.
*Rituals kini membuka stor terbarunya di Suria KLCC, dan anda juga boleh lihat rangkaian produk jenama dari Amsterdam ini di pautan INI.