Jenama aksesori tersohor dunia Swarovski melancarkan koleksi kolaborasi bersama Ariana Grande, yang juga merupakan duta rasminya.
Ikon pop generasi masa kini, Ariana Grande mereka pelbagai aksesori yang cukup bold bersama Swarovski untuk koleksi kapsul Ariana Grande X Swarovski. Pelantun lagu ‘We Can’t Be Friends’ itu bergabung idea bersama pengarah kreatif global Swarovski sendiri, Giovanna Engelbert untuk melengkapkan himpunan ini.
Koleksi ini adalah satu ekspresi cinta Ariana kepada hal yang paling dicintainya, yakni muzik. Bagi Ariana muzik adalah sesuatu yang benar-benar membuatnya gembira, jadi menerusi koleksi ini rekaan yang diilhamkan diterjemah dalam nota muzik dan hati.
Koleksi ini dibarisi 16 rekaan aksesori yang mengintepretasi ilham muzik bersama tatahan kristal. Ia merangkumi rantai, anting-anting, gelang tangan dan loket. Apa yang boleh disimpulkan Ariana Grande X Swarovski adalah satu koleksi yang menjadi cerminan sebuah koleksi yang malar segar dan cukup elegan.
“Saya teruja dalam meneruskan kolaborasi kreatif bersama Swarovski dengan menonjolkan kecintaan saya kepada muzik sebagai satu ekspresi diri menerusi koleksi yang berkilauan ini yang saya reka bersama-sama Giovanna. Saya tak sabar untuk semua orang seronok menggayaknnya sebagaimana gembiranya saya,” kongsi Ariana.
Menurut Giovanna Engelbert bekerja dengan Ariana adalah salah satu mimpinya yang jadi kenyataan. “Tenaga artistiknya menginspirasi yang menghasilkan satu himpunan yang klasik dan elegan bersifat kontemporari, namun masih bernadi moden.”
Tambah Giovanna lagi, visi utamanya adalah untuk menggabungkan seni warisan Swarovski dengan semangat dan jiwa Ariana Grande.
Kempen Ariana Grande X Swarovski dirakamkan dalam potret hitam putih dan disempurnakan oleh jurugambar fesyen tersohor, Mert dan Marcus. Ariana ditonjolkan dalam gaya ‘old Hollywood’ yang penuh glamor. Koleksi Ariana Grande X Swarovski ini sudah pun dilancarkan secara global.