“Bagi saya adalah penting dalam hidup ini untuk kita ingat setiap peluang yang kita dapat. Dan saya amat hargai dengan peluang membuat muzik dalam hidup saya,” – Angele, bintang baru Chanel Chance.
Tanggal 10 April mencatat memori manis buat saya apabila saya dipertemukan dengan Angele, pesona baru taruhan Chanel menerusi kempen terbaru Chance Eau Splendide. Saya pernah bertemu Angele di Paris pada tahun 2019, waktu itu dia menghiburkan tetamu di parti keraian selepas pementasan koleksi prefall Chanel 2020. Dan bila diberitahu saya akan diberi peluang bertemu dan menemubual Angele di Tokyo, ia menghidupkan kembali memori saya melihat dia menyanyi, rasa sejuk kota Paris di awal bulan Disember itu juga bagai rasa membalut diri.
Angele mula mencipta kemasyhuran selepas melancarkan album debut berjudul ‘Brol’ pada tahun 2018 yang mana album tersebut menduduki tangga pertama di carta muzik Perancis dan terjual sebanyak 1.3 juta unit di seluruh dunia.
Tengahari itu Angele, menyarung baju putih dengan perincian hitam, dan dipadankan dengan celana denim. Rambutnya dipotong pendek berserta potongan fringe di bahagian hadapan. Tekstur rambut sedikit keriting, nampak lebih edgy, bagai ada vibes rock & roll.
Di kamar temubual, saya dan dua lagi rakan media diberi ruang selama 10 minit untuk duduk bersembang dengan wanita berusia 29 tahun ini. “Chance atau peluang adalah sesuatu yang tak mungkin dapat kita kawal. Tapi ia sesuatu yang kita sendiri boleh pilih untuk ambil atau sebaliknya. Kita yang harus terbuka untuk menerima apa peluang yang datang dalam hidup.
“Bagi saya haruman ini playful. Bila bercakap tentangnya satu yang saya teringat ialah warna ungu. Bagi saya aromanya dinamik dan punya bermacam kejutan. Tiap kali menyemburnya ia menyuntik sesuatu yang berbeza. Saya teruja untuk melihat bagaimana orang memakai haruman ini dan menantikan saat bila saya mula mengenali haruman ini,” jawab Angele saat ditanya pendapat tentang minyak wangi berkelalang kaca bulat ini.
Istimewanya lagi, bagi Angele kemunculannya menerusi kempen Chance Eau Splendide bukanlah sekadar muncul semata malah baginya ia adalah satu kolaborasi kreatif. Mengapa? Kerana dia juga diberi ruang untuk menyumbang sesuatu kepada kempen ini. Muzik atau lagu latar yang mengiringi kempen ini adalah hasil tulisan dan nyanyiannya sendiri.
“Saya mencipta lagu ini selepas mencium baunya. Dari situ saya mula berinspirasi dan mencari ilham melodi dan liriknya. Semuanya datang secara natural dan saya hanya ambil masa sehari saja untuk melengkapkan lagu ini.”
Angele turut berkongsi pengalamannya bekerja dengan pengarah video kempen ini, Jean-Pierre Jeunet. Katanya Jeunet benar-benar memberinya kebebasan dalam berkarya untuk muzik video ini, menjadi dirinya sendiri dan bebas membuka ruang untuknya berkongsi ilham.
“Muzik sama seperti haruman kerana ia cukup bersahaja dan juga menyeronokan,” luahnya lagi. Lagu ini disempurnakan proses penerbitan dan rakamannya di kota New York.
Bila saya meminta dia berkongsi pengalamannya di set penggambaran, Angele merasakan ia satu pengalaman baharu. Banyak hal dan perkara yang dipelajarinya. Dia cukup kagum dengan ketelitian Jean-Pierre Jeunet berkarya. “Dia mencipta model mini di set penuh cermin supaya tiada sebarang refleksi kamera terlihat di cermin. Dia seorang yang sangat detil, teliti..dan itu sangat memberi inspirasi.”
Rakaman visual kempen ini disempurnakan oleh jurufoto legenda Steven Meisel dan Angele menyifatkan pengalaman di set Chance tidak sama dengan mana-mana penggambaran yang pernah dia langsungkan. “Berpeluang bekerja dengan orang passionate sama seperti diri kita adalah sesuatu yang saya anggap magikal,” luahnya. Ya, siapa yang tidak gembira bila bekerja dengan jurugambar sehebat Meisel. Lensanya sudah merakam banyak kempen Chanel termasuklah Chanel N°5 yang dibintangi oleh Marion Cotillard pada tahun 2021. malah dia juga yang menyempurnakan kempen Chance sebelum kemunculan Chance Eau Splendide.
Bila ditanya cara dia memakai haruman, kata Angele dia lebih senang menyembur haruman ke udara dan berjalan ke arahnya, membiarkan haruman ‘gugur’ membasahi. Baginya dengan cara itu minyak wangi akan lebih ringan dan halus.
“Apakah momen ‘Chance’ terbesar bagi kamu?,” tanya saya mengakhiri temubual. “Chance momen terbesar bagi saya ialah bila saya mampu melakukan apa yang saya suka sebagai pekerjaan. Ia membuatkan saya gembira. Membuat muzik setiap hari dan seumur hidup,” padat balasannya yang pernah meraih trofi MTV Europe Music Awards bagi kategori Best Belgian Performance pada tahun 2020.