Sempena Hari Buku Sedunia, EH! bawakan senarai lima buku pilihan yang bukan sahaja menarik tetapi turut membantu membentuk versi diri yang lebih baik.
Membaca bukan sekadar satu aktiviti santai, ia adalah perjalanan yang mampu membuka perspektif baharu dalam kehidupan. Ia mengajar kita untuk berfikir dengan lebih kritikal, menumbuhkan rasa empati terhadap orang lain, dan menghargai nilai-nilai kemanusiaan yang sering kali kita abaikan.
Jadi, jika anda sedang mencari bahan bacaan yang mampu menyuntik makna, memberi inspirasi, dan mencetus perubahan dari dalam, berikut adalah lima buku pilihan saya. Karya-karya yang bukan sahaja mengubah cara kita berfikir, tetapi juga membantu membentuk versi diri yang lebih baik.
The Daily Laws – Robert Greene
Sebagai seorang yang sentiasa mencari panduan untuk berkembang secara peribadi dan profesional, The Daily Laws benar-benar memberi impak kepada saya. Buku ini bukan jenis yang perlu dibaca sekali gus. Ia disusun dalam bentuk 366 “undang-undang harian” – satu untuk setiap hari, jadi saya baca sebelum bergerak ke kerja ataupun di dalam keretapi.
Setiap entri harian membawa satu pemikiran atau prinsip berdasarkan karya-karya terdahulu Greene seperti “The 48 Laws of Power“, “Mastery“, dan “The Laws of Human Nature“, tapi dengan pendekatan yang lebih renyah dan mudah dicerna. Apa yang saya suka, setiap ‘law’ bukan hanya teori, tapi datang dengan refleksi yang buat saya berfikir tentang bagaimana saya berfungsi, bagaimana saya berinteraksi dengan orang lain, dan di mana letaknya kekuatan dan kelemahan diri.
Ada hari-hari di mana saya baca seperti terkena batang hidung sendiri, seolah-olah ditulis khas untuk situasi yang saya sedang lalui. Itulah kekuatan buku ini. ia bukan cuma memberi motivasi kosong, tapi mengajak kita untuk melihat diri secara jujur dan bertindak dari situ.
Kalau anda minat pengembangan diri, leadership, psikologi atau hanya mahu dimotivasikan dengan cara yang lebih realistik dan tidak berbunga-bunga, “The Daily Laws” sangat berbaloi untuk dimiliki. Baca satu muka surat sehari pun cukup.
The Subtle Art of Not Giving a F*ck: A Counterintuitive Approach to Living a Good Life – Mark Manson
Terus terang, tajuk buku ni memang buat saya terus ambil dan beli. Apabila habis membacanya, ia betul-betul mengubah saya. Buku ni bukan jenis yang suruh kita jadi positif sepanjang masa atau kejar kejayaan sampai penat. Sebaliknya, Mark Manson ajar kita untuk berhenti peduli tentang benda-benda yang tak penting. Dan percayalah, itu sebenarnya sangat membebaskan.
Satu perkara yang saya suka, dia tak berpura-pura yang hidup ni senang. Dia cakap terus terang hidup memang susah, semua orang ada masalah. Tapi kita ada kuasa untuk pilih masalah mana yang kita nak hadapi, dan nilai apa yang kita nak pertahankan. Bagi saya, itu satu perspektif yang sangat kuat.
Bagi saya, ini bukan buku motivasi biasa. Ia lebih kepada reality check dan jujurnya, semua orang patut baca at least sekali dalam hidup.
Better Small Talk : Talk to Anyone, Avoid Awkwardness, Generate Deep Conversations, and Make Real Friends – Patrick King
Buku ni buat saya sedar betapa pentingnya seni berbual dengan orang lain, lebih-lebih lagi dalam dunia yang serba sibuk ni. Saya akui, saya seorang yang agak gelisah bila nak mula berbual dengan orang baru atau dalam situasi sosial yang memerlukan small talk. Ada masa rasa awkward dan tak tahu nak cakap apa. Tapi selepas membaca “Better Small Talk“, saya rasa seperti ada manual baru untuk berkomunikasi dengan lebih lancar dan yakin.
Patrick King membawa kita dalam perjalanan yang sangat praktikal untuk mengatasi masalah “awkward silences” dan belajar bagaimana memulakan perbualan yang membawa kepada perbualan yang lebih mendalam dan bermakna. Buku ini bukan saja mengajar teknik untuk mengelakkan kebosanan dalam berbual, tapi juga memberi banyak tip tentang bagaimana membina hubungan yang sebenar, tanpa rasa dipaksa atau dibuat-buat.
Apa yang paling mengagumkan, buku ini tidak hanya fokus pada teknik semata-mata, tetapi juga pada cara berfikir kita tentang perhubungan sosial. Ia memberi saya perspektif yang lebih positif tentang komunikasi dan membuatkan saya lebih berani untuk memulakan perbualan dengan siapa saja tanpa rasa risau.
Bagi saya, “Better Small Talk” bukan hanya untuk mereka yang introvert atau yang rasa kekok dalam situasi sosial. Ia sesuai untuk semua yang ingin meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina hubungan yang lebih bermakna dalam hidup. Buku yang wajib baca!
Read People Like a Book: How to Analyze, Understand, and Predict People’s Emotions, Thoughts, Intentions, and Behaviors – Patrick King
Buku ni benar-benar membuka mata saya tentang betapa banyak yang kita boleh baca dari bahasa tubuh dan ekspresi seseorang. Saya jenis yang suka memerhati, jadi apabila membaca buku ini saya rasa lebih peka dan faham tentang tanda-tanda yang ditunjukkan orang dalam setiap interaksi.
Patrick King berjaya menguraikan konsep psikologi manusia dengan cara yang mudah faham dan praktikal. Buku ini bukan hanya sekadar mengajar kita tentang cara membaca emosi atau fikiran orang lain, tetapi juga bagaimana kita boleh menyesuaikan tindak balas kita supaya lebih berkesan dalam berkomunikasi dan membina hubungan.
Apa yang saya paling suka, buku ini mengajar kita untuk mengenali petunjuk-petunjuk kecil dalam bahasa tubuh, nada suara, dan mimik muka yang memberi banyak makna. Kadang-kadang, kita terlepas pandang benda-benda kecil ni, tapi sebenarnya ia boleh mengubah cara kita memahami seseorang.
Saya rasa buku ini sangat berguna untuk sesiapa yang ingin memperbaiki kemahiran interpersonal, sama ada di tempat kerja, dalam persahabatan, atau dalam hubungan peribadi. Dengan “Read People Like a Book“, saya lebih yakin untuk berinteraksi dengan orang lain, kerana saya tahu apa yang perlu dicari dan bagaimana untuk bertindak balas.
12 Rules for Life : An Antidote to Chaos – Jordan B. Peterson
Buku ni antara yang paling banyak buat saya berfikir tentang hidup, tanggungjawab, dan erti sebenar kestabilan dalam dunia yang penuh kekacauan. “12 Rules for Life” bukan sekadar senarai peraturan; ia lebih kepada falsafah hidup yang dalam dan kadangkala terasa ‘berat’, tapi penuh dengan hikmah.
Jordan Peterson tulis dengan cara yang sangat intelektual, tapi tak kosong. Setiap peraturan dia hurai bukan sekadar nasihat biasa, tapi datang dengan cerita, pengalaman hidup, psikologi, sejarah dan juga nilai moral yang kuat. Antara yang paling kena dengan saya ialah peraturan seperti “Stand up straight with your shoulders back” – yang nampak mudah tapi sebenarnya tentang bagaimana kita bawa diri dengan keyakinan dan tanggungjawab.
Apa yang saya suka, buku ni tak sugarcoat hidup. Ia ajar kita untuk hadapi kesakitan, kekeliruan, dan kekacauan dengan cara yang berani dan jujur. Ia buat saya sedar yang hidup memang susah, tapi itu bukan alasan untuk mengalah. Malah, itulah sebab kita perlu lebih kuat, lebih teratur bukan untuk dunia, tapi untuk diri sendiri dan orang yang kita sayang.
Kalau anda tengah cari panduan untuk hidup yang lebih seimbang, lebih bertanggungjawab dan lebih bermakna, saya sangat syorkan buku ni.