Aksesori bukan sekadar tambahan – ia adalah sentuhan akhir yang mampu mengubah keseluruhan penampilan anda. Ketahui tip bergaya untuk menggabungkan aksesori dengan bijak, agar penampilan lebih menyerlah, seimbang, dan penuh personaliti.
Dalam dunia fesyen, aksesori sering dianggap sebagai pelengkap kecil yang memberi impak besar. Sama ada ia berupa jam tangan, rantai, anting-anting, beg tangan, atau cermin mata hitam – setiap satu memainkan peranan penting dalam menaikkan seri dan karakter penampilan seseorang.
Namun, untuk mencapai gaya yang seimbang dan tidak keterlaluan, pemilihan dan padanan aksesori perlu dilakukan dengan teliti. EH! akan membawakan beberapa tip berguna dalam menggayakan aksesori agar penampilan anda tampak lebih elegan, moden, dan penuh keyakinan.
Pilih Aksesori Tanda Gaya Diri
Jika anda rasa keliru dengan terlalu banyak pilihan aksesori, mulakan dengan satu aksesori utama yang menyerlah dan membuat anda berasa yakin. Pilih sesuatu yang boleh dipadankan dengan pelbagai gaya pakaian. Apabila anda sudah bersedia untuk menambah aksesori lain, pastikan keseimbangan gaya dengan memilih satu aksesori utama yang menonjol—sama ada dari segi saiz atau warna, kemudian padankan dengan aksesori lain yang lebih ringkas dan halus.


Warna dan Corak
Aksesori adalah cara terbaik untuk menambah ‘pop’ warna pada penampilan yang ringkas. Warna terang dan corak haiwan mungkin sukar digayakan sebagai pakaian utama, tetapi ia boleh menjadi elemen yang menyerlah apabila digunakan pada aksesori seperti kasut, tali pinggang atau skarf. Elemen kecil ini mampu menaikkan seri gaya anda dengan cara yang menyeronokkan dan penuh personaliti.

Gunakan Aksesori untuk Ubah Gaya Secara Segera
Aksesori boleh menjadi penyelamat ketika anda ingin menukar gaya dengan cepat—contohnya dari gaya kerja ke gaya santai untuk makan malam bersama rakan. Gaun hitam klasik mungkin tampak profesional apabila digayakan bersama blazer dan kasut rata. Tapi bila blazer ditanggalkan, digantikan dengan kasut tumit tinggi dan ditambah dengan anting-anting statement atau cincin, anda terus bersedia untuk keluar malam. Simpan beberapa aksesori ‘penyelamat’ dalam fikiran untuk situasi seperti ini, terutamanya bila tiada masa untuk tukar pakaian sepenuhnya.


Aksesori Tidak Perlu Sepadan Seratus Peratus
Padanan aksesori secara menyeluruh kadangkala boleh nampak terlalu konservatif. Untuk gaya yang lebih segar dan moden, beranikan diri mencuba kombinasi warna yang tidak terlalu seragam. Jika anda masih baru dalam bereksperimen dengan warna, mulakan dengan satu aksesori berwarna terang dan padankan dengan pakaian asas dalam tona neutral. Anda juga boleh menggunakan roda warna sebagai panduan untuk mencuba padanan warna yang lebih berani dan menarik.