Bila sebut negeri Johor, mesti ramai terbayang makanan sedap seperti laksa Johor dan tempat menarik seperti Desaru. Tapi tahu tak, negeri Darul Ta’zim ini juga sebenarnya lubuk lahirnya ramai selebriti terkenal tanah air?
Daripada pelakon drama, penyanyi bersuara lunak, sampai lah ke pengacara TV dan influencer yang ada jutaan followers, ramai antara selebriti ini berasal dari negeri Johor. Ada yang dah mula berkarya sejak remaja, ada juga yang baru mencipta nama, tapi yang pasti semuanya ada bakat luar biasa.
Jom kita tengok siapa antara selebriti Malaysia yang berasal dari Johor.
1. Izara Aishah
Izara Aishah, selebriti popular tanah air yang berasal dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Johor, dilahirkan pada 28 September 1992. Beliau merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan mempunyai darah kacukan Melayu melalui bapanya dan Pakistan melalui ibunya. Nama Izara mula mencuri perhatian selepas berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan Dewi Remaja 2009/2010. Beliau memulakan langkah dalam dunia lakonan pada tahun 2011 dan sejak itu aktif membintangi pelbagai drama, telefilem, serta filem terkenal seperti Vanilla Coklat, Kau Yang Satu, dan J Revolusi, menjadikannya antara pelakon wanita yang terus relevan dalam industri hiburan tempatan.
2. Najwa Latif
Imratul Najwa binti Abdul Latif, atau lebih dikenali sebagai Najwa Latif, ialah seorang penyanyi dan pensyarah yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Dilahirkan pada 23 Mei 1995, beliau mula meniti populariti sekitar tahun 2011 selepas lagu Cinta Muka Buku menjadi fenomena, bukan sahaja di radio tempatan tetapi turut mencuri perhatian di YouTube.
Najwa memulakan langkah awal dalam dunia muzik dengan memuat naik video nyanyian di YouTube, termasuk lagu-lagu saduran seperti Baby oleh Justin Bieber. Bakat dan aura tersendiri yang dimilikinya berjaya menarik minat NAR Records, yang kemudian menawarkannya kontrak rakaman pada Mac 2011. Tidak lama selepas itu, single sulungnya Cinta Muka Buku dilancarkan pada Julai tahun sama dan menerima sambutan luar biasa daripada peminat seluruh negara.
3. Aina Abdul
Nurul Aina Abdul Ghani, yang lebih dikenali sebagai Aina Abdul, merupakan penyanyi, penulis lagu, dan ikon fesyen tanah air yang berasal dari Johor Bahru, Johor. Dilahirkan pada 25 Oktober 1993, Aina merupakan anak bongsu daripada lima beradik hasil perkongsian hidup pasangan Abdul Ghani Abdullah dan Zaini Abdullah. Sebelum menempa nama sebagai artis arus perdana, Aina memulakan perjalanan muziknya dengan menyanyi di kelab malam, restoran, dan lounge seperti No Black Tie.
Langkah awal Aina dalam dunia seni bermula apabila beliau menjadi finalis Pertandingan Irama 1Malaysia anjuran RTM pada 2010. Namanya terus menonjol selepas memenangi tempat kedua dalam Bintang Idola Berita Harian 2011 serta muncul juara Golden Voices of PJ 2012. Tahun 2014 menjadi titik penting dalam kerjayanya apabila beliau menyertai Mentor Legend di bawah tunjuk ajar Ella dan meraih gelaran naib juara. Pada tahun yang sama, Aina turut mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Los Angeles, dan dinobatkan sebagai “Vocalist of the World”.
4. Intan Najuwa
Intan Najuwa, nama sebenar Intan Najuwa binti Abdul Wahid, merupakan seorang pelakon dan model yang berasal dari Johor Bahru, Johor. Dilahirkan pada 18 Ogos 1997, beliau mula melangkah ke dunia seni seawal usia 18 tahun selepas diperkenalkan oleh penerbit tersohor David Teo dari Metrowealth Pictures. Kemunculan sulungnya dalam drama Hantu Punya Bos sebagai Abby membuka jalan buatnya, namun nama Intan benar-benar meledak apabila membawakan watak Hanan Khaira dalam drama sensasi Kekasih Paksa Rela di TV3. Pada 18 Ogos 2023, genap usianya 26 tahun, Intan selamat mendirikan rumah tangga dengan usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman. Majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah resort eksklusif di Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor itu menyaksikan Intan menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 dan wang hantaran berjumlah RM222,000.
5. Amira Othman
Nadia Amira binti Othman, yang lebih dikenali sebagai Amira Othman, merupakan penyanyi, pelakon, dan pengacara kelahiran Skudai, Johor. Dilahirkan pada 26 Oktober 1993, bakatnya mula mencuri perhatian ramai selepas menyertai Akademi Fantasia Musim ke-10 (AF2013), di mana beliau berjaya menempatkan diri di kedudukan kelima. Amira memulakan langkah profesionalnya dalam dunia muzik menerusi single debut “Hati-Hati” pada tahun 2015, yang mendapat sambutan luar biasa dan membuka ruang lebih luas dalam kerjaya seninya. Dikenali dengan suara lembut dan genre pop serta R&B, Amira terus mencuri hati peminat menerusi lagu-lagu popular seperti “Sesaat Untukku”, “Jaga-Jaga”, “Mimpi Indah”, serta duet bersama Irfan Haris dalam “Sambil” dan bersama Sufian Suhaimi dalam “Takkan Merubah”.
6. Baby Shima
Nor Ashima binti Ramli, yang lebih dikenali sebagai Baby Shima, ialah seorang penyanyi dan pelakon berasal dari Johor Bahru, Johor. Dilahirkan pada 20 September 1992, beliau mula menonjol di mata peminat apabila aktif berkongsi bakat nyanyiannya melalui platform Smule dan YouTube. Salah satu video duetnya bersama Khai Bahar menerusi lagu Gurauan Berkasih menjadi tular dan mencatat lebih 20 juta tontonan, sekali gus melonjakkan popularitinya. Perjalanan seninya bermula lebih awal apabila beliau menyertai dan memenangi beberapa pertandingan nyanyian seperti Mangga Star Search 2009, Bintang Idola Berita Harian 2010, serta muncul sebagai juara dalam rancangan KPOPNya Raya di Astro Ria
7. Memey Suhaiza
Suhaiza Suhaimi, yang lebih dikenali dengan nama pentasnya Memey Suhaiza, merupakan seorang pelakon dan usahawan berasal dari Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor. Karier seninya bermula dengan membintangi beberapa drama popular tempatan, di mana bakat lakonannya mula mendapat perhatian. Namun, perhatian media terhadap dirinya semakin meningkat apabila beliau sah bergelar isteri kepada pelakon terkenal Norman Hakim pada 24 September 2011, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri hiburan dan dunia keusahawanan.
8. Fasha Sandha
Fasha Sandha, atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha binti Hassan, dilahirkan pada 28 Mac 1984 di Johor Bahru, Johor. Beliau merupakan seorang pelakon, model, dan pengacara yang telah lama aktif dalam industri hiburan Malaysia. Anak kedua daripada empat beradik ini memulakan kerjaya seni selepas menamatkan pengajian di Institut Kebudayaan Negara pada tahun 2002. Fasha mula mendapat perhatian melalui drama Natasya dan filem Cicak Man. Sejak itu, beliau terus mengukir nama dalam industri perfileman dengan membintangi pelbagai filem terkenal seperti Evolusi KL Drift, Bujang Senang, Anak Halal, dan Cinta.
9. Aiman Hakim Redza
Dilahirkan pada 17 Januari 1989 di Johor Bahru, Johor, Aiman merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan mempunyai keturunan campuran Melayu-Arab. Beliau mula menonjol selepas menyertai rancangan realiti TV3, Mentor Musim 5 pada tahun 2011, di bawah bimbingan Rahim Maarof. Walaupun tersingkir di pusingan keempat, Aiman berjaya memanfaatkan peluang tersebut untuk membina kerjaya dalam bidang seni. Nama beliau semakin dikenali menerusi lakonannya dalam drama bersiri Vanila Coklat (2011) dan telefilem Girlfriend Aku Dari Neraka (2017).
10. Aiman Ameer
Dilahirkan pada 15 Januari 2000 di Johor Bahru, Aiman merupakan seorang pelakon dan model muda yang mula dikenali setelah dinobatkan sebagai Juara Hero Remaja 2023 dalam sebuah program pencarian bakat. Sebagai anak keempat daripada lima beradik, Aiman menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan di Politeknik METRO Johor Bahru. Sebelum mengorak langkah dalam industri seni, beliau pernah bekerja sebagai pramugara di AirAsia, namun akhirnya memilih untuk mengejar impian dalam bidang lakonan.