Kulit terasa panas selepas memakai sesuatu produk bukan semestinya tanda produk itu tidak bagus. Kulit kita juga ada mood dan fasa tersendiri. Kenali punca sebenar, dan sesuaikan rutin kita mengikut keperluan kulit. Bila kulit sihat, baru produk boleh bekerja sepenuhnya tanpa ‘drama’!
Pernah atau tidak anda alami situasi di mana kulit terasa panas atau ‘berangin’ sejurus selepas memakai sesuatu produk? Sensasi terbakar ini bukan sahaja mengejutkan, malah boleh buat kita rasa panik lebih-lebih lagi bila kita yakin produk tersebut sepatutnya baik untuk kulit.
Reaksi sebegini memang biasa terjadi, terutamanya bila kita mula cuba produk baru atau tukar rutin penjagaan kulit secara mendadak. Jangan risau, EH! bongkarkan lima punca paling biasa yang boleh menyebabkan kulit tiba-tiba rasa panas selepas memakai sesuatu produk supaya anda lebih bersedia dan tahu cara mengatasinya
1. Kandungan Aktif Terlalu Kuat
Sesetengah produk dirumus dengan bahan aktif tinggi seperti retinol, vitamin C, atau AHA/BHA. Walaupun bahan ini berkesan untuk mencerahkan dan memperbaharui kulit, ia juga boleh menyebabkan sensasi panas terasa kulit anda terutamanya jika kulit belum biasa. Ini dikenali sebagai skin purging atau proses penyesuaian kulit.
Tip EH!: Mulakan dengan penggunaan selang sehari, dan pastikan kulit benar-benar kering sebelum sapuan produk baru untuk kurangkan iritasi.
2. Kulit Terlalu Kering
Bila lapisan kelembapan semula jadi kulit terganggu, ia jadi lebih sensitif dan ‘terdedah’. Dalam situasi ini, produk yang sepatutnya membantu, boleh terasa pedih apatah lagi jika mengandungi bahan exfoliate atau alkohol.
Tip EH!: Pastikan anda guna hydrating toner atau essence supaya kulit lebih bersedia menerima rawatan seterusnya.
3. Gabungan Produk yang Tidak Serasi
Kadang-kadang, bukan produk itu sendiri yang salah, tapi kombinasi produk yang kita pakai. Contohnya, guna pencuci muka yang kuat, diikuti toner beralkohol, dan terus sapu serum berasid tinggi kulit memang akan ‘terkejut’.
Tip EH!: Periksa kandungan produk yang digunakan sebelum dan selepas. Elakkan terlalu banyak bahan aktif dalam satu rutin.
4. Alergi atau Sensitiviti
Kulit setiap individu berbeza, dan ada yang sensitif terhadap bahan tertentu seperti fragrance, essential oil, atau bahan tertentu. Kulit boleh terus rasa panas, merah, atau gatal-gatal sebagai tanda reaksi alergik.
Tip EH!: Lakukan patch test di belakang telinga atau bahagian bawah rahang sebelum menggunakan produk baru
5. Kulit Sebenarnya Sedang Rosak
Kadang-kadang kulit nampak okay di luar, tapi sebenarnya ada ‘micro-tears’ atau kerosakan dalaman akibat sinaran UV, cuaca ekstrem atau rawatan berlebihan. Bila disapu sesuatu produk, kulit bertindak balas dengan rasa panas atau pedih kerana penghalangnya tidak cukup kuat.
Tip EH!: Fokus dulu pada pemulihan kulit dengan produk yang soothing dan memperkuatkan skin barrier, seperti ceramide, niacinamide atau centella asiatica.
Artikel Berkaitan: Rahsia Kulit Tidak Naik Jerawat Semasa Period