Sama ada anda seorang sweet tooth, penggemar kopi tegar mahupun sekadar mencari pencuci mulut yang luar biasa untuk mengakhiri hidangan, senarai tiramisu terbaik pilihan EH! ini wajib anda semak.
Sebagai penggemar pencuci manis yang sentiasa ingin berkongsi pengalaman terbaik bersama pembaca, kami di EH! berkongsi melalui EH!xperience, rekomendasi pelbagai versi tiramisu dari kafe-kafe hipster, restoran Itali autentik dan pencuci mulut artisan sekitar Lembah Klang.
Ada yang dilengkapi sentuhan lokal seperti penggunaan kopi tempatan atau hiasan dengan rempah hangat, malah ada juga yang tampil mewah dengan lapisan coklat gelap premium seperti dalam resepi asli Itali.
Bersedia untuk godaan setiap sudu? Ini senarai Tiramisu terbaik pilihan EH! yang wajib anda cuba!
Lachér Patisserie Pistachio Tiramisu
Khairul Abidin, Pengarah Kreatif
Setiap suapan membawa anda melalui perjalanan rasa yang unik. Bermula dengan krim mascarpone yang ringan dan gebu, diikuti oleh kek span yang diserap espresso dan diakhiri dengan lapisan pes pistachio buatan tangan yang memberikan rasa kacang yang mendalam dan memikat!
Keseluruhan kek ini dihiasi dengan cincin coklat gelap yang elegan, menambah elemen moden dan mewah.
Dengan harga RM125 untuk saiz 6 inci yang sesuai untuk 6–8 orang, pencuci mulut ini juga boleh dipesan melalui laman web rasmi mereka. Untuk pilihan yang lebih kecil, versi ‘Petit’ tersedia dengan harga RM23, sesuai untuk dinikmati sendiri atau sebagai hadiah istimewa.
Stun Flour / Stun Spore
Amirul Ariffin, Pengarah Seni
Apabila saya dengar yang Stun Flour di Shah Alam ada pencuci mulut tiramisu viral, saya terus masukkan dalam senarai wajib cuba.
Sekali pandang, hidangan tiramisu mereka nampak minimal dan ringkas, tapi bila suapan pertama masuk ke mulut… terus rasa macam peluk dari dalam. Krim mascarpone dia sangat smooth dan ringan, langsung tak rasa berat atau muak. Biskut ladyfinger pula cukup moist direndam kopi dengan kadar yang ideal, tak lembik sangat, tapi cukup untuk bagi rasa espresso yang bold tapi seimbang.
Yellow Brick Road
Farah Ain, Penolong Penerbit EH!
Saya memang peminat tiramisu, jadi bila dengar Yellow Brick Road ada tiramisu yang cukup dipuji ramai, saya tak lepaskan peluang untuk cuba sendiri. Dan memang, tiramisu di sini berjaya buat saya terkesan!
Dari sudut visual, tiramisu mereka nampak sangat kemas dengan lapisan mascarpone yang putih gebu dan taburan serbuk koko yang cukup rata, ps simple tapi nampak classy. Bila makan pula, krim mascarpone dia sangat halus dan lembut, rasa manis dia cukup kawal, tak terlalu memeningkan kepala. Biskut ladyfinger pula direndam kopi dengan cukup rasa, tak terlalu basah atau kering, teksturnya cukup pas!
Muji Cafe Tiramisu
Erdina Hairi, Penolong Penerbit EH!
Sebagai pencinta kopi, tiramisu sentiasa menjadi antara pencuci mulut kegemaran saya. Saya sudah mencuba pelbagai versi yang tular di TikTok, namun tiada yang mampu menandingi keenakan Tiramisu di Kafe Muji.
Apa yang membuatkan tiramisu di sini begitu istimewa adalah keseimbangan rasanya, tidak terlalu manis dengan lapisan mascarpone yang lembut dan creamy tanpa rasa muak. Biskut yang direndam dalam kopi pula cukup sempurna, tidak terlalu pahit, tetapi cukup untuk memberi karakter yang tersendiri.
Tiramisu Gula Cakery
Eqa Zulkifli, Penolong Penerbit EH!
Saya memang agak cerewet bila memilih pencuci mulut. Walaupun banyak kafe dan kedai bakeri yang sedang viral di internet, tidak semuanya kena dengan selera saya. Tetapi Tiramisu di Gula Cakery ini lain, sampai saya ulang berkali-kali kerana memang sedap.
Pada mulanya, saya singgah sebab kedainya dekat dengan rumah, tetapi selepas mencuba tiramisu mereka, terus jatuh hati. Rasanya kaya, tekstur lembut, dan tidak terlalu manis, memang antara tiramisu terbaik yang saya pernah rasa. Harga pun sangat berpatutan, RM28 untuk saiz yang cukup sesuai dikongsi berdua.
Baca: EH!xperience: Kafe Kopi Pilihan EH! Yang Anda Harus Cuba!