Daripada jenama popular seperti Pop Mart, Mighty Jaxx hingga rekaan edisi terhad, ada beberapa blind box yang kini dianggap paling rare dan paling mahal di pasaran!
Ia bukan sekadar kotak kecil dengan figura misteri di dalamnya, ia adalah karakter mainan yang comel, hodoh, cantik dan di sinilah terletaknya keunikan serta tarikan utama yang menjadikan blind box sangat additive dan menyeronokkan.
Senarai top blind box yang jadi buruan kolektif, termasuk kisah di sebalik keunikannya!
1. Three Wise Labubu – Don’t Hear, Don’t See, Don’t Speak
Detik paling bersejarah bagi Labubu apabila Sotheby’s Hong Kong menampilkan watak ini dalam jualan seni kontemporari terpilih pada tahun 2023.
Ditawarkan sebagai trio arca berjudul Three Wise Labubu – Don’t Hear, Don’t See, Don’t Speak, set PVC ini dianggarkan bernilai antara HKD 30,000 hingga 50,000 (kira-kira RM22,000 hingga RM47,000), sekali gus mengangkat figura yang dahulunya berharga sekitar $20 ke peringkat lelongan antarabangsa berprestij!
2. Robby Angels
Robby Angel jauh lebih sukar ditemui berbanding figura rahsia Sonny Angel, dan tiada siapa yang benar-benar pasti mengapa ramai begitu taksub dengan makhluk kecil aneh separuh anjing, separuh tikus ini. Mungkin kerana unsur misteri, mungkin juga kerana keunikannya. Apa pun sebabnya, tidak dapat dinafikan bahawa Robby Angel merupakan antara figura yang paling diburu dalam dunia Sonny Angel.
Ketika dicari di eBay, hanya satu figura Robby Angel “sahabat baik kepada Sonny Angel” berjaya ditemui, dan ia dijual pada harga £111.28 (kira-kira $147.62 atau lebih RM690).
3. Nezha 2
Satu set penuh siri blind box hasil kolaborasi Pop Mart International bersama pembuat filem pecah panggung Nezha 2 telah dijual pada harga hampir tiga kali ganda daripada harga asal di platform e-dagang, selepas kehabisan stok di kedai dalam talian rasmi.
Lebih mengejutkan, figura edisi rare dalam siri ini dijual pada harga lebih sembilan kali ganda daripada harga asal bagi setiap unit!
Siri blind box bertajuk “Nezha 2: Born With Bond” ini menampilkan sembilan figura keseluruhan iaitu lapan edisi standard dan satu edisi rare dengan harga sebuah figura dijual pada 69 yuan (kira-kira RM40). Satu set penuh lapan figura standard pula berharga 552 yuan (RM326).
4. Life-sized Labubu
Dalam satu acara lelongan yang diadakan oleh Yongle International Auction di Beijing, lelongan sebuah figura berwarna hijau pudina bersaiz 131cm berjaya dijual pada harga mengejutkan USD 150,000 (lebih RM700,000).
Ia merupakan item paling mahal dalam lelongan tersebut, sekali gus mencipta rekod baharu untuk mainan ini, yang biasanya dijual di kedai Pop Mart pada harga antara USD 22 hingga USD 900, bergantung kepada edisi dan tahap kekurangannya.
5. Labubu x Vans Oldskool
Edisi Khas Labubu oleh Kasing Lung ini bernilai melebihi US$2,000, menjadikannya antara koleksi paling premium dalam dunia mainan pereka. Kolaborasi eksklusif seperti Labubu x Vans Oldskool (vinyl plush doll) turut mencuri perhatian, dengan nilai semula mencecah US$2,000 hingga US$3,000.