Di sebalik wajah sempurna selebriti, ada satu tangan magis yang bekerja tanpa henti yang tidak kelihatan di depan lensa, tetapi hasil sentuhannya membuatkan ramai mata terpaku. Mereka mungkin tidak berdiri di atas pentas, tidak menjawab soalan media, atau beraksi di hadapan kamera. Namun, hasil sentuhan mereka menjadi topik perbualan dan diabadikan dalam setiap gambar viral.
Dunia glamor tidak akan lengkap tanpa sentuhan magis seorang jurusolek profesional. Dalam hanya beberapa sapuan berus, mereka mampu mengubah wajah biasa menjadi luar biasa dan mencipta signature look yang ikonik. Sama ada untuk acara karpet merah, editorial majalah, atau momen bahagia di pelamin, barisan MUA pilihan selebriti Malaysia ini bukan calang-calang, sentuhan mereka bukan sahaja dinanti, malah fully booked berbulan lamanya.
Siapa mereka? EH! himpunkan tujuh nama teratas yang bukan sahaja paling on demand, tetapi menjadi rebutan setiap kali musim perkahwinan, acara karpet merah atau kempen besar menjelma. Mereka inilah yang membuatkan selebriti bersinar dari lensa kamera hingga ke kaca TV.
Najeeb Azami
Apabila berbicara soal sentuhan solekan yang elegan, nama Najeeb Azami pasti menjadi antara sebutan teratas. Dari majlis diraja hingga ke perkahwinan paling berprofil tinggi, beliau dikenali dengan gaya solekan yang menyerlahkan seri semula jadi tanpa perlu keterlaluan. Signature look beliau sudah pasti kulit flawless, rona lembut dan aura angelic yang tidak perlu diperjelas cukup sekali pandang, terus terpukau. Tidak hairanlah apabila Neelofa dan seluruh ahli keluarganya menjadikan Najeeb sebagai MUA kepercayaan untuk pelbagai acara penting, dari majlis peribadi hinggalah yang disaksikan jutaan mata di media sosial dan kaca TV. Tiada over-contour, tiada highlighter keterlaluan hanya kejelitaan semula jadi yang ditata penuh seni.
Ummi Nasir
Bukan sekadar MUA, Ummi Nasir turut dikenali sebagai tenaga pengajar untuk kelas solekan dan colour analysis, serta kadang kala turut mencipta magis pada helaian rambut. Setiap look hasil tangannya tidak pernah berlebihan, malah tampak moden dan editorial-ready, seolah-olah keluar terus dari halaman majalah fesyen. Personalitinya yang easy-going dan penuh tenaga menjadikan setiap sesi bersamanya terasa seperti bersama rakan lama. Ramai selebriti Gen Z dan influencer ternama menjadikan Ummi sebagai MUA pilihan mereka. Jika anda sukakan wajah yang segar di lensa kamera mahupun feed Instagram, Ummi Nasir is the one to watch!
Ahma Dani
Beliau mungkin lebih low-key dari segi publisiti, tetapi sentuhannya antara yang paling dicari untuk selebriti TV. Fokus utama Ahma Dani adalah pada tekstur kulit dan kemasan yang tampak effortless menjadikan wajah kelihatan segar, bersih dan semula jadi, seolah-olah tidak disolek langsung. Inilah yang membuatkan beliau menjadi pilihan ramai yang mahukan solekan “you, but better” . Kehalusan seninya tidak hanya menarik perhatian selebriti TV tempatan, malah melangkaui sempadan apabila beliau turut diberi kepercayaan untuk menyolek YAM Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah, isteri kepada Putera Mateen, kerabat diraja Brunei.
Dato’ Alha Alfa
Tidak lengkap dunia MUA Malaysia tanpa menyebut nama yang satu ini, Dato’ Alha Alfa, figura glamor yang bukan sekadar jurusolek profesional, tetapi juga usahawan berjaya. Dari solekan pengantin berhijab hingga ke acara besar karpet merah beliau sentiasa menghadirkan transformasi yang bukan sahaja memukau, malah sering mencuri tumpuan dan menjadi tular di media sosial. Dengan empayar kosmetik miliknya yang terus berkembang pesat, tidak hairanlah namanya sering menjadi rebutan ramai. Jadual beliau selalunya fully booked berbulan-bulan lebih awal. Sama ada untuk selebriti popular, pengantin eksklusif atau kempen komersial.
Ady Razak
Bila sebut tentang bridal glow yang sempurna, satu nama yang terus terlintas ialah Ady Razak. Sentuhan magisnya mampu menghidupkan seri wajah pengantin dengan kulit tampak sihat, bercahaya dan segar, tanpa rasa berat atau terlalu sarat dengan produk. Solekannya sangat sesuai untuk perkahwinan, sesi photoshoot luar, atau editorial di mana setiap inci wajah perlu kelihatan natural tetapi tetap mempesona di hadapan kamera. Solekan Ady juga terkenal dengan ketahanannya dari awal pagi hingga ke malam, wajah kekal flawless seolah-olah baru disolek. Tidak hairanlah namanya menjadi sebutan dalam kalangan selebriti yang bakal mendirikan rumahtangga.
Syed Faizal Syed Noh
Sering menjadi pilihan utama untuk individu berprofil tinggi, wajah-wajah editorial majalah fesyen ternama, selebriti A-list serta kempen jenama mewah. Sebagai pengasas kepada jenama Syed Faizal Beauty, beliau percaya bahawa solekan bukan sekadar alat untuk kelihatan cantik, tetapi sebuah bentuk seni ekspresi diri. Setiap solekan hasil sentuhannya bukan sekadar mempercantik, tetapi menyerlahkan keanggunan asli si pemakai dan disesuaikan dengan karakter. Antara wajah-wajah eksklusif yang sering menjadi kanvas seninya termasuklah Dayang Nurfaizah, Scha Alyahya dan Marion Caunter.
Khir Khalid
Tidak perlu pengenalan panjang, Khir Khalid adalah figura yang telah berdiri megah dalam industri kecantikan tanah air sejak lebih dua dekad. Sentuhannya telah menaikkan seri ramai selebriti A-list termasuk Dayang Nurfaizah, Scha Alyahya, Fazura dan ramai lagi ikon yang mempercayai visinya untuk setiap kemunculan penting mereka. Khir juga turut menjadi pilihan untuk menyolek majlis-majlis perkahwinan eksklusif dan berprofil tinggi, termasuk yang melibatkan kerabat diraja, menjadikannya antara MUA paling dihormati di belakang tabir dunia glamor. Gaya solekannya yang elegan, mewah, tetapi kekal classy dan bersahaja. membuatkan sentuhannya bukan hanya tampak sempurna, tetapi juga eksklusif, berjiwa dan kekal relevan di setiap era.
Artikel Berkaitan: 6 Jenis Berus Solekan Dan Kegunaannya Menurut Jurusolek