Sesetengah album berjaya menukar status seorang penyanyi, ada album yang memecah rekod, ada album yang mengubah landskap dunia muzik, ada album yang menjadi perintis, dan ini 10 album yang terjual paling banyak di seluruh dunia. Maaf Swifties dan Beyhive, album penyanyi anda tiada dalam senarai!
10- Bat Out of Hell, Meat Loaf – 34 Juta
Album rock ini dilancarkan pada tahun 1977 dan dianggap sebagai most theatrical untuk sebuah album rock. Album ini sempurna dengan pelbagai lagu hit seperti Bat Out of Hell, Paradise by the Dashboard Light, Two Out of Three Ain’t Bad dan You Took the Words Right Out of My Mouth. Di era penstriman, album ini terus didengar malah beberapa lagu dari album ini mencatat jumlah strim melebihi 100 juta.
9. The White Album, The Beatles – 35 Juta
Album ini berjaya menyerlahkan versatiliti The Beatles sebagai sebuah kumpulan- muzik folk, blues, rock dan macam-macam genre lagi. Album ini dirilis pada tahun 1968 dan judul asalnya ialah ‘A Doll’s House’ dan kebanyakan lagu di dalam album ini ditulis di India. Antara lagu hit dari album ini ialah While My Guitar Gently Weeps, Blackbird dan Helter Skelter.
8. Led Zeppelin IV, Led Zeppelin (1971) – 37 Juta
Merupakan album studio keempat Led Zeppelin, album ini dianggap sebagai album yang berjaya menonjolkan identiti bunyi mereka. Malah lagu ‘Stairway to Heaven’ yang menjadi trademark buat kumpulan ini (lagu ini berdurasi lapan minit lebih) juga dipetik dari album yang diterbitkan pada tahun 1971 ini. Antara lagu lain yang popular ialah Black Dog, Rock and Roll dan When the Levee Breaks.
7. Come On Over, Shania Twain – 40 Juta
Shania Twain berjaya meletakkan muzik country ke pasaran komersil dunia, bukan semata genre yang digemari oleh orang Amerika. Album ini berjaya meramu mesra genre country bersama bunyian pop dan rock. Shania Twain dalam satu temubual berkata, sebagai penyanyi country wanita, dia terpaksa berusaha keras, bekerja tiga kali ganda lebih kuat berbanding penyanyi country lelaki untuk mendapat tempat. Hasilnya, album ketiganya ini ditabalkan sebagai 10 terlaris di seluruh dunia. Antara lagu hit dari album ini ialah Man! I Feel Like a Woman!, You’re Still the One, That Don’t Impress Me Much dan From This Moment On.

6. Rumours, Fleetwood Mac- 40 Juta
Kumpulan yang ditubuhkan di United Kingdom ini berjaya menjual sebanyak 120 juta unit album dan 40 juta darinya adalah dari album ke-11 mereka, Rumours. Dirilis pada tahun 1977, single pertama dari album ini berjudul Go Your Own Way. Album ini menjuarai carta album selama 35 minggu dan ditabalkan sebagai Album of the Year di Anugerah Grammy. Siapa sangka album yang dirakamkan sewaktu perkahwinan ahli kumpulannya. Christine dam John sedang berantakan berjaya meletakkan album ini sebagai album bersejarah dunia.
5. Their Greatest Hits (1971–1975), Eagles- 44 Juta
Sebelum terlancarnya album solo kedua Michael Jackson, album ini (mula dijual pada tahun 1976) dijulang sebagai album terlaris di Amerika. Dan ini satu-satunya album kompilasi yang tercatat dalam 10 album terlaris dunia yang menghimpun lagu-lagu hit band Amerika ini seperti Take It Easy, Lyin’ Eyes, Desperado dan Tequila Sunrise.
4. The Bodyguard Soundtrack, Whitney Houston / Pelbagai Artis– 45 Juta
Jarang-jarang sekali untuk ada sebuah album runut bunyi (soundtracl) yang lebih popular dari filemnya sendiri, dan inilah yang berjaya dicapai oleh album ini. ‘I Will Always Love You’ versi Dolly Parton seakan tidak pernah wujud sebelum ini apabila dirakam semula Whitney Houston, yang mana versi ini juga diiktiraf sebagai best-selling singles of all time. Sekalipun anda bukan peminat Whitney Houston, saya percaya anda pasti familiar dengan lagu I Have Nothing, I’m Every Woman dan Run to You yang dipetik dari album yang dirilis pada tahun 1992 ini.
3. The Dark Side of the Moon, Pink Floyd – 45 Juta
Album ini mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya bertahan di dalam carta Billboard 200 selama 900 minggu. Ya, anda tak tersilap baca, 900 minggu! Ia sebuah masterpiece yang bunyinya masih dianggap futuristik sampai ke hari ini. The Dark Side of the Moon dilancarkan pada tahun 1973 dan merupakan album kelapan band British ini. Dengarkan Time, Money, Us and Them serta Brain Damage/Eclipse dan anda akan menegrti mengapa album ini cukup digilai.
2. Back in Black, AC/DC – 50 Juta
Back in Black, You Shook Me All Night Long, Hells Bells dan Shoot to Thrill antara lagu hit yang berjaya menarik minat seluruh peminat heavy metal memiliki album ini. Album ketujuh band dari Australia ini juga merupakan album debut dengan penyanyi baharunya, Brian Johnson yang menggantikan Bon Scott yang yang dijumpai mati di dalam kereta akibat keracunan alkohol. Album ini (dilancarkan pada tahun 1980) juga dikatakan sebagai tribute buatnya.
1. Thriller, Michael Jackson- 70 Juta
Album ini berjaya meletakkan gelaran King of Pop buat Michael Jackson sekelip mata. Album ini dilancarkan pada 1982 namun lagu-lagunya ada yang terus relevan sampai ke hari ini seperti Billie Jean, Beat dan semestinya Thriller. Pada tahun 1984 sahaja album ini sudah terjual sebanyak 34 juta unit di seluruh dunia.
Kekuatan album ini juga diperkaut dengan sokongan visual yang menarik menerusi video muzik yang dianggap berbeza dengan yang lain di era itu. Menerusi album ini jugalah Michael Jackson memperkenalkan gerakan ‘moonwalk’ yang terus menjadi identitinya. Menerusi album ini juga Michael Jackson memecah rekod dengan merangkul lapan rofi Grammy dalam satu malam termasuk Album Terbaik dan Record of the Year menerusi lagu ‘Beat It’.