Jennie dan Chanel, dua nama yang sudah tidak dapat dipisahkan, dan kerjasama ini diteruskan menerusi kempen terbaru rumah fesyen Paris itu.
Craig McDean, jurugambar fesyen terkenal menjadi pilihan Chanel untuk merakam gaya Jennie yang bersiar-siar di taman-taman sekitar Palais-Royal di Paris. Dalam balutan helaian dan aksesori pra-luruh 2025, pemilihan Jennie bukanlah sesuatu yang asing memandangkan anggota kumpulan pop fenomena dunia, Blackpink itu memang sinonim dengan Chanel.
Pemilihan taman-taman sekitar Ritz Hotel dan Rue Cambon juga adalah satu simbolik kepada lokasi kegemaran Gabrielle Chanel sendiri. Lokasi ini amat bermakna buat Gabrielle Chanel dan rakan-rakannya, Colette dan Jean Cocteau. Kawasan ini antara tempat kegemaran pereka adi busana itu, di mana dia cukup gemar berjalan-jalan dan menjamu selera di salah satu restoran ikonik di situ.
Dalam kelembutan dan gaya sofistikated, turut ada elemen yang kontras yang menjadikan koleksi pra-luruh ini didampingi elemen feminin dan percikan maskulin. Koleksi ini juga diinspirasikan daripada gaya dan babak filem romantik-komedi era 90-an.
“Era 90-an sentiasa dekat dengan saya,” kongsi Jennie. “Bukan sahaja fesyennya, tetapi juga suasana dan semangatnya. Saya suka bagaimana wanita dalam filem romantik-komedi ketika itu kelihatan kuat dan fragile pada masa yang sama. Cara mereka berfeysen sangat playful, dan gabungan feminin serta maskulin yang sempurna—romantik tetapi juga bergaya preppy, itulah yang saya gemar selitkan dalam gaya saya sendiri.”
“Gaya maskulin-feminin membuatkan saya rasa yakin dan lebih real. Saya suka bagaimana koleksi ini bermain kot hitam berbahu lebar atau korset yang diinspirasikan daripada rompi lelaki. Potongan-potongan ini nampak strong, tetapi masih elegan.”
”Memakai siluet maskulin dengan perincian feminin mengingatkan saya bahawa kita tidak semestinya perlu memilih satu gaya sahaja, kita boleh jadi kedua-duanya, dan itu yang membuat kita rasa lebih kuat,” kongsi Jennie yang ketika sedang sibuk dengan konsert jelajah dunia bersama anggota Blackpink yang lain.
Koleksi Pra-Luruh 2025/26 kini tersedia di butik-butik CHANEL.