Kalau terlalu banyak red flag sampai kita terpaksa ubah diri kita hanya untuk diterima, mungkin sudah tiba masa untuk menjaga hati sendiri lebih dari menjaga hati orang lain. Ingat, kita juga berhak berada dalam persahabatan yang membuatkan kita rasa cukup, disayangi dan diterima.
Kita selalu sibuk mencari red flag dalam hubungan cinta, tapi bagaimana pula dengan persahabatan? Walaupun sudah berkawan sejak zaman sekolah atau berkongsi segala suka duka, tidak semua persahabatan membawa bahagia. Ada yang nampak mesra di luar, tetapi perlahan-lahan menghakis keyakinan diri, semangat, dan kestabilan emosi kita tanpa kita sedar.
Ya, red flag dalam persahabatan juga wujud. Tetapi mungkin sebab kita terlalu sayang atau takut hilang kawan lama kita bertahan walaupun hati sendiri makin penat. Jadi, sebelum anda terus berada dalam hubungan yang memudaratkan, jom kenal pasti tanda-tanda awal persahabatan yang tidak lagi sihat dan tiba masanya untuk let go, demi kebaikan diri sendiri.
1. Ada Bila Perlu Sesuatu
Kawan yang sebenar tidak perlukan alasan untuk bertanya khabar. Kadang-kadang satu mesej ringkas sudah cukup untuk buat kita rasa dihargai. Tetapi kalau dia hanya muncul bila ada urusan seperti mahu pinjam duit, minta tolong siapkan kerja, atau perlukan sesuatu, dan apabila tiba waktu kita susah, dia pula ghaib tanpa jejak, itu adalah red flag terbesar dalam persahabatan. Persahabatan yang ikhlas tidak sepatutnya buat kita rasa dipergunakan. Kalau dia hanya datang bila perlu, mungkin sudah tiba masanya untuk tutup pintu, dan jaga hati sendiri.
2. Sentiasa Bersaing
Dalam persahabatan yang sihat, bukan tentang siapa yang lebih hebat, siapa lebih cantik, atau siapa yang lebih berjaya. Ia tentang saling menyokong antara satu sama lain tanpa rasa dengki atau banding-membanding. Kalau setiap kali kita capai sesuatu, dia mula memperlekeh, sindir halus, atau tiba-tiba berlumba mahu kelihatan lebih dalam semua hal, itu bukan tanda sokongan, itu tanda persaingan. Kawan yang benar-benar sayang kita tidak akan rasa terancam dengan kita. Kalau dia sentiasa menjadikan kita sebagai kayu ukur untuk validasi diri sendiri, mungkin dia bukan kawan tetapi pesaing yang memakai topeng persahabatan.
3. Suka Manipulasi
Pernah atau tidak anda menolak ajakan keluar kerana terlalu penat, tetapi dibalas dengan sindiran atau terus dilempar kata-kata halus yang pedih? Hati-hati, kerana besar kemungkinan anda sedang berdepan dengan manipulasi emosi. Kawan sejati tidak akan buat anda rasa bersalah semata-mata untuk dapatkan apa yang mereka mahu. Mereka akan faham had tenaga, masa dan ruang peribadi anda. Kalau setiap kali anda utamakan diri sendiri, dia buat anda rasa seolah-olah seorang pengkhianat itu bukan lagi sahabat baik.
4. Gosip di Belakang
Hari ini dia duduk di depan bergelak tawa bersama tetapi esok di belakang kita, nama kita pula menjadi tajuk utama dalam perbualan. Dicerita aib, diolah semula mengikut versi dia, dikongsi rahsia yang sepatutnya dikunci rapattanpa rasa bersalah. Kalau seorang kawan boleh bocorkan rahsia orang lain pada kita dengan mudah, jangan terkejut kalau esok lusa giliran kita pula. Persahabatan bukan tempat untuk menguji siapa paling juicy ceritanya ia ruang kepercayaan yang sepatutnya dijaga. Bila kepercayaan kita dijadikan hiburan, itu bukan silap kecil. Itu pengkhianatan.
5. Tidak Pernah Rayakan Kejayaan
Bila kita capai sesuatu, mereka senyap. Tiada ucapan tahniah, tiada pelukan hangat, tiada emoji gembira darinya. Tetapi yang peliknya, bila kita tersandung atau ada kegagalan dia cepat muncul. Kononnya prihatin, tetapi kata-katanya penuh dengan sindiran yang dibalut nasihat. Kalau seseorang hanya hadir waktu kita jatuh, tetapi lesap waktu kita berjaya, mungkin dia bukan tidak nampak kejayaan kita tetapi dia memang tidak suka melihat kita menjadi jauh lebih bagus daripadanya
6. Sentiasa Betul
Dalam setiap konflik, mereka jarang atau langsung tidak pernah minta maaf. Sebaliknya, bila kita cuba bersuara, luah rasa hati atau nyatakan sesuatu kita pula yang dipersalahkan. Dilabel sebagai terlalu sensitif atau overthinking. Lama-lama, kita belajar untuk diam sebab terlalu penat menjadi salah setiap masa. Tetapi begitulah manipulasi berlapik ego, mereka mahu kita ikut rentak mereka, tetapi tidak pernah mahu faham rentak kita. Padahal, komunikasi yang sihat bukan tentang siapa menang atau kalah, tetapi tentang empati, hormat, dan usaha untuk baiki situasi bersama.
Artikel Berkaitan: Ini 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Jadi High Maintenance