KLFW 2025 hadir dengan pereka baharu, rekaan berani dan moden, dari warisan budaya hingga siluet masa depan. EH! memilih debut paling menonjol tahun ini.
Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 kembali dengan penuh gaya dan glamor, menampilkan barisan pereka baharu yang mencuri perhatian sejak hari pertama pentas dibuka. Tahun ini, debutan-debutan segar bukan sahaja membawa nafas baharu ke dalam industri fesyen tempatan, malah berjaya mencetuskan perbualan hangat dengan rekaan yang berani, moden dan sarat dengan identiti tersendiri.
Apa yang menarik, rekaan mereka bukan sekadar cantik di mata atau bergaya di lensa kamera, tetapi penuh makna dan mesej tersendiri, ada yang menjulang warisan budaya, ada juga yang bereksperimen dengan teknologi dan bentuk siluet masa depan. Di sebalik sorakan penonton dan kelipan cahaya kamera, EH! telah memilih beberapa rekaan debut yang benar-benar mencuri tumpuan dan layak diangkat sebagai antara yang terbaik di KLFW 2025.
UGLYPRETTY






Uglypretty membuat debut di pentas KLFW dengan tema “Stupid Fantasy”. Sebelum ini, saya pernah bertanya kepada Daren tentang sumber inspirasinya, dan dia menjawab:
“Kami mendapat inspirasi daripada pelbagai sumber, kemudian menggabungkan elemen yang selari dengan penerokaan jenama kami terhadap kontras antara ‘hodoh’ dan ‘cantik’. Pendekatan ini membolehkan kami berinovasi sambil kekal setia kepada visi utama yang menggabungkan keberanian dengan kehalusan.”
Menariknya, pereka baharu tahun ini diletakkan pada hari pertama KLFW dan bagi saya, ia benar-benar pembuka yang memikat mata. Jenama ini banyak bereksperimen dengan denim, diolah menjadi rekaan yang unik dan berbeza. Paling mencuri perhatian saya adalah mini skirt yang direka menyerupai sebuah rumah, satu idea yang cukup luar biasa dan unik.
DOUBLEBACK






Konsep DoubleBack “Before Dawn” menggabungkan unsur baik dan buruk ke dalam satu koleksi, rekaan ready-to-wear yang sesuai dipakai setiap hari, namun tetap sarat dengan keunikan. Saya suka bagaimana pereka baharu ini berani bereksperimen, menonjolkan kreativiti mereka dan membuktikan apa yang mampu dibawa berbanding pereka lain.
Bagi DoubleBack, dari pemerhatian saya, aura mereka tampilkan cenderung kepada elemen seram dan misteri. Antara yang mencuri perhatian ialah beg tangan berbentuk daging, baju berinspirasikan otot tubuh manusia, dan perincian tangan yang diletakkan secara rawak pada helaian rekaan, semuanya membentuk naratif visual yang provokatif dan sukar dilupakan.
HUNTILANAK






Antara kegemaran saya! Huntilanak mempersembahkan “BRITNEY”, sebuah koleksi kontemporari yang sarat dengan daya tarikan dan aura misteri. Jenama ini, yang terkenal dengan Jaket Monster ikoniknya, sekali lagi membuat saya terpukau dengan wajah-wajah mitos yang menjadi identiti unik jenama Malaysia ini, menguasai pentas fesyen.
Rekaan tersebut dipadankan dengan gaya eklektik yang diolah semula dari sudut pandang segar dan tidak dijangka, termasuk sentuhan songket yang diinterpretasikan dalam nuansa moden, menjadikan koleksi ini benar-benar unik.
SHAZNASH






ShazNash hadir dengan koleksi “Under the Weather”, menampilkan rekaan yang gah dan penuh elegan. Lihat sahaja manik yang bertaburan bak titisan hujan, signature yang terus mengingatkan kita kepada ShazNash.
Kali ini, Sodiqin bereksperimen dengan pelbagai jenis fabrik, menghasilkan permainan tekstur dan memastikan setiap helaian tidak pernah membosankan di mata.
RAJA IRFAN




Koleksi ini dinamakan The First Light kerana ia menandakan permulaan perjalanan Raja Irfan, sebuah bab baharu, bagaikan sinar pertama mentari yang memecahkan kegelapan. Ia merupakan surat cinta kepada dirinya sendiri, dibina daripada segala karya yang pernah dihasilkan sebelum ini, lalu diolah semula dan diberi nafas baharu.
Apa yang saya suka, rekaan ini memiliki struktur yang kuat, seolah-olah melambangkan semangat women empowerment. Ada satu kekuatan yang terpancar dalam setiap potongan dan siluet, seakan memberitahu bahawa kelahiran semula bukanlah bermula dari kosong, tetapi mencari makna baharu dalam apa yang sudah sedia ada dalam diri.
MEI MEI






Mei Mei benar-benar menghidupkan konsep kelestarian melalui cetakan berani, lapisan tekstur yang kaya, serta penggunaan dawai merah sebagai embellishment yang mencuri perhatian. Setiap helaian membawa semangat eksperimental yang segar, dan apabila digabungkan dengan kolaborasi bersama pereka aksesori, Zei, hasilnya adalah satu penyatuan idea yang melengkapkan keseluruhan naratif koleksi ini.
Apa yang membuatkan saya lebih tertarik adalah bagaimana setiap rekaan terasa peribadi tetapi pada masa yang sama diterjemahkan ke dalam bahasa visual yang begitu kuat dan memukau. Ia bukan sekadar rekaan, tetapi penceritaan tentang kreativiti, identiti, dan keberanian untuk menentang arus.
N.KHAN X MUNI






Kolaborasi antara N.Khan dan Muni mempersembahkan 21 helai yang melangkah ke pentas buat pertama kalinya, satu koleksi yang sarat dengan pewarna semula jadi, pertukangan tangan artisanal, dan rekaan yang berinspirasikan warisan.
Daripada tangan-tangan yang mewarnakan setiap helaian fabrik, hinggalah ke cerita yang dijahit kemas pada setiap jahitan, saya merasakannya sebagai sebuah naratif yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini, memelihara tradisi sambil memberi ruang kepada inovasi.
Bagi saya, kekuatan koleksi ini terletak pada kejujuran dalam setiap perincian, warna yang lahir daripada alam, teknik tradisional yang diangkat dengan penuh rasa hormat, dan aksesori unik yang mencuri perhatian termasuk beg yang menyerupai mangkuk tingkat, tudung saji, serta perincian ukiran kayu yang benar-benar memikat pandangan di pentas KLFW.
Baca:
“Kecantikan Dan Ketidaksempurnaan Saling Berkait Rapat” – Daren, UglyPretty
“Teruskan Bereksperimen Hingga Temui Yang Paling Serasi Dengan Diri”- Sodiqin Shaz, Shaznash
“Sentiasa Berani Untuk Bermimpi Walaupun Ia Tidak Masuk Akal” – Raja Irfan