Chanel melancarkan edisi baharu Bleu De Chanel, yakni Bleu De Chanel L’Exclusif. Kata Olivier Polge, dia mahu mengolah semula haruman yang dicipta oleh ayahnya, Jacques Polge yang pernah menakhodai pembuatan haruman Chanel lebih tiga dekad.
Jika disebut perkataan “biru”, apa yang terlintas di fikiran kamu?
Bleu De Chanel bukanlah sekadar biru biasa. Ia bukan biru segar langit tanpa awan. Sebaliknya, ia lebih mendalam, ia adalah warna biru terakhir sebelum bertukar menjadi hitam. Bleu De Chanel adalah biru yang membangkitkan rasa keteguhan.
Bagaimana terciptanya Bleu De Chanel yang baharu ini?
Sebenarnya, ayah saya yang mencipta rangkaian Bleu De Chanel. Dengan L’Exclusif, ideanya adalah untuk menambah bab baharu dalam kisah haruman ini, sekaligus mentafsir semula tema haruman ini.
Untuk itu karya yang baharu ini, kami bermula kembali dengan formula asal. Kemudian, ibarat memusingkan kaleidoskop, kami mengalihkan komponen utama untuk menyingkap sisi baharu, menyerlahkan lagi nota tertentu agar lebih harmoni dan segar. L’Exclusif meninggalkan jejak tersendiri, bertekstur dengan sentuhan pada tubuh yang halus.
Apakah ciri olfaktori Bleu De Chanel L’exclusif?
Bleu De Chanel L’exclusif adalah haruman “woody, ambery-aromatic”. Aromanya berpusat pada nota lavender yang klasik maskulin, diikuti lapisan kayu serta akord kulit-amber. Kayu sedar memainkan peranan penting, namun intensiti haruman ini dibina berasaskan sandalwood serta lapisan kulit dan cistus ladanifer.
Boleh ceritakan apa yang membezakan sandalwood Chanel?
Sandalwood pilihan kami menonjol terlebih dahulu kerana variasi botaniknya, Santalum austrocaledonicum. Tetapi yang menjadikannya istimewa adalah kaedah pengekstrakan yang mampu menangkap sisi kayu yang unik. Justeru, amat penting untuk mengolah kombinasi sandalwood ini dengan bahan mentah lain agar memberikan tenaga pada haruman. Gabungannya bergantung pada butiran yang halus. Sandalwood adalah kayu yang padat dan halus, yang perlu diperkaya untuk mendedahkan keseluruhan aspeknya.
Kamu katakan dengan Bleu De Chanel L’exclusif, kamu ingin melangkaui lebih dari sekadar wangian…
Untuk L’Exclusif, matlamat kami adalah untuk “go beyond perfume”. Kami mencari aroma yang mampu mengekspresikan visi ekstrak maskulin, dengan menafsir semula kualiti ekstrak feminin seperti keindahan dan intensiti, lalu menambah unsur kejantanan.
Bagi merealisasikannya, saya mahu menyelami lebih jauh dunia nota kayu. Dengan memperluas spektrum keluarga olfaktori kayu, saya inginkan nota yang berkarakter seperti amber dan resinous. Nota-nota di dalam L’Exclusif memberi ekspresi maskulin yang mendalam serta misteri, menyerlahkan sisi sebuah haruman yang kompleks.
Bleu De Chanel L’exclusif masih mengekalkan aktor Timothée Chalamet sebagai wajah rasminya untuk edisi yang baharu ini. Hadir dalam dua isi padu iaitu 100ml dan 60ml, minyak wangi beraroma ‘jantan’ ini sudah pun berada di butik kecantikan Chanel dan kamu boleh dapatkannya secara dalam talian di pautan Chanel ini.
BACA:
5 Body Lotion Dengan Bau Wangi & Tahan Lama Pilihan EH!
Chanel Cabin Privé Pertama di Malaysia, Belaian Wajah Mewah Menanti