Coco Crush, antara aksesori yang ada dalam wishlist saya sejak mula melihat kempennya sedekad lalu. Apa yang membuatkan saya tertarik adalah rekaannya moden, uniseks dan sangat versatil.
Selepas 10 tahun diperkenalkan, banyak inovasi dan sentuhan baharu pada koleksi perhiasan diri ini. EH! bawa anda menelusuri tujuh paling menarik tentang Coco Crush.
1- INSPIRASI
Gabrielle Chanel mula terpaut pada motif grafik quilting pada tahun 1906, waktu itu dia belum lagi melancarkan jenama fesyennya. Dia terlihat quilt pada selimut kuda milik buah hatinya waktu itu, Etienne Balsan. Teknik atau kemasan yang sama juga terlihat pada jaket pekerja di kandang kuda. Dari rasa tertarik pada quilting, Coco Chanel akhirnya mengabadikan kesukaannya itu pada helaian fesyennya sebaik Chanel diperkenalkan.
2- PELANCARAN COCO CRUSH
Tahun 2015 menyaksikan idea quilting dikembangkan lagi, tidak terhad pada aksesori kulit saja, akhirnya Chanel memperkenalkan Coco Crush, koleksi perhiasan diri yang menggunakan pakai perincian quilting. Koleksi barang kemas yang ringkas namun berani ini direka untuk menyesuaikan diri dengan setiap kesempatan. Untuk wanita bebas yang memilih ciptaan ini bagi meraikan detik-detik penting serta pertemuan bermakna, samalah seperti Gabrielle Chanel yang meraikan kehidupannya sebagai pereka moden dan bebas.
3- QUILTING COCO CRUSH
Apa yang istimewa tentang kemasan quilting pada Coco Crush? Pada permukaan emas, garisan tajam motif ini dilembutkan dengan bentuk melengkung. Setiap ukiran dilakukan dengan ketelitian pakar, menghasilkan semula anyaman quilting. Perincian terserlah pada lengkungan kontur, menyerlahkan garis sensual sebuah koleksi perhiasan diri yang kini sudah boleh dikategorikan sebagai ikon rekaan.
4- EKSKLUSIF BEIGE GOLD
Bagi menyerlahkan kilauan cahaya, Chanel memperkenalkan ‘Beige Gold’ rona khas yang dianggap sebagai satu penghormatan akan kecintaan Coco Chanel. Baginya beige adalah ton hangat yang melambangkan kekuatan dan perlindungan. Beige juga melakar kejayaan awal beliau, daripada sut tweed dan juga sepatu ikonik dua ton (beige & hitam). Penggunaan beige gold 18 karat dalam Coco Crush adalah pilihan penuh sofistikasi, kualiti tanpa kompromi, dan rona yang tidak dapat dipisahkan daripada identiti rumah fesyen agung Paris ini.
5- SENTUHAN MERAH
“Merah adalah warna kehidupan, saya amat menyukai warna merah,” kata Coco Chanel. Bagi dirinya, satu sentuhan merah sudah cukup untuk menyempurnakan segalanya. Tenaga rona ini seikonik hitam dan beige. Kini, warna kesukaannya itu menjadi inspirasi kepada Chanel Jewelry Creation Studio untuk melahirkan interpretasi baharu Coco Crush.
Buat julung kali, ukiran emas ini dipadankan dengan batu delima (ruby) merah menyala. Rona flamboyan yang hadir pada loket berbentuk C atau berkilau di tengah O pada gelang. Huruf-huruf C dan O ini, apabila digabungkan di pergelangan tangan, telinga, atau décolleté, mengeja perkataan C.O.C.O.
6- KEMEWAHAN BERLIAN
Seiring masa, Coco Crush juga memperindah serta memewahkan lagi koleksinya dengan set pavé penuh berlian lantas menjadi ekspresi paling eksklusif, memancarkan kilauan yang menyerlahkan corak quilting melengkung, sekaligus mengukuhkan ritma dan geometri garisan.
Januari 2025. Studio Rekaan Barang Kemas CHANEL berinovasi dengan teknik pavé terbaharu bagi COCO CRUSH, menghiasi garisan diagonal pada anyaman quilting. Batu-batu berkilauan memancar dari setiap ukiran. Walaupun tampak berselerak ia adalah satu inovasi yang menginspirasi cara pemakaian baharu.
7- JIWA BEBAS
Dapat disimpulkan koleksi Coco Crush punya kelebihan dalam menyuaikan ‘dirinya’ dengan sesiapa, kerana ia menzahirkan kebebasan. Memakainya adalah satu ekspresi gaya paling bebas, dalam masa yang sama satu penghargaan kepada satu seni yang berharga. Inilah adalah intipati sebenar Chanel.